ELISYA mengetuk-ngetuk jemarinya ke permukaan meja, mengira saat ketibaan rakan baiknya. Pintu utama rumah mereka ditenung tanpa lepas, menanti-nanti susuk Wafa muncul di sebalik daun pintu.
"Assalamualaikum."
Nampak saja daun pintu dikuak sedikit, terus kaki tergesa-gesa berlari menuju ke situ. Terperanjat Wafa dibuatnya.
"Kau pergi mana, Wafa? Dua hari kau menghilang tanpa jejak. Aku dah macam orang gila cari kau satu cruise itu, tahu tak? Sumpah tidur aku tak lena malam kau hilang tu." Lantas dimuntahkan segala kata-kata yang dia simpan sepanjang dua hari ini.
Betapa risaunya dia terhadap gadis itu, tidak dapat dihuraikan bagaimana. Sebaik dia tersedar Wafa lesap dari pantauannya, tidak henti-henti dia menyalahkan diri sendiri kerana memaksa Wafa turut menghadiri majlis itu. Sehinggalah mucul satu mesej daripada angah gadis itu yang menyatakan Wafa baik-baik saja, barulah gemuruhnya hilang.
"Tenang, Elisya. Nanti aku ceritakan semuanya." Tubuh Elisya yang menghalangnya dari bergerak, Wafa tolak ke tepi sedikit. Dia sudahlah sedang bersedih dengan kepulangan angahnya, lepastu serabut dengan lamaran Althaf yang tiba-tiba dan kini, rakannya pula menggesa dia untuk bercerita. Secara mentalnya, dia lelah!
"Tak boleh ke cerita sekarang? Aku dah tak sabar ni? Meronta-ronta dah hati aku ni nak tahu benda sebenar." Elisya menghentikan langkah rakannya itu. Sejenak, dia baca mimik muka gadis itu. Nampak suram, tapi kenapa?
"Biar aku mandi dulu, okey?"
"Nak aku teman kau mandi tak? Boleh kau bercerita sambil mandi." Elisya sengih tidak bersalah.
Wafa tergelak. Faham sangat dia dengan makna di balik gurauan Elisya itu, sedang cuba untuk menghiburkannya setelah mengetahui ada sesuatu yang tidak kena. "Kau ni memang sengaja kan nak suruh aku hempuk kepala kau yang tak berapa nak betul tu?"
"Guraulah. Mandi cepat sikit tau!" laung Elisya, sedikit kuat apabila figura Wafa sudah mula menjauh darinya.
WAFA labuhkan duduk di birai katil, lemah. Jendela yang ditembusi silauan cahaya itu direnung lama. Memikirkan perkara yang jauh terbenam di sudut kepala.
Otaknya bercelaru. Hatinya berbolak-balik dengan pelbagai perasaan yang menghimpit dada. Hidupnya saat ini, tidak tenteram. Kalaulah bulannya tidak mengambang sekarang, pasti dia sudah bersujud meminta ketenangan dari-Nya, beristikharah dan meminta petunjuk dari-Nya. Tapi untuk sekarang, berdoa saja yang mampu dipanjatkan.
Setitis, air mata yang ditahan-tahan akhirnya jatuh. Pecah berderai tangisannya waktu itu, sudah tidak kisah jika suaranya itu sampai ke pendengaran Elisya yang entah sedang berada di bawah atau tidak. Yang pasti, dia mahu hambur segala air matanya keluar. Berlarutan sehinggalah dia tertidur tanpa sempat membersihkan diri terlebih dahulu.
Bangkit saja dari lena, langit sudah gelap. Seusai menyiapkan diri, terus dia turun ke dapur. Pasti hidangan makan malam sudah disediakan oleh Elisya. Serba salah pula dia kerana tidak dapat membantu gadis itu.
"Bukan main berjanji nak cerita dekat aku. Boleh pula kau tertidur dengan baju yang tak tukar-tukar." Sembari menuangkan air kosong ke dalam gelas, tergeleng-geleng kepala Elisya memandang sahabatnya yang baru tiba di dapur. Baju tidur petak-petak berwarna hijau sudah lengkap tersarung di tubuh gadis itu.
"Lupa." Wafa sengih. Kepalanya yang kebetulan gatal ketika itu digaru-garu.
