Bab 21

3.8K 451 99
                                    

Duduk dilabuh pada kerusi batu yang terdapat di taman itu. Tangan disilang pada dada. Dibiarkan angin meniup uraian anak rambutnya. Yeana mula melebarkan pandangan keseluruhan taman yang agak riuh dengan pengunjung pada petang itu.

Di satu sudut, ada kanak-kanak yang sedang main berkejaran. Di bahagian permainan pula, ada dua orang kanak-kanak perempuan sedang bermain jungkang-jungkit. Buaian pula penuh dengan beberapa orang budak lelaki dan perempuan. Ada pasangan yang sedang berjalan. Ada juga sekumpulan warga emas yang sedang gigih melakukan senaman bersama-sama.

Taman awam sangat riuh petang itu. Tetapi tidak seriuh hati Yeana. Terasa sungguh muram. Langsung tiada secalit kegembiraan pun seperti kanak-kanak yang sedang bermain-main di taman itu.

Riak wajah wanita itu sentiasa dilitupi dengan kekosongan. Sehingga tenaga untuk bekerja pun hilang. Terpaksa dia mengambil syif sebelah pagi sahaja hari ini gara-gara ketiadaan semangat untuk bekerja.

"Huh..."

Mata dipejamkan. Hanya deria telinga sahaja yang digunakan untuk mendengar apa yang warga taman sedang lakukan. Berbagai-bagai jenis suara masuk ke peluput telinga. Percakapan, gelakan, jeritan kanak-kanak, bunyi decipan burung, juga derap kaki. Yeana membuka mata semula.

Tidak jauh dari kerusi yang dia sedang duduki itu, ada sepasang suami isteri yang sedang berjalan menuju ke arahnya. Tangan si suami erat memegang tangan si isteri yang sedang sarat mengandung. Yeana hanya perhati lewat ekor mata. Lama-kelamaan pasangan itu mula mendekat. Si isteri duduk bersebelahan Yeana. Mereka berbalas senyuman dan anggukan kecil sebaik Yeana berpaling.

"Tunggu sini, okey? B pergi beli minuman untuk sayang. Duduk sini baik-baik tau."

Si suami menitipkan arahan. Dalam tegasnya dia, senyuman manis tetap diukir buat isteri. Sehingga lesung pipit kecilnya terpamer ketika senyum.

"Iya."

Isterinya yang sudah sedia duduk sambil mengusap perut besarnya sekadar mengangguk kepala, tanda faham akan arahan suami. Yeana yang memasang telinga tersenyum kecil. Ada-ada saja panggilan suami isteri zaman sekarang.

Tinggallah Yeana bersama isteri lelaki tadi berdua. Berkongsi kerusi batu yang sama. Semena-mena wajah Yeana terpaling ke arah wanita mengandung itu. Apa yang paling menarik perhatian bebola matanya, ialah perut besar wanita itu. Dalam lekanya dia memerhati, tidak sedar yang dirinya juga diperhati oleh wanita mengandung itu.

"9 bulan."

"Huh?"

Yeana terpinga-pinga sendiri. Kelopak mata terkebil-kebil memandang wanita dihadapannya itu yang sudah tersenyum memandang dirinya.

"Kandungan saya dah 9 bulan." Ulang wanita itu. Nada suaranya mendatar dan lembut.

"Oh... Tahniah."

"Terima kasih."

Lambat-lambat Yeana turut mengukir senyum sama. Jelas terlihat kekok. Segan mungkin kerana tertangkap memerhati.

Mereka senyap buat seketika. Masing-masing dengan khayalan sendiri. Sehinggalah Yeana berasa sedikit kurang senang. Bukan kerana apa, dia sebenarnya gatal mulut ingin membawa bicara wanita di sebelahnya itu. Rasa ingin tahu tiba-tiba meninggi dalam hati.

"Pertama kali mengandung?" Soal Yeana perlahan.

Wanita itu tersenyum lagi lalu menggelengkan kepala. Tangan tidak henti mengusap perut.

"Saya pernah mengandung sebelum ni, tapi keguguran sebab saya terjatuh. Jadi kira ini kandungan kedua saya." Jawab wanita itu. 

Senyuman yang tadinya manis bertukar kelat. Yeana mengerutkan dahi. Rasa bersalah.

[D] Back Again | Jimin BTSWhere stories live. Discover now