2. Rumah Bakti

27 0 0
                                    

"Hannah!!!" Adilah memanggil kuat, melawan bunyi hujan yang mencurah-curah. Dia sudah mencekak pinggang di beranda kayu itu. Kalau dalam kartun animasi barangkali telinga Adilah sudah keluar asap ibarat keretapi lama. Rumah kayu moden separuh batu itu merupakan satu-satunya rumah kebajikan kanak-kanak dan remaja perempuan di Rhalia. Rumah Bakti Timur nama diberi. Terdapat sebuah lagi rumah kebajikan kanak-kanak dan remaja lelaki Rhalia, Rumah Bakti Selatan. Rumah besar itu mempunyai 12 bilik tidur, sebuah dapur besar yang turut menjadi ruang makan anak-anak Bakti seramai 30 orang itu, ruang tamu yang turut dijadikan ruang solat, dan perpustakaan. 

Hannah terkejut kemudian tersengih. Dia sudah pun basah lencun, 10 orang anak-anak Bakti yang berusia lebih kurang lapan hingga 12 tahun yang sedari tadi turut bermain hujan masih tidak sedar yang Adilah, salah seorang penjaga mereka sudah memekik panggil. 

"Hei, masuk!! Esok sekolah lah! Kalau demam macam mana nak pergi sekolah?!!" Jerit Adilah lagi. Salah seorang mereka, Maryam yang berusia 11 tahun itu akhirnya mendengar jeritan Adilah. Dia berhenti berlari, dan lumpur di tangannya dibuang. 

"Eh, Kak Dila panggil. Jom, jom!" Dia turut memanggil rakan-rakannya yang lain. Hannah turut mengajak mereka masuk. Hannah masih lagi tersengih sambil mengibas tudungnya yang sudah pun tidak nampak rupa tudung.

"Ya Allah, kamu ni, Hannah." Adilah menggeleng-geleng apabila Hannah melintasinya.

"Akak, tak nak marah budak-budak ni. Akak nak marah kamu. Akak tahu kamu punya idea ni kan mengajak main hujan?" Sambung bebel Adilah. 

"Sorry hehe. Hannah teringin nak main hujan. Sorang-sorang tak seronok." Hannah mencuit Ashfa yang turut memerhati, dan membuat isyarat 'mandi'. Ashfa bangun dan menghilang ke tempat letak kereta. Hannah pula sudah mencicit lari ke bilik mandi. Tidak lama kemudian, Ashfa muncul dengan 'duffle bag' , barangkali persalinan Hannah.

"Ibu, Hannah dengan Ashfa ni agak-agak siapa ya?" Adilah kembali ke dapur, membantu ibunya, yang juga penjaga di Rumah Bakti menggoreng cempedak buat minum petang.

"Maksud kamu, Dila?" Ibu Ani masih tekun membancuh teh, buat pemanas badan di petang yang sejuk ini.

"Nak kata adik-beradik, tak nampak iras langsung. Nak kata kawan macam tak juga. Dila nampak Ashfa ni macam 'pendamping' Hannah." putus Adilah. Ibu Ani diam sejenak.

"Entahlah, Dila. Urusan mereka. Mereka datang ke Bakti, bermain dengan anak-anak, tak putus-putus sumbangan pun Ibu dah bersyukur sangat. Selagi mereka tak bercerita, usahlah ditanya." Adilah yang belum sempat membalas mendiamkan diri apabila dari kejauhan dia mendengar suara Hannah bergelak ketawa mendekati dapur. Ashfa pula kelihatan mengekori bersama anak-anak Bakti yang lain. 

"Haa... mari makan. Wangi-wangi belaka dah anak ibu ni." Hannah dan Ashfa turut bersila di atas lantai di hadapan tikar mengkuang yang menghidang cempedak goreng, keropok, dan teh panas.

"Ah, sedapnya!" Ibu Ani tersenyum.

