Ketawa Aishah mendengar cerita Marina berkenaan warna baju nikah yang dipilih oleh Irham.
" Geram betul aku dengan dia ni. Kalau tak hormatkan Kak Citra sebagai tuan punya butik, dekat situ juga aku hentak si Irham tu," tangannya dikepal rapat.
" Itulah kau. Dia suruh kau pilih kau tak nak, last sekali dia pilih warna yang dia nak. Pasrah wei pakai warna hitam nanti. Jarang-jarang tau pengantin pakai warna hitam masa akad nikah," AIshah masih ketawa.
" Ishh, kau ni ketawakan aku pula. Menyesal aku cerita dekat kau," dengus Marina.
" Dekat mana Abang Am tempah baju nikah kau tu? " tanya Aishah. Ingin juga tahu. Sebab Marina lepas tangan soal baju nikahnya, jadi apa sahaja yang Irham buat terpaksalah dia ikut.
" Tak tahulah pula aku. Sebab semua dia yang uruskan. Rasanya baju ready made kot," balas Marina. Nampak sangat dia tidak tahu.
Menggeleng kepala Aishah dengan sikap Marina.
" Kau ni Rina. Ni majlis kau tau. Tunjuklah sikit effort kau nak kahwin. Dah kau serah semua dekat Abang Am, nasib kaulah pakai baju berkabung untuk akad nikah kau nanti. Jangan degil. Jangan jual mahal sangat. Abang Am tu dah sebaik-baik kejadian seorang lelaki tau. Ini aku dengar Syimah dok tergila-gilakan Abang Am. Kau jangan sambil lewa sangat bab ni. Silap haribulan bermadu kau dengan Syimah tu," ujar Aishah.
" Ish mulut kau ni kan..." Dan-dan dia rasa takut. Tak mahu dia bermadu dengan sesiapa.
Malam itu sekali lagi dia menghantar teks pesanan kepada Irham berkenaan warna baju nikah mereka.
Marina
- Betul-betul ke ni warna hitam? Aku tak nak warna hitam. Kau tukar warna lain.
Hampir lima minit dia menanti balasan dari Irham.
Irham
- Betullah. Mana ada aku main-main. Kau juga yang suruh aku pilih. Aku pilihlah mana yang aku suka. Nak tukar warna lain dah tak sempat. Baju pun dah nak siap. Dua hari sebelum majlis nikah aku hantar baju ke rumah kau.
Marina
-Ish tak leh harap betul kau ni....
Irham
- ....
Betul cakap Aishah, dia terpaksa pasrah sahaja. Sampai hati Irham memilih warna paling tragis untuk majlis akad nikah mereka. Rasa mahu meraung meratap sedih malam ini.
Semakin hampir dengan tarikh menikah, hati Marina makin tidak senang. Mengenangkan baju nikah yang belum nampak rupa itu lagi menambahkan resah hatinya. Itulah siapa suruh ikutkan sangat hati. Sekarang mendapatlah.
" Rina, kamu nak tambah apa-apa lagi tak untuk hantaran?" tanya Mak Cik Wani.
Rina mengalih perhatiannya kepada deretan dulang hantaran yang disusun kemas di tepi dinding itu. Asalnya mahu memberi tujuh dulang sahaja. Tapi kini sudah bertambah menjadikan semuanya 11 dulang. Saudara mara keluarga emak dan bapanya yang bermurah hati mahu memberi. Tidak pula mereka menolak.
" Rina rasa ini sudah cukup mak. Kita asal nak bagi tujuh ajer. Ni dah jadi 11 dah," balas Marina.
" Kalau kamu dah cakap macam tu tak apalah. Mak ikut ajer. Tak sangka mak meriah betul hantaran kamu. Dalam tak nak bukan main lagi kamu," usik Mak Cik Wati.
Merah muka Marina diusik emaknya. Panas tiba-tiba. Emaknya masa ini juga mahu mengusik.
" Mana adalah mak. Dah rezeki Rina. Orang baik hati nak sedekah."
" Ya lah. Tapi mak musykil ni. Betul ke baju nikah kamu ni warna hitam?" soal Mak Cik Wati.
