Bab 176-Memanggil Mahluk Halus

1.8K 30 1
                                    

  Tetapi, jauh di sudut hati tetap mengatakan beberapa ciri yang diungkapkan oleh Kak Sun memang ada pada diri Andi Kamarool.

Dan peristiwa di kubur lama yang terletak di bahagian belakang rumah batu lama itu, menyakinkan saya, bahawa Andi Kamarool memang ada kaitan dengan keturunan manusia harimau.

Memang, dialah lelaki yang paling layak untuk menjadi suami kepada Mia. Bukannya saya walaupun hati kecil ini memang jatuh hati dengan gadis yang bermata galak itu.

"Walau apapun, saya ingin benar nak jumpa dengan Haji Simpul Kak," nada suara Andi Kamarool agak keras, penuh dengan keyakinan. Dan apa yang berlegar dalam tempurung kepala saya terus hilang. Saya gigit bibir dan terus merenung muka Andi Kamarool.

"Sabar dulu Andi, biar kak jumpa Haji Simpul dulu, kalau dia setuju bolehlah kak bawa kamu jumpa dia."

"Kenapa mesti jumpa dia dulu, kita pergi terus ke rumahnya tak bolehkah?" Saya menyampuk,

"Kak fikir, cara apa yang nak kak buat ni, lebih bersopan dan beradab."

Saya anggukkan kepala.

"Eh, biar kak ke rumah Mia dulu, kalau lambat nanti dia merunggut pula. Dia mahu meja makan dihias cantik untuk kamu berdua," Kak Sun terus bangun mengambil rangkaian bunga orkid pilihan yang terletak di sudut bangsal.

Setelah bebunga orkid itu dimasukkan ke dalam raga yang dibuat dari buluh, kak Sun merenung ke arah kami dengan segaris senyum ikhlas.

"Jangan lupa datang," katanya.

Serentak kami anggukkan kepala.

"Mia memang mengharapkan kedatangan kamu berdua," tambah Kak Sun lagi.

Senyumannya masih berbunga di kelopak bibir.

"Kami tak lupa Kak mana boleh lupa dengan makan," saya membalas.

Dengan langkah dan lenggang yang bersahaja Kak Sun menuju ke rumah Mia. Hanya dalam beberapa detik saja, kak Sun hilang dari pandangan mata kami.

Kak Sun sudah pergi tetapi kami masih lagi berada di sudut bangsal. Masih belum dapat membuat keputusan tepat sama ada mahu balik atau terus pergi ke rumah Mia.

"Bagaimana Andi? Balik atau terus ke rumahnya."

Andi Kamarool bagaikan terkejut dengan pertanyaan yang saya ajukan itu. Gigi atas dengan gigi bawah dilagakannya beberapa kali.

"Terlalu awal sangat nak pergi ke rumahnya. Malu kalau kita dianggap kemaruk sangat nak makan, lagipun belum tahu masakannya sedap atau tidak" sambil ketawa kecil Andi Kamarool memberikan komentar.

"Kalau dah begitu, kita balik saja ke rumah papan."

"Iya, aku pun fikir macam tu, kita balik ke rumah rehat sekejap, kemudian mandi dan tukar pakaian, baru kita pergi ke rumahnya."

"Kalau itu keputusan kamu Andi, aku ikut saja."

Kami melangkah seiring menuju ke rumah papan.

Sepanjang perjalanan kami tidak banyak bercakap. Tetapi saya tetap terhibur melihat dedaun yang hijau merimbun, terasa seronok mendengar kicau beburung yang beranika irama dan ragam. Dalam saat-saat begitu alam dengan saya terasa amat akrab. Tidak boleh dipisahkan.

MENEPATI JANJI

Seperti yang dijanjikan, tepat jam 12.30 tengah hari kami berdua sudah pun berada di ruang makan rumah batu lama. Saya memakai baju kemeja lengan pendek, warna merah, berseluar putih dengan sepatu getah hitam. Andi Kamarool memakai baju lengan panjang, warna putih, seluar hitam dan bersepatu getah putih.

Siri Bercakap Dengan Jin, Tamar Jalis ( Jilid 13 )(COMPLETE)Tahanan ng mga kuwento. Tumuklas ngayon