PROLOG

4.8K 100 7
                                    

BETAPA hancur luluh hati Adam apabila melihat isteri yang dicintai sepenuh hati berselingkuh dengan lelaki lain. Hati Adam sakit apabila Ika sewenang-wenangnya membawa masuk lelaki lain ke kamar tidur mereka.

Hanya Dia sajalah yang mengetahui perasaannya saat itu. Bagai ditusuk sembilu. Sakitnya terlalu menusuk jiwa hinggakan Adam tidak mampu untuk berkata-kata.

Sungguh dia tidak menyangka akan dikejutkan dengan berita yang menyesakkan dadanya. Dia pulang tergesa-gesa dari pejabat kerana menerima panggilan daripada ibunya. Dan saat itu jugalah terbongkar rahsia yang selama ini mengaburi matanya dek sikap penuh kepura-puraan Ika.

Dia pulang hanya semata-mata untuk melihat kecurangan si isteri!

Hati Adam semakin hancur saat melihat wajah insan yang sedang berlingkar di atas katilnya, dengan isterinya. Dia kenal benar wajah itu!

Amri dan Ika punya hubungan sulit? Sungguh tak dia duga!

"Tergamak kau Am. Kau tikam aku dari belakang. Apa salah aku pada kau hah? Sanggup kau hancurkan kepercayaan aku pada kau!" tengking Adam seraya mencekik leher Amri.

Amri terbatuk kecil dalam cuba bernafas.

Bulat mata Ika melihat tindakan Adam. Lantas dia memukul tangan Adam yang sedang mencekik batang leher Amri dengan sekuat hati.

"You dah gila ke?"

"Memang I dah gila. Sebab you!"

Adam mengangkat tangan tinggi, mahu menampar wajah Ika.

Puan Halijah yang mendengar suara hingar-bingar itu segera berlari anak ke kamar tidur Adam.

"Astaghfirullah al-azim Adam, bertenang. Kamu marah-marah sebegini pun tak ada guna dah. Nasi sudah jadi bubur," nasihat Puan Halijah, lembut.

Adam meraup wajah dengan kedua-dua belah tangan. Menggigil tubuhnya menahan marah.

Ika menarik gebar lalu menutup tubuhnya. Dia bangkit daripada perbaringan dengan wajah tanpa riak. Sedikit pun tiada rasa bersalah terhadap suaminya. Malah langsung tidak dipedulikan pandangan kurang senang daripada ibu mertuanya.

Amri turut bangun daripada perbaringan lantas menyarungkan baju ke tubuhnya. Lelaki itu tersenyum sumbing, langsung tidak menunjukkan riak bersalah.

Adam berang melihat wajah selamba Amri. Amri adalah kawan baik yang selalu berkongsi suka dan duka bersamanya. Sungguh dia tidak menyangka perangai Amri sebegini teruk. Sanggup menikamnya dari belakang.

Patutlah selama ini dia melihat Amri seakan-akan cemburu dan marah tatkala Adam berkata sesuatu tentang isterinya. Rupanya-rupanya... Huh!

Sungguh, Adam benar-benar rasa dikhianati oleh sahabat dan isterinya sendiri. Dia tidak menyangka Ika tergamak memperlakukannya sebegini.

Dayuskah dia? Bodohkah dia? Kerana mencintai insan yang tidak tahu menghargai kasih dan juga sayangnya?

"Kenapa kau buat semua ni Ika?"

Hilang sudah kata ganti I-you yang sering digunakan Adam. Hatinya benar-benar hancur kini.

"Betul you nak tahu? Semua ni disebabkan you. I ditinggalkan terkontang-kanting di rumah. Jaga rumah, jaga anak. Jaga makan pakai you! Sama ada you sedar atau tak, I ni tak ubah macam bibik you je kan? You selalu sibuk dengan kerja hingga abaikan I. Mungkin you lupa Adam, seorang perempuan perlukan perhatian."

"Is that why you did everything? Is that the reason you cheated on me?"

Ika diam. Wajahnya masih selamba.

"Kau lepaskan je la Ika. Tak guna kau simpan dia. Sebab dia tak sayang kau dah. Lagipun, kami dah banyak kali terlanjur," ucap Amri lantas memeluk tubuh Ika tanpa segan-silu.

Memerah mata Adam saat mendengar pengakuan Amri. Sudah banyak kali terlanjur?

"Ya Adam. Apa yang Amri cakapkan tu betul."

Kakinya seakan-akan hilang kudrat tatkala Ika dengan selamba mengiakan pengakuan itu.

"Astaghfirullah. Kau ni memang perempuan tak sedar diuntung. Makan pakai semuanya cukup anak aku bagi. Tapi masih juga kau berfikiran singkat sebegini? Kau tak takut dosa ke Ika?"

Melengking hebat suara Puan Halijah. Segera dia mengurut dadanya. Terlalu terkejut dengan berita yang didengarnya.

"Mak tak faham..." kata Ika, masih selamba.

"Apa yang aku tak faham sekarang ni adalah kau. Kenapa kau tergamak buat begini? Tak ingat hukum? Halal dan haram? Tak ingat anak-anak? Kalau beginilah perangai kau, kau memang tak layak untuk bergelar ibu pada cucu-cucu aku!"

Semakin sakit hati Puan Halijah dengan sikap Ika.

"Sudah Adam. Tak ada gunanya kamu simpan perempuan yang macam ni. Baik kamu lafazkan cerai saja!"

"Ha, baguslah. Bolehlah aku jadi pengganti kau, Adam." Dengan penuh bangga Amri menutur kata.

Adam mengepalkan penumbuknya. Dan tanpa sebarang kata dia menumbuk wajah Amri. Amri terjatuh dek tumbukan padu Adam. Belum sempat dia membalas, Ika menarik pantas tangannya.

"Sudahlah Am. Tak ada guna you bergaduh dengan mamat ni. Buang masa."

Spontan Adam menggigit bibir. Sakit hatinya mendengar perkataan 'mamat' yang ditujukan Ika buat dirinya. Seolah-olah benci benar Ika kepada dirinya.

Saat Ika ingin melangkah pergi, Adam segera menyebut nama penuh perempuan yang pernah menghuni hatinya itu.

"Atikah Binti Zahid, selangkah kau keluar dari sini maka kau bukan lagi isteri aku."

Tanpa menghiraukan Adam, Ika mencapai beg bagasi yang terletak di bawah katil. Lantas disumbat bajunya ke dalam beg bagasi sederhana besar itu. Setelah selesai, dia melangkah keluar dari kamar tidur yang pernah dihuninya.

Amri mengukir senyum kemenangan. Akhirnya, dia berjaya juga memporak-perandakan rumah tangga Adam. Sekarang puas hatinya melihat wajah Adam yang kecewa.

Rasakan Adam! Selama ini kau rampas Ika daripada aku. Kini Ika milik aku. Milik aku seorang!

Amri turut melangkah keluar dari bilik itu, mengikuti langkah Ika.

Adam jatuh terduduk. Tanpa sedar air mata mengalir menuruni lekuk pipinya. Sakit! Itu yang dirasakannya kini.

"Ada hikmah di sebalik apa yang berlaku ni, Adam. Bertabahlah. Sekarang mak nak kamu fokus membesarkan anak-anak kamu. Mereka perlukan kamu Adam," nasihat Puan Halijah lembut.

Diusap belakangtubuh Adam untuk menenangkan jiwa si anak yang sedang rapuh.

JODOHKU BABYSITTERWhere stories live. Discover now