"Cakap apa, Hannah?"

"Alhamdulillah, hehe." Hampir dia terlupa memanjat syukur kepada Allah yang memberi rezeki.

"Balik pukul berapa, Hannah, Ashfa? Hujan dah berhenti ni." Tanya Ibu Ani lagi. Tadi, Hannah dan Ashfa sudah mahu berangkat pulang kerana mereka sejak zohor di sini. Biasanya dalam lepas asar sudah berangkat, tetapi memandangkan hujan lebat, jadi mereka menunggu. Hannah pula buat pesta air di luar. 

"Lapan? Maghrib dulu?" Ashfa lebih kepada bertanya dan dia melihat ke arah Hannah. Sebaik mata mereka bertembung, Hannah mengangguk kecil.

"Lepas maghrib." Putus Hannah yang sudah bangun mencuci tangan. Mereka kemudian dikejutkan dengan sapaan salam yang sayup-sayup kedengaran dari luar. Hannah yang kebetulan berdiri, terus ke depan.

"Kenapa?" Alamak, dia ni ke...kalau tahu tadi, tak keluar, bisik Hannah dalam hati. 

"Amboi, jawab salam lah. Kan bagi salam tadi." Zufar berdiri terpacak di tangga batu di anjung rumah. 

"Waalaikumsalam. Ya, Zufar Adil, ada apa? Semua di dapur dan tengah siap nak tunggu Maghrib. Lelaki tak boleh masuk." Balas Hannah laju. Zufar Adil tergelak kecil. Hannah di depannya sudah berdiri gagah bak pengawal. Dia sudah mengenali Hannah sejak tahun 3 di universiti. Hannah pula tahun 1 ketika itu. Mereka berbeza bidang namun bertemu ketika projek kesukarelawanan anjuran badan pelajar di universiti. Hannah yang agak kasar berbanding wanita lain dan senang berkawan dengan semua orang, menarik perhatian. Bukan Zufar Adil seorang, tetapi seorang dua lagi lelaki dalam kumpulan projek mereka itu. Cuma, takdir Zufar Adil dengan Hannah lebih panjang. Hannah kini tahun 4 di universiti, bakal menamatkan pengajian lagi sebulan dua. 

"Ya tahu. Bagi Ibu. Nak balik dah ni, assalamualaikum." Zufar Adil pun beredar. Ibu Ani adalah ibunya sendiri dan Adilah pula kakak sulongnya. Zufar pula anak bongsu daripada empat, semua kakak. Cuma kakak sulongnya yang menurut ibu berkhidmat di Bakti. Kakak keduanya doktor perubatan di Bandar Putera dan kakak ketiganya merupakan arkitek, juga di Bandar Putera. Rumah mereka cuma beberapa ratus meter dari Rumah Bakti Timur, dalam kampung yang sama.

Sambil membonceng motosikalnya, Zufar teringat memori mereka di universiti. Program kesukarelawanan itu sebenarnya diketuai oleh Zufar sendiri dan ia berjalan selama hampir setahun. Zufar memilih projek di Rumah Bakti kerana ibunya berkhidmat di situ. Rumah Bakti didana penuh oleh Kerajaan Rhalia, merupakan program di bawah seliaan puteri raja. Namun, sekali pun Zufar tidak pernah bertemu dengan puteri tersebut. Nama pun tidak tahu. Keluarga Diraja Rhalia sangat menjaga kerahsiaan ahli keluarga mereka. Yang sering muncul di media hanya wajah Putera Mahkota yang baru sahaja berusia 22 tahun, wajah Sultan sendiri sudah ingat-ingat lupa kerana dia sudah tidak lagi muncul di media sejak sepuluh tahun lalu. Barangkali sudah dimamah usia. 

"Masa-masa indah yang terlalu jauh untuk dikejar." bisiknya. 

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Jul 29, 2020 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

The Royal RebelWhere stories live. Discover now