"Bila kau nak cerita dekat aku?" soal Elisya, sudah tidak sabar mahu mendengar penerangaran daripada rakannya itu. Apatah lagi setelah melihat kedua-dua belah mata itu sudah bengkak akibat menangis. Tipulah kalau dia cakap dia tak dengar raungan Wafa tadi. Kuat sungguh, sehingga dia yang berada di tingkat bawah itu pun boleh dengar.
"Lepas makanlah." Wafa mengambil tempat di meja makan. Lauk yang sudah terhidang di depan mata dikaut dengan sudu sebelum diletakkan ke dalam pinggannya yang sudah dipenuhi nasi. Berselera setelah penat menangis siang tadi.
Keluhan lemah, Elisya lepaskan. Tahu apa yang dikatakan gadis itu adalah sekadar alasan untuk mengelak daripada bercerita, sama seperti siang tadi. Alasan yang kena dengan situasi sehingga dia tidak boleh memaksa. Seusai makan nanti, pasti Wafa akan bergegas naik ke bilik untuk tidur dengan huraian sudah kekenyangan dan tidak larat untuk bercerita.
Esoknya, mesti Wafa akan beri alasan mahu fokus terhadap pelajaran dulu memandangkan peperiksaan akhir mereka sudah menjelang tiba. Lepas tamat peperiksaan nanti pula, dia yakin bahawa Wafa akan suruh dia memberi peluang untuk gadis itu berseronok dan lapangkan otak setelah kusut belajar. Beberapa hari selepas itu, Wafa pun pulang ke Malaysia tanpa sempat bercerita apa-apa kepadanya.
Tamat.
Dia sudah masak dengan perangai Wafa yang satu itu. Apa yang susah sangat untuk meluahkan? Apa yang menghalang gadis itu sebenarnya? Dia ini tidak memainkan apa-apa peranan pentingkah dalam hidup gadis itu?
Sejujurnya, dia kecewa!
TIBA saja di hadapan dewan peperiksaan, rata-rata pelajar sudah berkurumun di depan pintu masuk. Bebola matanya tercari-cari susuk Elisya. Ke manakah gadis itu menghilang?
Sudahlah Elisya hadir ke sini dengan menaiki teksi tanpa mengajaknya terlebih dahulu. Satu rumah dia mencari gadis itu tadi, rupa-rupanya Elisya sudah lama tiba di sini.
"Eli...." Nampak saja Elisya, terus Wafa menyeru.
Elisya yang tekun membaca buku terperanjat sedikit. Melihat gerangan yang menyapanya, terus dia menjeling tajam sebelum pandangan kembali dijatuhkan pada muka buku. Kehadiran gadis itu dianggap sebagai halimunan.
Kening Wafa berkerut, pelik dengan perubahan sikap rakannya itu. "Kau kenapa, Eli?" Tiba-tiba sangat.
"Tanya diri sendiri tu kau dah buat apa dekat aku." Dingin Elisya membalas. Dia betul-betul terasa hati dengan sikap kawannya itu sepanjang cuti minggu ulangkaji ini. Segala andaiannya pada malam itu dibuktikan satu persatu oleh Wafa. Sehingga ke hari ini hutang penjelesannya masih belum langsai.
Sudah penat dia mencuba untuk memahami memandangkan ini bukan kali pertama dia diperlakukan sebegini!
"Aku buat apa dekat kau?" Berkerut-kerut dahi Wafa menyoal, benar-benar tidak tahu di mana silapnya.
Elisya mengeluh lemah. Tepat tekaannya terhadap Wafa, gadis itu memang tidak akan pernah menyedari silap sendiri. "Dah la, Wafa. Exam dah nak mula, aku pergi dulu."
Tanpa sempat Wafa membalas, laju saja Elisya melarikan diri di celahan orang ramai. Akhirnya, Wafa teruskan saja berdiri di tengah-tengah ruang yang sesak dengan manusia itu sendirian. Merenung kosong lantai yang dipenuhi kesan tapak kaki manusia sambil kepala ligat mencari jawapan untuk soalan rakannya tadi.
Tidak kira sejauh mana pun dia cari, tetap tidak dijumpai!
Di manakah silapnya?

STAI LEGGENDO
Cinta Sejati
Storie d'amoreIkatan perkahwinan yang terjalin tanpa merantaikan cinta, tidak mudah bagi pasangan itu hendak mengekalkan kekukuhan rumah tangga. Lagi-lagi apabila sebelah pihak masih tidak sudah dengan masa lalunya. "I already have my own girl to spend my love fo...