Aku masih ralit dengan nasi dan kambing bakar di dalam pinggan walaupun orang hadapan dah tengok aku macam nak terkeluar bebola mata. Tetapi, mulut Aidan tetap terkunci rapat. Tak keluar sebarang bunyi. Seolah-olah dia tu lelaki bisu.
"Awak tak makan?" tanya aku sekadar berbahasa sesama manusia. Tiada niat pun nak jadi manusia ramah di rumah baru keluarga Nani.
Sebenarnya, orang tua Nani ada buat kenduri doa selamat sempena masuk rumah baru mereka malam ini. Yang design rumah mereka pula, Aidan. Sebab itu, dia pun ada depan mata aku sekarang.
Dan, ini pertemuan kami yang pertama selepas dua bulan. Selama dua bulan, kami berdua tak bersemuka. Dia hanya berhubung dengan aku melalui pesanan WhatsApp semata-mata. Dia sibuk dengan projek baru syarikat dia di Terengganu dan Sabah.
Sejujurnya, aku bersyukur sangat. Kerana selama dua bulan, hidup terasa aman tanpa sebarang gangguan daripada Ahmad Aidan bin Ahmad Attar. Tetapi nampaknya malam ini, perasaan aku akan berantakan semula.
"Aku dah makan tadi dengan Umar," balas Aidan bersama anak mata yang tertumpu pada tampang muka aku.
Aku hanya anggukan kepala dan sambung makan nasi seperti manusia yang dah tak makan 10 hari.
Tapi, aku memang kebulur pun!
Ini makanan aku yang pertama selepas 20 jam bangun daripada tidur. Aku belum makan apa-apa lagi sejak pagi. Terlampau sibuk dengan audit working paper sampai lupa habis segalanya.
"Muka kau makin cengkung, Elina."
Aku pegang kedua-dua belah rahang sejenak. Lalu, kepala terangguk ke bawah bersama muka yang tak berperasaan. Kemudian, tangan menolak pinggan yang kosong ke bahagian tengah meja. Tengah menanti masa yang sesuai untuk membawa diri jauh daripada Aidan.
"Aku harap kau cengkung kerana kurang makan. Bukan sebab kau sakit. Atau tengah makan hati dengan aku."
"Kalau makan hati dengan awak, bukan setakat pipi yang cengkung. Badan saya pun kurus kering macam lidi," balas aku monotone dan sepantas kereta api laju negara Jepun. Ibarat skema jawapan tu memang dah tersimpan kemas dalam memori. Hanya tunggu masa yang sesuai nak keluar dalam bentuk lisan.
"Elina..."
"Sekarang tengah peak period. Nak kencing pun tak sempat. Apa lagi nak makan, Aidan."
Aku jujur bukan kerana takut pada seruan tanpa nada dia. Cuma nak mengelak daripada memanjangkan isu yang remeh-temeh.
"Busy macam mana sekalipun, jangan lupa makan. Jangan tahan kencing. Kau nak pakai badan kau lama lagi. Bukan setakat sehari dua, Elina."
Aku sambut nasihat dia dengan anggukan kepala semata-mata. Malas nak menyahut guna suara. Badan dan otak terasa penat.
"Dah dua bulan aku tak nampak kau, tetapi perangai kau masih sama. Tetap juga kedekut suara dengan aku. Apa masalah kau?"
Okey, sumpah aku rasa menyesal tahap gaban. Aku patut diam aje tadi sampai ke sudah. Tak payah gatal mulut nak tunjuk perangai mesra manusia.
Sekarang mulut Aidan dah macam bertih jagung. Tak berhenti mengomel biarpun sesaat. Ada saja celoteh yang bakal meluncur keluar dari bibir dia.
"Saya tak ada masalah. Cuma saya penat nak berkomunikasi dengan awak." Aku pilih untuk guna perkataan 'komunikasi' supaya kefahaman dia lebih meluas. Bukan setakat nampak pada satu perspektif saja.
"Ooo... penat. Baru aku faham sekarang. Kenapa kau balas WhatsApp aku dengan gambar semata." Dia pandang aku dengan kening yang terjongket. Hujung bibir tercunggit sedikit ke atas.
