Bab 2

25 2 3
                                    


Nafas aku turun naik. Jantung aku malam ni luar biasanya aktifnya. Peluh jantan mula pecah. Namun tangan aku terlalu sibuk untuk menyekanya. Kaki aku tidak lupa untuk main peranan yang sama. Langkah yang dibuka boleh mengakibatkan celahan seluar aku rabak. Aku tidak sangka aku punya stamina yang agak tinggi.

Mungkin sebab aku tengah peluk tabung.

Tidak, aku bukannya seorang yang suka simpan duit. Menabung? Jauh sekali. Malah aku sebenarnya seorang yang kedekut. Sebab aku memang suka pada duit. Tapi mak kata, kalau kita keluarkan duit hari-hari untuk orang yang lebih memerlukan, Tuhan akan gandakan duit yang hulur. Pada fikiran aku pula, apa yang keluar jarang masuk balik. Kecuali kalau duit tercicir dan dikutip semula.

"Tak payah kutip!" jerit Samad apabila melihat aku berhenti berlari dan tertonggek mengutip beberapa keping duit syiling yang bertaburan daripada tabung yang aku peluk.

Aku angguk dan sambung ikut Samad lari dalam kepekatan malam selepas sempat menyambar beberapa keping syiling yang sedang bergolek.

Selepas beberapa tapak aku langkah, Samad pula yang berhenti. Pada mulanya, aku syak dia berhenti sebab penat. Mana mungkin 'olahragawan' yang sering berlari kerana dikejar dengan parang Pak Teh seperti Samad penat dengan mudah. Aku biasa nampak dia lari dari mula hingga habis takbir Raya. Ya, tiada istilah 'cuti perayaan' bagi Samad dalam melakukan pekerjaan terkutuk.

Jangkaan awal aku meleset. Samad memang tidak kenal erti penat. Dia mula panjat sebatang pokok yang berada betul-betul di hadapan.

"Lekas!" Samad hulur tangan. Dia tahu aku tak pandai panjat pokok. Panjat tangga rumah Samad pun sudah dua kali tersungkur.

Tangan Samad aku sambut dengan tangan kanan. Tangan kiri masih kemas memeluk tabung yang berat tidak berbunyi. Apabila aku dan Samad selamat berada di atas pokok, kedengaran sayup-sayup orang bertakbir dan berteriak dengan tangan yang 'tidak kosong'. Sekumpulan golongan pakcik akhirnya tiba dengan sebatang kayu di tangan masing-masing.

"Mana mereka pergi? Takbir!" tanya Pak Kassim.

"Allahuakbar!" mereka menjerit serentak.

Pak Razak mengangkat bahu. "Entahlah. Tiba-tiba hilang pula. Takbir!"

"Allahuakbar!"

"Ada ilmu agaknya budak-budak ni. Takbir!" teka Pak Badar.

"Allahuakbar!"

"Kita berpecah. Kamu dan Razak jalan ke depan lagi. Biar aku tunggu mereka di sini. Depan tu dah tak ada apa. Jalan mati. Mesti mereka akan lalu juga jalan ni untuk balik. Takbir!" Pak Kassim memberi cadangan.

"Allahuakbar!" Pak Badar dan Pak Razak melaungkan takbir sebelum bergegas meneruskan perjalanan. Seperti kau, aku pun kurang semak sebenarnya kenapa mereka melaungkan takbir selepas menamatkan ayat masing-masing. Tapi tak apalah. Bukankah besar pahalanya jika kita memuji Tuhan?

Kepala Pak Kassim ligat memandang kiri dan kanan. Tangannya dicekak di pinggang sambil terbatuk-batuk mencari nafas yang hilang akibat berlari agak laju tadi. Apabila dia mengambil masa selama beberapa minit untuk jantungnya dipam secara normal, Pak Kassim mula nyalakan sebatang rokok. Dan sebatang lagi. Kemudian, dia cucuh lagi sebatang. Lepas tu, aku dah hilang kira.

