1.

1.3K 28 0
                                    

Hairan, hairan. Sememangnya lelaki itu patut dihukum gantung. Erti keputusan si Tuan Hakim, tiada siapa yang dapat memastikannya. Setelah 15 hari mendengar audio, menaip, menghasilkan transkrip mengenai kes pembunuhan tersebut, akhirnya tamat perbicaraan mahkamah. Tertuduh hanya dikenakan penjara selama 25 tahun dan 24 kali rotan. Kedengaran sedikit huru-hara di dalam audio setelah Hakim menyuraikan semua yang hadir.

"Kalau aku pun aku marah," tiba-tiba Asmira Adnan bersuara. Wadi Rahmat yang duduk di sebelahnya menghentikan audio di komputer.

"Apa dia dapat?"

"25 tahun dengan 24 kali rotan. Keluarga si mati tengah kecoh ni."

"Memang tak sia-sialah peguam dia bertegang urat dengan pendakwa raya. Tapi lega untuk kita sebab akhirnya kes ni boleh tutup buku. Kepala aku boleh pecah seribu dengarkan perbualan dorang yang tonggang-terbalik tu."

Asmira mengeluarkan keluhan kecil sambil menanggalkan set kepala. Dia mula mengemas barang-barangnya ke dalam beg. "Isnin je lah aku semak. Dah pukul 7 ni. Perut pun dah lapar. Kau tak nak balik ke?"

"Aku ada lagi sikit nak taip ni," jawab Wadi. "Kau baliklah dulu. Nanti isteri kesayangan kau tertunggu-tunggu kat rumah."

~

"Isteri. Selalunya aku yang akan sampai rumah dulu, sama ada pukul 7, 8, atau 9," kata Asmira di hati, dan hari itu tidak terkecuali. Entah butik mana pula yang dikunjunginya. Entah pameran mana pula yang dihadirinya. Entah pelanggan mana pula yang sibuk dilayaninya. Asmira lah yang selalu menguruskan hal rumahtangga mereka.

"Hanya tinggal berapa paket mi segera je dalam kabinet. Takkan aku nak makan ni lagi. Botaklah kepala aku nanti. Dalam dompet tak ada duit pula. Lupa nak ke ATM tadi. Nak keluar beli makan pun tak ada kereta. Ah. Daripada aku buang masa perah otak pasal makan, baik aku mandi, salin baju, dan lepas tu jalan kaki ke kedai runcit."

Terang lampu kereta itu memancar ke arah Asmira dari belakang ketika dia menghampiri rumahnya. Habis roti dimakannya sambil berjalan pulang dari kedai runcit. Dia menoleh ke belakang dan mendapati kereta kepunyaannya dipandu Kristina Mahfudz, sang isteri. Dengan muka yang bersahaja, Asmira membuka luas pagar rumah teres mereka dan terus menuju ke pintu rumah lalu masuk ke dalam. Kristina pula kelihatan tidak lama setelah meletakkan kereta di halaman.

"Sayang pergi mana tadi?"

"Kedai."

"Beli apa?"

"Roti."

"Belum makan malam lagi?"

"Belum. Tak ada apa nak makan kat rumah ni."

Kristina masih menatap wajah Asmira yang tidak henti minum air dari gelasnya. "Kita keluar makan?"

"Tak apa, I dah kenyang pun makan roti tadi," jawab Asmira tanpa melihat ke wajah pasangannya, "I nak sambung menulis kat bilik. Kalau you nak makan, masih ada mi segera dalam kabinet."

~

Waktu itu, semuanya indah. Keriangan majlis persandingan sering dikenangkan. Asmira masih ingat lagi semasa dia hendak menyarung cincin ke jari manis Kristina Mahfudz. Keadaan di sekeliling mereka begitu riuh dan penuh kegembiraan kerana itulah masa yang dinantikan oleh kenalan-kenalan mereka. Sudah setahun bercinta, tunggu apa lagi, dia teringat kata-kata mereka. Niat untuk membuat majlis ala kadar terpaksa dilupakan kerana ingin menuruti cita-cita Kristina yang mahukan majlis yang gah. Pemilik butik terkenal, salah satu penganjur utama KL Fashion Week, itulah Kristina Mahfudz. Namun, untuk seseorang yang tidak mengenali diri mereka berdua dengan lebih terperinci pasti akan tertanya-tanya bagaimanakah terjadinya satu perhubungan cinta antara mereka yang mempunyai cara kehidupan dan kerjaya yang jauh berbeza.

"Aku jumpa dia ketika Mahkamah Agung mengadakan upacara kerasmian Ketua Hakim Negara pada tahun itu," tulis Asmira di diari hariannya, "Waktu itu, dia penganjur pakaian bagi salah seorang hakim wanita yang juga merupakan pelanggan tetap di butiknya. Bagi jabatan transkripsi, semuanya hadir, termasuklah penolong pencetak. Majlis itu memang membosankan, tetapi kerana jemputan peribadi dari Ketua Hakim sendiri, kita tidak boleh menolak walaupun kerja masih banyak di pejabat. Namun, kalau ikutkan kepala aku yang berkeras hendak terus menaip dan tidak mahu menghiraukan majlis di bawah itu, aku tidak mungkin akan mengenali dan mengahwini Kristina Mahfudz."

