PELURU 2: Kekal Berharap

2.4K 52 2
                                    

Faisal memeriksa telefon pintarnya, kemudian mengangkat wajah. Masjid di hadapannya sama dengan masjid yang terdapat di dalam fail kontrak. Entah mengapa, jiwanya berdebar-debar hendak melangkah masuk ke rumah Allah ini.

Masjid ini terletak agak jauh dari Kotaraya Anggerik. Sekitar 40 minit perjalanan kereta. Kotaraya Anggerik berada di Johor Bahru, manakala Masjid Al-Iman ini terletak di kawasan Kangkar Pulai, di tengah-tengah Taman Pulai Indah.

Faisal keluar daripada kenderaan mewahnya. Adiwira, jenama kereta mewah kebanggaan Malaysia. Setanding dengan jenama-jenama ternama di dunia hari ini, bahkan dikatakan lebih baik. Faisal melangkah ke dalam masjid.

Suasana di sekelilingnya sudah mula gelap. Solat maghrib baru sahaja berakhir. Faisal ingin memerhatikan sasarannya dengan lebih dekat, dan mengikut maklumat yang diperolehi, sasarannya akan memberikan kuliah maghrib setiap hari Isnin, Rabu dan Jumaat.

Seminggu telah berlalu semenjak kontrak diberikan kepadanya. Hari ini baru dia memulakan proses untuk menyelesaikan kontraknya. Biasanya Faisal akan menghadam terlebih dahulu deskripsi kontrak selama seminggu, merancang secara teori akan apa tindakan yang bakal diambil, seterusnya dia akan meluangkan masa sekitar seminggu lagi, memerhatikan sasarannya. Mencari ruang kelemahan, momen-momen yang boleh dijadikan peluang dan sebagainya.

Faisal membuka kasut di hadapan tangga, sebelum melangkah masuk ke dalam masjid.

Para jemaah sedang berkumpul. Rata-rata berjubah dan berkopiah, namun ada juga sebilangan besar yang mengenakan kemeja, kot dan pakaian riadhah. Menjadikan Faisal yang berbaju dan seluar kemeja bersama kot, tidak janggal di situ. Sememangnya Faisal tahu bahawa pengamalan Islam di Malaysia tidak lagi jumud dan sempit. Masjid benar-benar terbuka kepada semua, dan semua dialu-alukan ke masjid walau dalam apa gaya sekalipun. Perubahan sikap ini membuatkan lebih ramai masyarakat di Malaysia ini mesra masjid. Jadi ada antara mereka, apabila pulang lewat dari tempat kerja, singgah ke masjid terlebih dahulu untuk solat. Mereka tidak lagi dibebankan dengan tuntutan untuk menukar pakaian kerja atau pakaian sukan kepada pakaian ibadah. Selagi mana pakaian itu bersih dan suci dari najis, maka mereka tidak akan janggal mengenakannya untuk melakukan solat di masjid.

Faisal membuka kot dan melabuhkan punggungnya berdekatan pintu masuk. Belakang tubuhnya menyandar ke dinding, sambil matanya memerhatikan lelaki berusia dalam lingkungan separuh dekad, berkopiah hitam, berbaju melayu, mengenakan rida' dan bercermin mata, sedang khusyuk memberikan penyampaian.

Imam Salman Al-Hafiz. Merupakan anak watan Johor yang kemudiannya menyambung pengajian ke Universiti Al-Azhar, Mesir. Tinggal di sana selama 30 tahun, kemudian pulang ke Malaysia sekitar dua tahun yang lepas. Mengikut maklumat yang diperolehinya daripada kontrak, Imam Salman Al-Hafiz telah menghafal 30 juzu' Al-Quran, dan mempunyai seorang isteri serta tiga orang anak. Isterinya merupakan orang arab mesir, menjadikan anak mereka sebagai kacukan melayu dan arab.

Itu maklumat umum yang orang awam pun ketahui.

Apa yang orang awam tidak tahu ialah, isteri kepada Salman Al-Hafiz punya hubungan dengan pengasas ISIS, Abu Bakr Al-Baghdadi. Hubungan yang tidak ramai tahu memandangkan mereka punya pertalian yang jauh. Kontrak menyatakan bahawa, kepulangan Salman Al-Hafiz bukanlah kepulangan anak watan ke tanah airnya. Tetapi pulang sebagai ejen kepada ISIS yang kini mengalami kegagalan di Timur Tengah, dan usaha untuk menghidupkannya kembali di Asia Tenggara.

Encik PembunuhWo Geschichten leben. Entdecke jetzt