Bab 1

720 10 2
                                    

Tahun 2000

LANGKAH kaki diatur lambat-lambat mendekati pintu rumah yang terbuka luas. Rabungnya diperbuat daripada kayu. Pernah dahulu sewaktu kecil, dia tersadung di rabung itu, lalu tubuh kecilnya jatuh tergolek menuruni anak tangga yang berjumlah lima tingkat. Kerana terkejut dan sakit ekoran kemalangan kecil itu, dia menjerit sehingga menarik perhatian jiran di sebelah rumah yang sedang sibuk berkebun di halaman.

Suasana bertukar kecoh. Mak Piah, jiran sebelah rumah memekik nama ibunya yang ketika itu sedang menjemur baju di belakang. Maka tergocoh-gocoh wanita kesayangan ayah berlari mendapatkannya. Dia hilang dalam pelukan ibu. Anehnya, tangisan ibu yang lebih lebat berbanding dirinya. Ibu yang tersedu-sedan sehingga dia berkerut hairan.

Otot muka melentur ke atas. Rantaian kenangan tentang rabung pintu itu membuatkan hatinya terusik suka. Bukan rabung pintu itu sahaja, bahkan setiap pelosok kediaman separa kayu ini menyimpan begitu banyak memori, selama hayatnya menjejak usia lapan belas tahun.

Hujung jari melepas sentuhan pada rabung pintu. Penglihatan pula mendongak ke langit. Cerah. Lapangan kebiruan itu sekadar dihiasi gerombolan awan yang tipis. Barangkali cuaca panas menyimbah bumi untuk hari ini sehingga lewat petang nanti. Teriknya sudah sampai ke dalam kulit meski jam baru sahaja mahu menginjak ke angka 11 pagi.

"Humairah?"

Dia menoleh ke arah datangnya suara lembut yang terlantun kuat itu. Senyuman mekar. Lekas dia berlari-lari anak menuju ke bahagian belakang rumah pusaka itu, yang menempatkan dapur dan ruang makan.

"Ya, nenek!"

***

SURAYA menjegilkan mata. Airmuka suaminya dipandang tanpa secebis perasaan hormat pun. Selama hari ini, dia sahaja yang bersungguh menyelamatkan perniagaan mereka. Suaminya? Hanya tahu menabur cerita kosong sambil mendabik dada, kononnya perniagaan runcit mereka maju. Walhal mereka sudah berhutang dengan nilai yang sangat banyak sehingga tidak punya upaya hendak membayar keseluruhan hutang yang ada.

"Kasi atau tak, abang kena urus!" Suaranya membentak sedikit tinggi. Kepala sudah berselirat dengan bermacam masalah. Hendak memikirkan solusi lain, terasa otak sudah tidak berdaya membekal idea. Tumpul. Mati akal.

Kamarul mengerutkan muka. "Dulu... Kita dah guna tanah di seberang rumah. Kita cakap nak buat bisness. Sekarang, abang nak cakap apa?" Tertahan-tahan bicara Kamarul menuntas amarah sang isteri.

Jika Suraya menuding jari padanya, wanita itu lebih kurang juga. Tidak tahu mengawal perbelanjaan. Untung baru sedikit, sudah mahu beli kereta baru. Wang baru mendaki satu '0', sudah berderet angan-angan hendak dilunasi.

Akhirnya mereka tersepit seperti sekarang. Terduduk tidak boleh bangkit lagi. Mereka bakal diisytihar muflis.

***

"KEPUTUSAN peperiksaan Ara tempoh hari... Baik, kan?"

Rosnah mencuri lihat roman wajah Humairah. Gadis itu kelihatan sungguh tekun mengopek ikan bilis. Tahi bilis dibuang ke dalam plastik kecil yang terletak hampir dengan besen kuning berdiameter sepuluh sentimeter. Selain daripada upah menoreh getah, dia juga mengisi masa senggang dengan mengambil upah kopek ikan bilis. Dengan cara itu, dia boleh menambah pendapatan keluarga.

"Bolehlah." Humairah menjawab acuh tidak acuh. Sesekali gigi mata menjaring paras neneknya.

"Ara..."

Dia angkat muka.

"Ara nak sambung belajar?"

Keningnya nyaris bercantum. Kemudian dia laju menggeleng kepala menyebabkan dahi tua Ronnah terbentuk dengan garis-garis yang sudah ketara tebalnya.

HATI YANG MEMANGGIL NAMAMU [TELAH TERBIT!!]Where stories live. Discover now