Takut

52 3 0
                                    

Pada keesokan harinya, aku bangun awal pagi untuk bersiap seperti yang disuruh oleh Encik Shuib semalam. Sebelum matahari naik lagi aku sudah terpacak di tingkat tiga kediaman milik Dato' Bakri itu. Sebenarnya aku masih lagi mencari jawapan yang sesuai sekiranya disoal oleh Kenit, Abu dan Alang ke mana aku pergi pagi-pagi. Aku dikira bernasib baik saja pagi itu mereka bertiga masih lagi berdengkur.

Apabila aku sampai saja di tingkat tiga, masih lagi tiada kelibat Encik Shuib. Aku hanya berdiri tegak saja sambil menunggu Encik Shuib di luar pintu besar di tingkat tiga itu. Hari ini aku sudah tak berani lagi nak pasang telinga pada pintu besar itu untuk curi-curi dengar suara ataupun perbualan di sebalik pintu besar itu. Entah mengapa hati aku masih lagi berasa takut dengan Tuan Benjamin sejak malam semalam. Walaupun aku tak nampak mukanya dengan jelas dek kerana keadaan di dalam bilik buku yang malap malam semalam, tetapi auranya berjaya menaikkan rasa takut dalam hati aku. Sedaya upaya aku cuba menenangkan hati aku.

Sedang aku gigih mencari ketenangan dalam diri, aku terdengar bunyi tapak kaki daripada arah tangga. Aku pusingkan badan aku dan ternampak Encik Shuib sedang menaiki tangga sambil memandang aku. "Awal kamu siap Budin?" soal Encik Shuib sambil berjalan menghampiri aku. Aku pun pelik. Bukan ke Encik Shuib yang suruh aku bersiap awal malam tadi? Aku menjadi serba tak kena pula mendengar soalannya itu. Tetapi aku hanya menundukkan kepala aku saja.

"Ada beberapa perkara yang kamu perlu tahu tentang Tuan Benjamin" kata Encik Shuib tiba-tiba.

"Setiap pagi kamu kena gosok baju dan seluar Tuan Benjamin. Tuan Benjamin tak suka pakai pakaian yang kedut"

"Sarapan pagi, makan tengah hari, minum petang dan makan malam, semuanya kamu kena amik daripada dapur di bawah dan hidangkan kepada Tuan Benjamin di meja makan di tingkat empat. Jangan guna tangga utama. Guna tangga di ruangan dalam. Nanti saya tunjuk kepada kamu macam mana nak guna tangga tu"

"Jangan cakap atau tanya benda yang tak perlu dekat Tuan Benjamin. Diam je kalau tak tahu nak cakap apa"

"Ikut saja Tuan Benjamin suruh buat apa. Jangan persoalkan. Jangan buat Tuan Benjamin marah" jelas Encik Shuib panjang lebar. Aku hanya tekun saja mendengar. Sebenarnya banyak lagi pesanan Encik Shuib kepada aku. Tetapi aku sudah mula hilang fokus apabila mendengar pesanannya yang panjang berjela-jela itu.

"Dan yang paling penting sekali! Kalau kamu rasa takut, kamu pandang bawah je. Pandang je lantai lama-lama. Jangan tunjuk reaksi takut tu" pesanan Encik Shuib yang terakhir sebelum Encik Shuib membuka pintu besar itu dengan kunci yang dipegangnya.

Sejujurnya aku tak faham langsung pesanan terakhirnya itu. Tetapi aku hanya hiraukan saja buat masa itu. Apabila pintu besar itu dibuka oleh Encik Shuib, aku dapat lihat sebuah bilik yang seluas alam di sebalik pintu itu. Kata Encik Shuib seluruh tingkat tiga itu merupakan bilik tidur Tuan Benjamin. Patutlah aku tak nampak langsung koridor di tingkat tiga itu. Bilik tidur Tuan Benjamin itu terserlah dengan kemewahan dan kemegahan. Mulut aku sedikit ternganga melihat reka bentuk dalaman bilik tidur itu. Namun, aku menutup mulut aku semula apabila aku ternampak sekujur tubuh sedang terbaring di atas sebuah katil yang besar di tengah-tengah bilik itu. Mungkin Tuan Benjamin masih lagi belum bangun daripada tidurnya.

Kemudian, Encik Shuib membawa aku ke bahagian almari baju dan mengajarkan kepada aku cara menggunakan iron baju dan steamer. Jelas Encik Shuib, aku yang perlu pilih pakaian Tuan Benjamin setiap hari. Aku tak tahu lah apa nasib Tuan Benjamin lepas ni kalau aku yang pilih pakaian dia hari-hari selepas ini. Aku sendiri pun pakai baju selekeh. Mungkin dia pun akan nampak selekeh saja selepas ni. Siapa suruh dia nak sangat aku bekerja dengan dia? Padan muka.

Setelah selesai menggosok baju dan seluar Tuan Benjamin, Encik Shuib membawa pula aku ke bilik mandi dan tandas. Aku sudah boleh agak bilik mandi dan tandas Tuan Benjamin besar mana. Tetapi rupa-rupanya bilik mandi dan tandasnya lagi besar daripada sangkaan aku. Encik Shuib mengajar aku cara menadah air panas ke dalam bathtub untuk kemudahan Tuan Benjamin mandi. Terdapat banyak juga jenis-jenis sabun aku perlu tahu dan ingat untuk diletakkan ke dalam air panas yang sudah ditadah itu. Seronoknya jadi orang kaya. Mandi pun orang sediakan.