Senyuman di bibir hilang apabila Kristina memasuki bilik kerjanya.

"As?"

Asmira melihat di hadapan.

"Sibuk ke?"

"Biasa, menulis. Kenapa?"

"Boleh I masuk? I nak cakap sesuatu dengan you."

Asmira berhenti menulis. "Cakaplah apa dia."

Kristina menghampiri meja kerjanya dan ke tempat duduknya. Dia merehatkan punggungnya di atas meja lalu memandang pasangannya itu. Sememangnya perasaan di hati adalah seperti seseorang yang bersalah dan juga sedih apabila mendengar Asmira hanya memakan sekeping roti untuk makan malam sementara dia tadi telah berjamuan besar bersama rakan-rakan di luar sebelum pulang. Tidak berani untuk dia memberitahu apa-apa tentang itu kepada Asmira yang pastinya masih kelaparan.

"I tahu you dah lama marah dengan I sebab I selalu balik lambat dan I macam dah tak pentingkan rumah ni lagi. I minta maaf, As. I hargai kesabaran you dan I bersyukur sebab you begitu faham dengan kerjaya I. I memang nak sangat ajak you keluar makan tadi pasal I sedih dengar you makan sekeping roti je. I tak nak you jatuh sakit nanti. Okey, I janji hujung minggu ni dan depan, I akan duduk di rumah. I luangkan masa dengan you. We can go out, you can drive. I miss us a lot as well, As. I love you and you always know that."

Dia dipandang tanpa sebarang kerlipan mata oleh Asmira. Setiap kali perkara yang sama berlaku antara mereka, setiap kali itulah dia akan lakukan sedemikian; masuk ke bilik, minta izin untuk bincangkan masalah mereka, janji dan janji. Namun, perkara yang sama tetap akan berulang. Dan ia sudah berterusan hampir setahun, sejak Kristina lebih sibuk dengan cawangan butiknya yang kedua dan jumlah pelanggan yang bertambah. Dan hampir 3 tahun mereka berumahtangga, Asmira Adnan masih seorang pakar transkripsi di Mahkamah Agung.

"Jadi kali ni I patut percaya kata-kata you ke? If I had to transcribe the number of promises you made, Kris, I would probably have lost count somewhere."

"Yes, kali ni I betul-betul cakap ikhlas dengan you. Dalam rumah ni, dalam rumahtangga ni, hanya kita berdua je. Kalau I tak ada you, dengan siapa lagi I boleh kongsi hati dan hidup I? Tolong beri I peluang sekali lagi, As."

Siapalah yang tak sayang isteri. Tetapi pada masa itu, hati Asmira tidak memberi seratus peratus kepercayaan kepada kata-kata Kristina. Peluang memang boleh diberi, tetapi Asmira memilih untuk menunggu hujung minggu itu dan hadapan sebelum hatinya diyakini sepenuhnya.

Bukanlah mereka tidak mempunyai sesiapa untuk mengadu nasib. Masih ada Izyan Khalid dan Farisha Tarmizi, pasangan yang juga merupakan rakan-rakan karib mereka. Mereka berempat telahpun berkawan sejak Asmira mengenali Kristina. Kristina dan Farisha saling mengenali dari bangku universiti lagi dan kini masih berhubung. Kerjayalah yang telah merenggangkan sedikit persahabatan mereka. Farisha, seorang peguam, sudah pun berkahwin dengan Izyan, seorang kakitangan pesawat negara, selama setahun. Sungguhpun mereka mempunyai kerjaya yang hebat-hebat belaka dan rumahtangga yang mungkin dicemburui ramai, namun disebalik perkataan "perkahwinan" itu, mereka tidak terkecuali dari masalah.

"I selalu juga nampak Sha ni di mahkamah, tapi waktu tu manalah I tahu dia kawan baik bakal isteri I ni," ujar Asmira ketika Kristina membawanya ke pertemuan pertamanya dengan Farisha dan Izyan 2 tahun yang lalu. "Budak-budak ofis suka usik dia bila dia datang ke pejabat untuk perkhidmatan transkripsi kita."

"Tulah dia, I pun tak sangka kawan baik I ni boleh tersangkut dengan you," Farisha membalas dengan ketawa. "Memang kecil dunia ni."

"I pula boleh terpaut dengan Sha semasa penerbangan ke Jepun waktu tu," kata Izyan pula. "I ada juga terfikir, 'Nak ke dia keluar dengan aku kalau aku ajak? Aku ni bukannya peguam macam dia'. Sekali dia kata 'Yes'. Apa lagi, I jalanlah terus!"

Mereka berempat tertawa dengan cerita Izyan. Asmira terus memegang tangan Kristina dan memberinya senyuman sayang.

~

Transkripsi CintaWhere stories live. Discover now