BAB 20

2 0 0
                                    

ASALNYA memang aku dah rasa makin berbisa satu badan dah. Tapi aku abaikan. Pujuk-pujuk hati, yang malam ni akan berakhirlah semua yang sakit ni. Malam ni Indera akan bawa aku pulang ke Purnama Sakti, sekali gus memperisterikan aku. Aku boleh dirawat malam ni juga.

Jadi atas sebab tu, aku lawan juga sakit tu. Aku bawa bersembang dengan Indera. Aku buat semua benda yang berpotensi buat aku lupa pada rasa sakit tu.

Menjadi.

Tapi nampaknya Putera memang betul-betul nak bunuh aku. Tak boleh tengok aku bahagia, walau setakat bahagia yang pura-pura pun.

Petang tu, lepas kelas, lagi berganda-ganda rasa bisa dalam badan aku. Lagi-lagi di bahagian terletaknya jantung. Tengah-tengah bersembang dengan Indera tu, aku sampai terhenti. Sakit punya pasal. Aku pegang dada.

Indera tengah memandu masa tu. Bila aku tiba-tiba senyap, dia toleh pandang aku.

"Kenapa, Kemboja?"

Aku pandang dia.

"Sakit?" soalnya prihatin.

Aku tak boleh nak bersuara. Aku angguk saja, satu kali dan dengan teramat kecil.

Dia diam. Boleh nampak keresahannya di situ. Dan aku boleh rasa juga yang kereta ini jadi semakin laju.

Sampai di rumah, aku terus masuk bilik. Terbatuk, dan batuk aku mengeluarkan darah.

Aku terjatuh atas katil. Gigit bibir bawah seketat-ketatnya.

Cuba bertahan dengan rasa yang pedih mencucuk-cucuk di seluruh batang tubuh aku. Rasa macam disiat-siat, dilapah-lapah. Rasa panas. Kaki macam pijak bara api.

Mungkin inilah santau yang selalu orang sebut-sebut tu.

Aku mencuba agar tidak mengerang. Nanti keluarga aku akan risau.

Menggigil-gigil, aku gigih bangun. Masuk bilik air. Mandi dan solat.

Lepas isyak, keadaan aku semakin teruk. Tapi aku lawan lagi diri. Aku bersiap-siap. Sarung baju kurung sutera warna putih, bersama shawl yang juga berwarna putih.

Tepat jam sembilan malam, pintu bilik aku diketuk.

Terbatuk-batuk, aku buka pintu.

Indera berdiri di hadapan aku. Serba putih juga seperti aku.

"Dah siap?" soalnya.

Aku angguk. Senyum pada dia.

Dia senyum juga.

"Jom." Suara bass.

Aku angguk lagi. Mengikut bila dia melangkah pergi.

Kami turun ke ruang tamu menemui keluarga untuk kali terakhir sebagai pasangan yang belum bernikah. Minta restu keluarga.

Lepas tu Indera membawa aku ke Gerbang Bunian. Di sana, kami berjalan hingga cuaca bertukar daripada malam menjadi siang. Nescaya kami dah berjaya memasuki alam bunian.

Ada seekor kuda putih yang dah sedia menunggu kami di situ.

"Kita akan naik kuda ni?" soalku perlahan pada dia.

"Mmm." Dia angguk satu kali.

Dia bawa aku menghampiri kuda itu. Kemudian dia usap-usap kepala kuda itu hingga kuda itu akur padanya dan merendahkan diri untuk aku.

"Naik, Kemboja."

Aku tak ada pilihan. Aku cuba naik kuda itu, tapi waktu itu juga batukku terlepas. Lekas aku tekup mulut.

Kulihat, ada darah di atas telapak tanganku.

Waktu itu, terasa tangan Indera yang besar mengusap-usap lembut kepalaku.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Jun 14 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

Dear Beloved [:FAST UPDATE:]Where stories live. Discover now