Marina rasa mahu meraung mendengar soalan emaknya itu. Selagi dia tidak nampak bentuk baju nikahnya itu, memang menjadi isu paling hangat dan penting sekarang ini. Minggu depan akan berlangsung majlis akad nikah di masjid. Tidak sanggup rasanya dia mahu memakai baju itu.
" Am yang pilih," jawab Marina perlahan.
Berkerut dahi Mak Cik Wati. Tak tahulah sama ada dia salah tengok atau salah dengar. Sebab dia sudah melihat baju nikah anaknya. Takkan mereka tukar warna pula. Hairan bin ajaib sungguh ni.
" Hitam pun hitamlah. Nak buat macam mana mak. Dah dia yang pilih. Ni semua silap Rina. Serah bulat-bulat dekat dia," kesal sungguh hatinya.
Tak terkata Mak Cik Wati. Apa pun dia mampu berdoa semoga semuanya baik-baik sahaja untuk majlis minggu depan.
Dua hari sebelum majlis akad nikah, Atiqah datang menghantar baju nikah bakal mak sunya itu. Tersarung elok di dalam plastik.
" Mak su, Iqah datang hantar baju ni. Pak su tak dapat hantar. Dia sibuk. Nak letak mana baju ni mak su?" tanya Atiqah. Sudah bertukar gelaran untuk Marina.
" Gantung dekat ampaian besi tu," jawab Marina.
Atiqah menyangkut baju itu.
" Iqah dah siap iron tau. Cantik ibu jahitkan baju nikah mak su," puji Atiqah. Memang kakak sulung Irham adalah tukang jahit.
Marina terdiam. Jadi selama ini tukang jahit baju nikahnya adalah bakal kakak iparnya sendiri. Tak tahu dia hendak cakap apa. Rasa malu mula menghimpit dasar hatinya.
" Eh betul ke ibu Iqah yang jahit? Bukan ready made?" tanya Marina untuk kepastian.
" Betullah. Iqah sendiri yang jahitkan manik dekat baju mak su. Lawa tau mak su. Pandai pak su pilih warna baju nikah mak su. Ibu jahitkan sepasang untuk pak su dan mak su."
Marina tidak percaya. Takkanlah warna hitam itu cantik di mata Atiqah.
" Tapi mak su tak suka warna hitam. Pak su awaklah ni yang pilih warna hitam."
Terbeliak mata Atiqah. Pelik. Sejak bila pula dia bawa baju warna hitam. Mulalah dia takut tersilap bawa baju. Tapi dia pasti sudah membawa baju yang betul. Tak silapnya baju yang ibunya siapkan itu warna putih susu. Tergaru-garu kepala Atiqah. Rasanya dia masih belum lagi buta warna.
" Mana ada warna hitam. Putih susu la mak su baju nikah ni. Hari-hari Iqah menghadap jahit manik. Eh rasa Iqah belum lagi buta warna. Takkanlah setiap hari menghadap manik-manik halus tu, mata Iqah dah rosak," polos sahaja Atiqah menjawab.
Menegak sahaja telinga Marina mendengar warna yang disebut oleh Atiqah itu. Terasa seperti dipermainkan sahaja oleh Irham sepanjang dua bulan ini. Dia cepat-cepat membuka sarung plastik itu.
Sungguh tidak percaya. Bukan warna hitam tetapi putih susu. Kebaya kesukaannnya. Veil pun warna senada. Mahu menitik air matanya melihat kecantikan baju itu. Rasa batu besar jatuh dari bahunya. Jahat betul Irham menipunya. Dan-dan dia memeluk Atiqah yang terpinga-pinga itu. Atiqah hanya mampu menepuk bahu Marina. Pasti pak sunya sudah menipu mak sunya. Atiqah menggelengkan kepalanya.
Alahai pak su.

YOU ARE READING
Mak Long Versus Pak Su
Short Story"Walaupun aku ni anak bongsu, tapi aku lagi tua dari kau tau" - Irham. " Wei jantan tak makan saman" - Marina. Mak long adalah gelaran pangkat anak sulung. Marina merupakan anak sulung yang mempunyai tiga orang adik beradik. Sejak adik lelakinya yan...