BAB 8

4.4K 62 1
                                    

HANAN memandang atas bawah penampilan insan di hadapannya. Dia agak keliru dengan identiti insan tersebut. Dengan seluar jean koyak, T-shirt lengan pendek dan kemeja yang dililit pada pinggang dan rambutnya yang dipotong pendek.

"Err... Encik nak jumpa siapa?" tanya Hanan teragak-agak.

Encik ke cik ni? Hanan pula main belasah saja sebenarnya. Confident sangat si dia ini lelaki. Kalau perempuan yang berdiri di depannya ketika ini, tak ke malu dia nanti?

Adel menggigit bibir. Panas hatinya saat diri digelarkan encik. Membulat besar matanya apabila gadis itu 'scan' dirinya atas ke bawah. Bawah ke atas. Seolah-olah dia tidak berbaju sahaja. Spontan Adel meneliti penampilan dirinya.

Oh, baru dia tahu mengapa gadis di hadapannya memandangnya hairan. Ternyata penampilannya hari ini benar-benar menampakkan dirinya yang boyish.

Jauh di sudut hati dia berharap agar mendapat pekerjaan ini. Sudah naik lelah dia ke satu demi satu tempat. Semua memandang penampilan dirinya dengan hairan dan lain macam.

Apa salahkah penampilannya yang sebegini untuk memohon kerja?

Bukanlah kerja besar pun yang dipohonnya. Sekadar jurujual dan juga tukang basuh pinggan saja. Itu pun mentah-mentah dia ditolak. Andai kerja sebagai babysitter juga tidak memihak kepadanya, terpaksalah dia mencari ruang pekerjaan lagi dan lagi.

"Assalamualaikum," sapa Adel seraya mengangkat tangan.

Bulat mata Hanan tatkala mendengar suara insan di hadapannya.

"Errr... wa... waalaikumussalam. Nak jumpa siapa ya?" tanya Hanan agak gugup.

Bimbang seandainya disembur kerana keterlanjurannya memanggil insan tersebut dengan panggilan encik sebentar tadi.

"Saya nak jumpa bos awak. Saya ada terbaca dekat Internet pasal iklan babysitter. Elok sangatlah tu. Saya memang suka budak-budak. Lagipun, susah nak dapat kerja sekarang ni. Saya harap, dapatlah kerja ni," ujar Adel seraya tersenyum manis.

"Oh... Kalau macam tu, cik tunggu sebentar ya. Saya nak inform bos saya dulu."

Adel menggangguk kepala seraya tersenyum. Dia menghantar pandangan hingga susuk tubuh gadis tadi hilang daripada pandangan mata. Sementara menunggu, matanya melilau melihat sekeliling ruang pejabat.

"Cik."

Adel menoleh ke belakang tatkala mendengar suara itu menyapanya.

"Awak boleh masuk. Errr... harap awak dapat kerja tu. Dah lama bos saya cari orang yang sesuai. Tapi, yang datang temu duga semuanya hampeh belaka. Saya harap kerja tu memang khas buat awak," ucap Hanan seikhlasnya.

Hatinya merasa damai tatkala bibir insan di hadapannya mengukir senyum.

"Terima kasih," ucap Adel.

Segera dia menapak ke bilik yang ditunjukkan Hanan.

Adel menolak daun pintu sebaik mendengar arahan dari dalam. Dia melemparkan senyuman buat jejaka yang sedang asyik merenungnya itu.

Bagai ingin tersembul keluar biji mata Adam apabila melihat perwatakan gadis itu. Melihatkan saja penampilan gadis di hadapannya itu membuatkan mulut Adam ternganga luas. Pelbagai andaian bermain di minda.

Mampu ke minah brutal itu menjaga anaknya? Bagaimana kalau anak-anaknya didera?

Sesaat kemudian, Adam bagaikan terpukau dengan haruman yang dipakai oleh gadis di hadapannya. Haruman ni...

Ya Allah, apakah makna di sebalik semuanya ni? Mungkinkah... dia insan yang aku cari selama ini?

Adel resah gelisah. Renungan tajam Adam itu membuatkan dirinya tidak selesa. Serba tidak kena dirinya saat ini.

JODOHKU BABYSITTERWhere stories live. Discover now