Bab 15: Patah Hati

448 15 10
                                    

Bab 15

MARIAM duduk bersila di atas katilnya. Sejak dia pulang dari rumah keluarga Farhan tiga hari yang lalu, fikirannya tidak tenang. Terutama sekali selepas mendapat tahu yang Farhan dan Firhad bersaudara!

Bekas teman lelakinya rupa-rupanya adik lelaki teman lelakinya sekarang! "Bodohnya kau, Mar. Bodoh, bodoh, bodoh!" Mariam memaki hamun dirinya sendiri sambil membenamkan wajahnya ke bantal. Dia menjerit sekuat hati.

Dalam ramai-ramai orang di dunia, macam mana dia boleh terjatuh hati dengan dua beradik daripada keluarga yang sama? Kenapa mesti Farhan dan Firhad?

Sungguh dia tidak sangka kebetulan seperti ini boleh berlaku pada dirinya. Seorang lelaki yang telah mengkhianati kepercayaannya dan seorang lagi yang sedang meraih kepercayaannya.

Mariam sayangkan Farhan, tetapi dia sudah berjanji dengan dirinya yang dia tidak mahu ada apa-apa hubungan dengan keluarga Firhad lagi. Bagaimana dengan nasib Farhan? Lelaki itu ikhlas dengannya.

Mariam buntu. Tidak mungkin dia boleh melihat Farhan dengan pandangan sama selepas mengetahui Farhan ialah abang kepada Firhad. Jika dia dan Firhad masih bercinta sehingga ke hari ini, Farhan mungkin sudah menjadi abang iparnya.

Dan, dia pula adik ipar Farhan! "Ya ALLAH. Dugaan apa pula Kau berikan padaku kali ini?" Mariam meraup wajahnya. Otaknya yang sebelum ini rancak mencari jalan penyelesaian kepada setiap permasalahan akhirnya menemui jalan buntu.

"Mar? Mar? Mariam Sophia!"

Mariam tersedar daripada lamunannya saat terdengar namanya dipanggil Aishah. Dia menoleh ke arah teman serumahnya dan menjungkitkan kening.

"Ada apa?" tanya Mariam sambil menghela nafasnya perlahan.

Aishah berkerut dahi melihat sikap Mariam yang sedikit aneh sejak akhir-akhir ini. Dia berdehem perlahan sambil melipatkan tangannya ke dada.

"Cik abang kau ada dekat bawah," kata Aishah dengan senyuman nakal terukir di bibir.

Sejak dah ada teman lelaki ini, bukan main lagi si Mariam. Kalau boleh, setiap hari Farhan datang menjemputnya di apartmen mereka untuk mengajak keluar makan.

Mariam terdiam. Kalau ikutkan hati, dia sudah minta Aishah untuk turun semula ke bawah dan memberi alasan kepada Farhan. Dia tidak rasa hendak bertemu lelaki itu.

Dia masih tidak bersedia. Tetapi, kasihan pula jika dia melibatkan Aishah di dalam hal ini. Dengan malas, dia bergerak ke almarinya dan mencapai selendang hitam yang dia sangkut di kerusi.

Dia lilitkan selendang itu di kepalanya dan mengatur langkahnya keluar dari apartmen. Sebaik saja membuka pintu utama di tingkat bawah, dia lihat Farhan sedang berdiri di sebelah tiang lampu sambil menghadap bangunan apartmennya.

Mariam menarik nafasnya dan berjalan mendekati Farhan. Dia hanya tersenyum janggal sambil memeluk tubuhnya. Pagi itu masih awal dan ada beberapa orang pekerja dari majlis bandaraya sedang mengutip sampah daripada tong-tong di hadapan bangunan apartmen di sepanjang jalan.

Farhan dan Mariam berdiri di hadapan satu sama lain. Pelik melihat Mariam yang masih tidak membuka mulut. Selalunya Mariamlah yang menjadi pembuka bicara.

"Saya kacau pagi awak?" tanya Farhan apabila Mariam masih lagi mendiamkan diri.

"Tak adalah. Saya dah siap kemaskan semua barang. Cuma mengelamun dalam bilik saja," jawab Mariam dalam nada perlahan. Dia kembali menyepak udara kerana tidak mahu bertentang mata dengan Farhan.

"Kalau awak belum makan pagi, saya nak ajak awak makan di kafe kegemaran awak."

"Saya dah makan."

Hari Kita Jatuh Cinta [ TERBIT & ADAPTASI JAN 2021 ]Where stories live. Discover now