Selain daripada menyediakan pakaian dan mandian, Encik Shuib memberitahu aku juga perlu sediakan tempat tidur. Aku perlu kemas katil setiap kali selepas Tuan Benjamin bangun daripada tidurnya. Katilnya itu perlu ditukarkan cadar dan sarung bantal sekurang-kurangnya seminggu sekali. Mendengar semua tugasan aku bertimbun apabila disuruh untuk bekerja dengan Tuan Benjamin itu, aku rasa seperti mahu larikan diri. Tetapi aku nak lari mana pun aku tak tahu.

Sesudah saja siap menjelaskan semua perkara itu, Encik Shuib pun berjalan menghampiri Tuan Benjamin yang sedang lena diulit mimpi. Aku hanya berdiri di penjuru bilik. Perasaan takut masih lagi menguasai diri aku. Lalu, aku hanya memerhati daripada jauh Encik Shuib sedang memanggil Tuan Benjamin beberapa kali untuk mengejutnya daripada tidur. Badan Encik Shuib masih lagi berdiri tegak sambil memanggil Tuan Benjamin. Tangannya sekalipun tak menyentuh Tuan Benjamin. Aku berfikir mana mungkin Tuan Benjamin akan bangun dengan memanggil namanya saja. Aku kejut Kenit, Abu dan Alang selama ini pun kena goyang badan mereka sekuat hati sampai bergegar katil baru mereka bangun.

Ternyata fikiran aku salah. Setelah beberapa kali Encik Shuib memanggil Tuan Benjamin, badannya mula bergerak. Dia perlahan-lahan bangun dan mula duduk di hujung katilnya. Nampak saja dia sudahpun bangun daripada tidurnya, aku terus mengalihkan pandangan aku ke lantai. Aku takut untuk bertentang mata dengannya. Kemudian, daripada hujung ekor mata aku, aku dapat melihat Tuan Benjamin berdiri seketika dan seolah-olah sedang memandang ke arah aku. Terus jantung aku berdegup kencang. Mungkin itu perasaan aku saja. Lalu, aku nampak kakinya mula berjalan menuju ke arah bilik mandi. Aku berasa sedikit lega.

Ketika Tuan Benjamin sedang mandi, aku dan Encik Shuib mula mengemas tempat tidurnya. Selepas itu, Encik Shuib membawa aku ke dapur di tingkat bawah menggunakan tangga ruangan dalam iaitu tangga yang tersembunyi daripada pekerja-pekerja lain. Memang benar sangkaan aku semalam. Memang ada butang tersembunyi di belakang lukisan seni yang tergantung di dinding untuk membolehkan dinding itu berputar. Aku berasa sangat teruja apabila mengetahui tentang rahsia itu. Kemudian, aku dan Encik Shuib mengambil sarapan pagi di dapur dan naik semula ke tingkat empat untuk hidangkan sarapan pagi itu kepada Tuan Benjamin.

Apabila sudah selesai semua tugasan itu, Encik Shuib pun meminta diri untuk beredar dan meneruskan tugasannya yang lain iaitu mengurus pekerja-pekerja lain. Sebelum Encik Shuib meninggalkan aku, dia menyerahkan kepada aku kunci pendua untuk bilik tidur Tuan Benjamin dan bilik-bilik lain di tingkat empat dan lima. Katanya aku perlu memegang dan menjaga kunci pendua itu seperti nyawa aku sendiri. Encik Shuib sekali lagi mengingatkan aku tentang semua pesanannya tadi. Aku hanya mengangguk saja kepala aku tanda faham dan akur.

Setelah ditinggalkan sendirian, aku kembali ke tingkat tiga dan berdiri tegak di penjuru bilik tidur Tuan Benjamin itu dengan kepala aku yang memang sengaja ditundukkan. Beberapa minit kemudian, aku terdengar bunyi tapak kaki sedang berjalan menghampiri aku. Aku pasti itu Tuan Benjamin. Jantung aku berdegup laju. Lalu, Tuan Benjamin berdiri betul-betul di depan aku. Aku dapat lihat kedua-dua kakinya yang berkasut tutup terletak selari dengan kaki aku. Dia berdiri lama di depan aku tanpa berkata apa-apa. Aku hanya menundukkan saja kepala aku dan memandang lantai.

Selepas seketika, sebelah tangan Tuan Benjamin menarik dagu aku seperti memaksa aku mendongak untuk memandang tepat ke mukanya. Itu merupakan kali pertama aku melihat muka Tuan Benjamin dengan jelas. Apabila mata aku memandang mukanya, aku dapat melihat wajahnya yang kacak dan putih melepak seperti kacukan British. Memang tak dapat dinafikan mukanya sangat seiras dengan gambar potret Datin Soraya yang tergantung tinggi di ruang tamu tingkat bawah.

Namun, sebelah kanan mukanya terdapat kesan terbakar di bahagian yang berdekatan dengan mata kanannya. Mata sebelah kanannya juga seperti berwarna putih semuanya. Apabila dilihat daripada jarak yang dekat, matanya seperti buta sebelah. Tetapi kesan terbakar pada mukanya itu sedikit pun tak mencacatkan mukanya yang handsome itu. "Kenapa? Takut?" soal Tuan Benjamin sambil tersenyum sinis apabila melihat aku memandang mukanya lama. Takut? Sejujurnya, perasaan takut aku tadi sudah mula hilang apabila aku memandang mukanya. Entah mengapa aku berasa sedih dan kesian pula.

BenjiWhere stories live. Discover now