Fila bangkit daripada baringnya lalu mengesot sedikit ke dinding dan bersandar. Matanya sejak tadi masih belum boleh lelap. Puas dia memikirkan segala teori-teori sains, teori graviti dan masa yang pada hematnya mungkin boleh membuatkan otaknya penat lantas memudahkan dia terlena. Tapi sangkaannya meleset, makin dia menjadi segar. Fila mencapai henfon dari meja di sisi katil. Dia menolak slaid ke kanan skrin menggunakan ibu jari dan henfon di-unlock. Kosong. Tiada sebarang notifikasi daripada Iki. Kali terakhir Iki dapat dihubungi ialah apabila dia menghantar pautan link di whatsapp dan Iki hanya meninggalkannya dengan bluetick. Hm, pelik.
Jam sudah menunjukkan lewat 4:30 pagi, Iki masih tidak kunjung tiba. Sepatutnya perjalanan daripada Ayer Keroh ke Bangi tidaklah mengambil masa yang terlalu lama memandangkan Iki juga sudah berehat lama di hentian itu. FIla menekan butang call dan tertera nama Iki di senarai paling atas. Dia tekan pada nama Iki kemudiannya ikon gagang berwarna hijau terang ditekan. Panggilan bersambung tut! tut! berhenti sesaat tut! tut! berhenti sesaat lagi tut! dan senyap sunyi seperti talian dimatikan serta-merta. Fila cuba untuk menelefon Iki sekali lagi, tetapi kali ini talian tidak bersambung sepertinya henfon itu dimatikan atau terpadam dek kerana kehausan bateri. Makanya, Fila menanti dengan sabar ketibaan satu-satunya rakan karibnya sejak kecil itu.
***
Aku tersentak apabila pakcik beruban itu muncul di tengah-tengah jalan raya. Sedang tersengih ke arahku apabila cahaya kereta menyuluh tepat ke mukanya. Hentaman kereta pada tubuh membuatkan tubuh itu melayang ke udara sebelum ia mendarat di cermin hadapan kereta, menyebabkan ia retak lalu berkecai. Pedal brek aku injak dengan serta merta. Tayar berdecit nyaring sebelum kereta berpusing-pusing lalu merempuh pembahagi jalan.
BAM!
Rempuhan itu menyebabkan bahagian belah kanan kereta mula remuk perlahan-lahan lalu menghentam aku di tempat pemandu dan air bag meletus keluar. Bingung. Mukaku berlumuran darah, sakit di sana sini, kepalaku berdenyut dan teramat perit yang aku fikir tengkorakku mungkin sudah retak dek kerana kepala berlaga dengan pembahagi jalan sebaik saja cermin bersepai. Berpinar-pinar. Telefonku yang tadinya berdering tercampak ke lantai jalan raya dan terpadam. Bunyi angin menderu di luar dan bunyi cengkerik semakin sayup dan semakin sayup. Pandanganku semakin kabur. Gelap.
***
Kepalaku berdenyut seakan-akan dicucuk dengan garfu lalu tembus ke dalam tengkorak sebaik aku tersedar daripada, hm tidur? Atau pengsan? Aku tidak ingat apa-apa. Tubuhku sengal-sengal apabila aku cuba berdiri.
"Aku kat mana ni?" Aku pandang ke sekeliling, Aku berada di jalan raya yang kelilingnya dilatari semak samun dan hutan. Aku jadi musykil dengan keberadaanku ini. Apa aku buat kat tengah-tengah jalan raya malam-malam buta ni?
Aku seluk poket jaket denimku dan aku capai henfon. Retak? Entah sejak bila, aku tidak perasan, skrin henfon itu retak seribu. Aku tekan butang di sisi kanan henfon untuk unlock, namun ia tidak menyala. Aku ulang sekali lagi tapi kali ini aku hold butang itu dengan lebih lama dan dua saat kemudian keluar logo Apple .
"Bila pulaklah aku matikan fon ni?" omelku sendirian sementara menanti henfon itu menyala sepenuhnya.
Ting! Ting! TIng! beberapa notifikasi menerjah masuk sebaik saja ia hidup. 6 missed calls daripada Fila dan satu daripada Rudi yang turut menyertakan pesanan ringkas "Kau kat mana? Aku nak mintak tolong kau nengokkan Iphone aku ni." Aku buang semua recent apps dan aku cuba menelefon Fila tetapi tidak dapat. Tiada nada yang kedengaran, langsung. Aku tekan ikon torchlight dan cahaya daripada lens menyala terang, menyuluh ke segenap jalan raya yang gelap gelita itu.
YOU ARE READING
Seram
Short StoryKoleksi cerpen seram untuk semua. Hantu ni sebenarnya wujud, cuma kau je yang tak nampak. Cuba kalau nampak? Mungkin dia ada belakang kau tu sekarang, tengah perhati kau dengan mata terjegil dan gigi taring berlendir.