Insan pertama abang jatuh hati

7.8K 9 0
                                    

Bila abang pertama kali abang jatuh hati?

Abang rasa sejak kecil lagi. Abang masih ingat ketika zaman sebelum tadika, abang merasa satu perasaan aneh apabila bergaul dengan kenalan atau remaja sedikit lebih tua daripada Abang.

Di antara rakan sepermainan yang paling rapat dengan abang ialah anak jiran sebelah rumah. Pada waktu itu keluarga kami tinggal di dalam kawasan rumah kakitangan kerajaan di sebuah pekan kecil. Namanya budak lelaki yang berjiran dengan abang ialah Alim dan umurnya ketika itu mungkin 10 tahun. Abang lupa. Pada waktu itu abang pula berumur sekitar 5 tahun.

Kami amat rapat ketika itu meskipun terdapat perbezaan umur. Mungkin kerana kami tinggal bersebelahan. Di dalam kawasan rumah kakitangan kerajaan itu tiada siapa pun yang sebaya dengan Alim. Anak jiran-jiran yang lain ada sebaya dengan abang, namun setiap kali abang keluar bermain dengan mereka, Alim jarang bermain bersama.

Abang terasa sesuatu yang luar biasa ketika meluangkan masa dengan Alim berbanding ketika bersama rakan sebaya yang lain. Dengan mereka keseronokannya berbeza. Kami bermain permainan yang budak-budak belum bersekolah biasa bermain pada zaman itu. Main kejar-mengejar, panjat pokok jambu batu dan bermain dengan pam perigi tiub yang hanya digunakan oleh penduduk kejiranan sekiranya bekalan air terputus. Abang rasa seronok, gembira dan penat setiap kali bersama mereka.

Namun dengan Alim, selain daripada perasaan itu abang berasa istimewa. Selalunya, bila bermain, kami hanya berdua, tanpa melibatkan orang lain. Kekadang adik perempuannya turut serta bermain dengan kami tetapi ianya amatlah jarang. Terasa amat bermakna apabila masa yang diluangkan hanyalah di antara kami berdua.

Abang selalu menunggu Alim pulang dari sekolah untuk bermain bersama. Di dalam rumahnya terdapat banyak alat permainan yang mahal. Abang tidak mempunyai banyak alat permainan di rumah. Alim tidak kedekut untuk berkongsi bermain dengan abang. Abang terasa amat bahagia apabila bersendirian dengannya. Setiap kali tubuhnya rapat dengan tubuh abang, terasa satu reaksi yang sukar difahami oleh seorang budak yang belum bersekolah. Kabur? Berdebar-debar? Sesak nafas? Entahlah. Namun apa pun definisi reaksi itu, abang sukakannya. Lebih-lebih lagi apabila kulit kami tersentuh. Seakan-akan seperti terkena kejutan elektrik ketika menyambungkan dawai ke bateri alat permainan.

Satu lagi yang membuatkan abang terasa seperti yang dihuraikan ialah setiap kali abang terhidu bau badan Alim. Abang masih lagi ingat bau badannya umpama haruman menjolok ke hidung abang. Terutamanya apabila kami bermain sampai berpeluh-peluh. Tidak pernah abang merasa jemu menghidu bau badannya. Kekadang ianya menyebabkan abang terasa sedikit mabuk.

Perasaan gembira setiap kali bersama Alim membuatkan abang merasa rindu apabila tidak bertemu beberapa hari dengannya . Namun masa terus mengalir umpama air sungai. Aturan kehidupan kami berubah. Setahun kemudiannya abang mula bersekolah tadika. Alim pula bakal menghadapi peperiksaan UPSR. Kami jarang meluangkan masa bersama. Abang masih ingat sebelum Alim masuk darjah 6, Alim bersunat. Selepas itu, dia seringkali keluar rumah berjumpa abang dengan kain pelikat. Abang suka melihat dia berkain pelikat. Terasa yang dia semakin dewasa. Kesedihan mula melanda abang.Kami tidak lagi rapat seperti dulu. Jurang perbezaan antara kami semakin melebar. Dia semakin dewasa dan abang masih lagi seorang budak tadika. Tidak lama selepas itu suara Alim mulai pecah. Agak janggal bila dia bercakap dengan abang dengan suara barunya itu.Tetapi dada abang terasa bergetar setiap kali mendengar suara baru Alim yang rendah ton itu.

Rumah yang keluarga abang bina di sebuah kampung telah pun siap. Bapa abang telah membeli secebis tanah di kampung yang tidak jauh daripada tempat dia bekerja. Abang sekeluarga harus berpindah dari kehidupan kejiranan di dalam kawasan rumah kakitangan kerajaan ke rumah baru milik kami.

Kampung ini sangat baru bagi kami sekeluarga. Kami tiada kenalan di sana dan semua jiran-jiran adalah mereka yang baru kami kenal sejak kami selalu menjenguk perkembangan pembinaan rumah. Sebelum itu tapak rumah tersebut penuh dengan pokok-pokok besar umpama hutan. Keluarga abang akan membina kehidupan baru di sana. Abang merasa teruja untuk berpindah dalam masa yang sama sedih meninggalkan rumah lama. Sedih kerana akan berjauhan dengan Alim.

Kedua-dua ibu bapa abang dan Alim merupakan jiran yang agak rapat. Abang masih lagi ingat majlis perpisahan kami dua keluarga. Kami pergi makan malam bersama di sebuah restoran di bandar. Kami menaiki kenderaan besar pacuan empat roda milik ayah Alim yang bekerja sebagai jurutera.Tidak silap abang model kenderaan itu ialah Mitsubishi Pajero. Abang dan Alim duduk di tempat duduk belakang sekali di atas kenderaan yang boleh memuatkan tujuh orang dewasa. Terasa bahagia dapat duduk bersama di dalam gelap. Namun saat bahagia itu berbaur dengan perasaan sedih. Kami akan berpisah. Amat mustahil yang kami akan berpeluang meluangkan masa sebegini lagi.

Sejak berpindah di kampung baru kami tidak lagi berhubung. Rindu bersama Alim kekadang teramat kuat sehingga membawa kepada mimpi. Indah sekali mimpi berjumpa dan bermain bersama Alim. Rasa rindu dan sedih bercampur baur. Ini adalah satu perasaan baru bagi abang yang baru darjah satu. Namun semakin lama perasaan itu pudar. Setelah berdekad kemudian baru abang sedar yang Alim adalah insan pertama yang abang jatuh hati.

Kisah Abang LiWhere stories live. Discover now