1. Di bawah hujan

38 1 4
                                    

Hujan lebat diselang guruh dan kilat menyekat perjalanan Zufar dan dia berteduh di perhentian bas yang berbumbung dan berdinding. Dia masih ada dua kawasan yang tidak selesai untuk penghantaran sebelum jam 6 petang ini.

Dalam gelap hujan, dia nampak seseorang yang berdiri di seberang jalan dan kelihatan seperti mahu melintas tetapi teragak-agak. Lelaki itu tidak berpayung dan Zufar pasti dia sudah basah kuyup. Lama memerhati, akhirnya Zufar bangun dan keluar dari teduhan. Lelaki tadi masih teragak-agak melintas dek kereta yang lalu lalang meluncur laju.

Payung yang memang sentiasa disimpan di motosikal dicapai. Baju hujan disarung dan Zufar dengan pantas melintas jalan menuju ke lelaki itu.

"Pakcik nak melintas ke?" Zufar sudah pun memayungnya. Lelaki itu kelihatan seperti sudah mencecah akhir 50-an. Namun fisiknya nampak kuat dan sihat.

"Ya. Tapi risau takut tak cukup cepat sebab laju betul kereta-kereta di sini." Lelaki itu menjawab separuh menjerit. Mereka berdua begitu kerana hujan yang lebat telah menghadkan pendengaran.

"Jom, pakcik lintas dengan saya. Boleh berteduh dalam bus stop tu." Lelaki itu hanya mengangguk dan terus memaut bahu Zufar. Dengan pantas, Zufar berjaya membawa lelaki itu berteduh.

"Pakcik nak ke mana? Tunggu bas nak balik rumah ke?" Dalam masa yang sama dia melihat lelaki itu dari atas ke bawah. T-shirt hitam dan seluar trek yang dipakainya sudah basah lencun. Air sudah menitik-nitik dari rambutnya yang lurus itu.

Lelaki itu hanya mengangguk dan tersenyum.
"Anak ni namanya apa?" Wajah Zufar tak lepas dari pandangannya.

"Saya Zufar. Pakcik?"

"Panggil Pak Mad. Zufar tengah kerja ke ni?" Dalam masa yang sama, mata Pak Mad lari ke motosikal Yamaha LC yang dilengkapi dengan kotak-kotak besi dan bercop Pos Rhalia.

"Ya. Tapi dah nak habis ni." Selang seketika, hujan lebat tadi mula renyai dan mentari perlahan-lahan memunculkan diri.

"Pak Mad tinggal kat mana? Jom saya hantar." Zufar sudah mengeluarkan topi keledar tambahan dari kotak simpanan motosikalnya.

"Rumah Pak Mad kat Kampung Teman. Jauh jugak dari sini." Zufar hanya sengih dan terus menghulur topi keledar.

"Haa, satu jalan dah tu. Saya memang nak habiskan pos di sana. Jom! Nanti dah asar."

Pak Mad nampak Zufar bersungguh mahu menolongnya, dengan senang hati dia menerima. 10 minit membonceng, mereka tiba di alamat yang diberi Pak Mad.

Seorang lelaki keluar dari rumah yang kelihatan seperti sedang baru sahaja diubah suai. Namun, Zufar perasan riak wajah lelaki itu berubah apabila dia nampak kelibat Pak Mad membonceng motosikal Zufar.

"Tuan...." Lelaki yang kelihatan hampir sebaya Zufar dengan cepat menghampiri mereka berdua.
"Haa... Zufar, ni anak saudara Pak Mad. Afham, ni Zufar." Pak Mad menyentuh bahu Afham dan terus memperkenalkannya kepada Zufar. Mereka bertukar senyum dan bersalaman.

"Kalau macam tu, saya gerak dulu lah. Nak habiskan kerja." Zufar mengundur diri. Afham dan Pak Mad menanti di laman hingga Zufar hilang dari pandangan. Zufar perasan ada sesuatu yang aneh tentang Pak Mad dan Afham.

Ah, biarlah, Far! Urusan mereka anak beranak bukan urusan kau!

"Tuanku dari mana? Ayuh saya hantar pulang ke istana." Afham perlahan-lahan mengundur beberapa tapak ke belakang sebaik sahaja Zufar hilang.

"Saya tengok-tengok negeri kita tadi. Tak sangka pula hujan. Pengawal pun saya tak bagi ikut. Mujur jumpa si Zufar tu." Tengku Muhammad senyum. Dia memerhati sekeliling rumah Afham. Tenang sahaja kawasan rumahnya.

"Jom." Ajak Sultan Atid Amirul Mukminin, pemerintah Rhalia. Afham mengangguk dan cepat-cepat menghidupkan kereta peribadinya. Sebetulnya, hari ini dia tidak bekerja. Jadi, bukan dia yang mengiringi Sultan Rhalia itu hari ini. Kedatangan Sultan ke rumahnya betul-betul mengejutkan.

"Afham." Panggil Sultan Amirul dari tempat duduk penumpang di sebelah pemandu itu.

"Ya, Tuanku."

"Buat background check budak tadi. Zufar namanya." Afham mengangguk tanda mematuhi titah tersebut. Jujur, dia dapat rasa Zufar seorang lelaki yang baik apabila mereka bertemu tadi.

Mungkin Tuanku mahu mengambilnya bekerja, fikir Afham lagi.

The Royal RebelWhere stories live. Discover now