Bab 3

1.3K 19 0
                                    

Bab 3

HAZIQ duduk di sebelah adik tirinya. Tanah yang masih merah di hadapan mereka dipandangnya sekilas. Dia mengeluh perlahan memikirkan nasib yang menimpa keluarganya. Adik tirinya masih termenung di sebelahnya.

Haziq menoleh pula ke kiri dan kanannya. Rata-rata kaum keluarga mereka dan rakan-rakan terdekat arwah Kayla yang datang menziarahi kubur sudah pun beransur pulang.

Puan Alisa sudah menunggu di dalam kereta manakala Tuan Jamal pula sedang bersembang dengan beberapa orang dari masjid. Mungkin sedang sibuk mengatur kenduri tahlil arwah Kayla pada malam itu.

Haziq kembali melihat adik tirinya yang sedang duduk di sisi. Dia rangkul bahu Ezza, kemudian mengeluh perlahan.

"Ezza tengah fikir apa tu?" Lelaki itu menanya, lembut. Matanya masih memandang tanah kubur kakaknya yang masih merah.

"Kalau Ezza tak bergaduh dengan kakak semalam, benda ni takkan jadi. Kan, Abang Iz?" Ezza letakkan kepalanya di atas bahu lelaki itu.

Entah kenapa, bila dengan Haziq dia terasa selamat dan selesa. Walaupun lelaki itu hanyalah abang tirinya.

"Tak baik Ezza cakap macam tu. Seolah-olah Ezza tak terima kehendak Tuhan."

"Ezza penyebab kematian kakak ke, Abang Iz?"

"Jangan merepek! Itu semua qadak dan qadar Allah. Siapa kita untuk persoalkan apa yang dah Dia tuliskan untuk kita? Ezza tak boleh cakap macam ni. Berdosa tahu tak?"

Ezza terdiam. Dia telan liurnya. Haziq kalau tengah marah boleh tahan gerun juga. Ezza terus menunduk ke tanah, lalu menganggukkan kepalanya.

"Betul kata Abang Iz tadi. Ezza tak patut persoalkan qadak dan qadar Tuhan. Ezza minta maaf." Dia menghela nafasnya perlahan, kemudian mengukir satu senyuman buat abang tiri kesayangannya.

"Bukan dengan Abang Iz."

"Faham."

Haziq mengangguk.

"Okey, jom balik. Mummy dengan papa dah tunggu tu. Abang Iz pun dah lapar ni. Petang nanti Abang Iz sibuk nak uruskan kenduri tahlil untuk arwah kakak dekat masjid depan rumah tu. Jadi, tengah hari ni Abang Iz nak makan asam pedas yang Ezza masak," pinta Haziq selamba.

Dia tersenyum manis ke arah adik tirinya. Mereka sama-sama berjalan ke kereta Nissan Almera miliknya.

"Ezza malaslah nak masak hari ni. Abang Iz masak sendiri."

"Anak dara tak boleh malas. Nanti tak ada orang nak buat jadi isteri."

"Sudahlah." Ezza akhirnya tergelak juga.

Langkahnya terhenti sebaik saja mereka sampai di Nissan Latio milik Haziq. Matanya tertumpu ke arah Puan Alisa yang sedang termenung di dalam kereta. Sejak malam semalam lagi Puan Alisa tidak mahu melihat wajahnya. Ezza dituduh menjadi penyebab Kayla terlibat dalam kemalangan.

Sebaik saja Ezza membuka pintu kereta dan melangkah masuk, dia dijerkah oleh Puan Alisa.

"Siapa suruh kau masuk dalam kereta ni? Keluar sekarang!" bentak wanita tua itu dengan perasaan marah. Matanya dan Ezza bertentang.

Ezza telan air liurnya. Seluruh tubuhnya menggeletar apabila dia dijerkah begitu di tanah perkuburan. Nasib baiklah orang ramai sudah beransur pulang. Kalau tidak, malu dia dibuatnya.

"Aba... Abang Iz kata mummy dengan papa ajak balik," jawab Ezza terketar-ketar.

Bukannya dia tidak pernah dimarahi oleh Puan Alisa. Tetapi, kali ini perasaannya lain benar.

Berhenti di Hati Kamu [ TERBIT ]Where stories live. Discover now