Aku pandang wajah Samad. Samad baru nak berpeluh. Ketiak aku sudah lama 'becak'. Tiba-tiba Samad tiru suara pontianak mengilai. Pada awalnya, aku fikir Samad dirasuk. Nyaring suaranya kalah pelakon-pelakon wanita yang berlatih mengilai selama beberapa bulan untuk menjayakan watak 'seorang' pontianak. Apabila aku lihat kerutan 'usaha' pada wajahnya, aku sedar Samad sedang bertungkus-lumus untuk mengalunkan ilaian itu.

Rokok di pinggir bibir Pak Kassim tiba-tiba jatuh sebelum habis dihisap. Badannya keras tidak bergerak. Aku tahu dia tersentak dengan suara ilaian Samad. Mulutnya terkumat-kamit seperti membacakan sesuatu. Doa atau surah aku syak. Pak Kassim ni agak hebat juga dalam hafazan. Kalau dia jadi imam, pasti ada sekurang-kurangnya seorang makmum yang rebah akibat surah yang dilagukan begitu panjang.

Melihat saja usahanya ada 'buah', Samad makin galak mengilai. Kali ini, suaranya semakin kuat. Peluh yang terbit mula gugur satu per satu.

Pak Kassim mula pejam mata dan mulutnya semakin pantas membaca-baca. Siap dihembus kiri, kanan, atas dan bawah. Tangan kanan aku rapat ke mulut apabila menyedari ketakutan orang tua itu hampir ke paras maksima.

Apabila melihat gelagat Pak Kassim yang sudah tidak keruan, lengan Samad yang kekar menggoyang-goyangkan dahan pokok untuk menambah efek seram. Tanpa berfikir panjang, Pak Kassim mengangkat kain pelikat yang dipakainya ke paras lutut dan membuka langkah seribu.

Oleh sebab pokok yang bergoyang tidak kurang dahsyatnya, aku hilang imbangan dan terjatuh dari pokok bersama-sama tabung yang aku peluk. Aku syak tangan aku patah dan rusuk aku berterabur sebab sakitnya bukan kepalang.

"Hoi!" tiba-tiba aku disergah. Biasanya, aku pantang sekiranya orang sergah tanpa salam. Tapi oleh sebab aku baru saja ditangkap kerana mencuri tabung surau, aku tak jadi marah.

* * *

"Tak padan dengan bibir kembung, ada hati nak curi tabung surau! Apa nak jadi dengan kau ni, Fauzi?" bebel mak apabila aku minta tolong dia urutkan badan aku pada pagi esoknya. "Aku ni besarkan kau untuk jadi orang baik. Yang kau pergi ikut Samad tu kenapa? Kau pun tahu perangai dia tak elok. Itulah. Dari dulu aku dah pesan, jangan kawan dengan Samad. Kau degil! Sekarang apa dah jadi? Satu kampung jaja nama aku, katanya Ratu tak pandai jaga anak. Mana aku nak letak muka aku niiiii?"

Panas telinga aku sama panas dengan panasnya badan aku apabila disapu minyak. Terbakar.

"Orang nak awek. Samad kata perempuan suka lelaki jahat," beritahu aku jujur.

"Kau ikutlah cakap Si Samad tu," mak tunjal-tunjal kepala aku. "Samad tu sekolah pun tak habis, apatah lagi mengaji. Entah-entah Iqra' pun tak lepas. Suka kau kawan dengan orang tak ada adab macam tu? Baiklah kau kawan dengan Eton anak Makcik Milah tu. Bolehlah hari-hari aku makan nasi lemak dua ringgit mak dia tu percuma. Kenyang sikit perut aku. Apabila kenyang, aku gembira. Ini tidak. Habis goreng kangkung belacan tadi, orang dah jerit-jerit nama aku tanpa salam. Kau tak rasa aku panas kalau dengar orang 'hoi-hoi'kan aku dari jauh? Kalau yang 'hoi' itu mendatang rezeki pada aku, layan jugalah..."

Dan mak masih membebel.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Dec 27, 2017 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

Bagi Peluang Aku Jadi Jahat, Tolong?Where stories live. Discover now