BAB 1

1.1K 20 0
                                    

HARTINI terjaga dengan muka berpeluh. Dia mengusap mukanya seketika. Banyak kali dia beristighfar. Malam itu, sekali lagi dia bermimpi. Mimpi ngeri yang dialami tadi sudah acap kali mengganggu tidurnya.

Selimut yang membaluti tubuh, ditolak perlahan lalu dia menapak keluar dari bilik. Tekaknya terasa haus. Dalam keadaan agak gelap, Hartini melangkah ke dapur. Satu gelas air masak diminum sampai habis. Keringat di dahi masih terasa.

Mungkin cuaca panas sejak kebelakangan ini. Tambah lagi rumah kayu yang dihuni itu beratapkan zink. Semakin menambah bahang. Segelas lagi air masak diminum. Cuaca panas begitu rasanya mahu saja ditogok satu jag. Hausnya tidak terkira.

Tap, tap, tap.

Telinga Hartini menangkap bunyi tapak kaki berlari. Disusuli pula dengan suara ketawa mengekek seperti suara budak kecil. Dia melihat-lihat sekitar ruang dapur. Tak ada sesiapa. Mungkin perasaannya saja. Mungkin juga terbawa-bawa dari mimpi yang dialaminya.

Hartini keluar dari ruang dapur. Sempat dia melihat bilik Minah di sebelah bilik berkunci. Minah, orang gaji yang setia berkhidmat sehingga sekarang.

Rumah beratap zink itu adalah rumah milik orang tua Minah yang telah lama meninggal dunia. Dia pula terpaksa menumpang teduh di rumah Minah selepas kejadian kebakaran rumah milik orang tuanya, seminggu selepas kematian kedua ibu bapanya dalam kemalangan jalan raya. Kini sudah enam bulan lebih dia tinggal dengan Minah di rumah kayu itu. Sejak belajar di universiti, sekali-sekala dia pulang ke kampung menjenguk Minah.

Langkah Hartini terhenti di depan bilik berkunci bila telinganya sekali lagi menangkap bunyi tapak kaki berlari-lari diselangi suara kecil yang mengekek. Telinganya ditekap ke daun pintu. Dia cuba memasang telinga untuk mendengar dengan lebih jelas. Bunyi tapak kaki berlari semakin kuat. Bunyi keriuk lantai papan yang dipijak itu jelas menujah telinga.

"Macam suara budak. Siapa?" Hartini memasang telinga. Diam dia berdiri di depan pintu.

"Tini?"

Pantas Hartini menoleh. Minah sedang tercegat sambil memegang pelita. Sedikit terkejut dengan rambut menggerbang sedang memandang ke arahnya. Tambah lagi wajah Minah disuluhi cahaya dari api pelita.

"Mak cik ni, buat saya terkejut saja." Hartini mengurut dada.

"Buat apa kat sini? Tak tidur lagi?" Minah sempat mengerling bilik yang berkunci itu.

"Terjaga tadi mak cik. Terus rasa haus," balas Hartini dengan bibir tersenyum sumbing.

"Oh... Dah, pergi tidur. Subuh nanti mak cik kejut."

Hartini segera mengatur langkah ke biliknya semula. Biliknya pula terpisah dengan ruang koridor yang menuju ke ruang dapur dan berhadapan dengan bilik Minah. Bilik Minah dan bilik berkunci itu hanya bersebelahan saja.

Sampai di dalam bilik, Hartini duduk di kerusi di depan meja solek antik. Jam tangan dicapai dari atas meja solek.

"Dah 3.30 pagi."

Hartini kembali menyambung tidur. Terkebil-kebil matanya memandang siling kayu itu. Apa yang didengar tadi kembali bermain dalam kotak fikiran. Bunyi tapak kaki berlari-lari dan suara ketawa kecil dari bilik itu memang jelas di telinganya. Suara seperti itu pernah didengarnya di salah satu bilik di rumah orang tuanya dulu yang terbakar.

Ingin saja dia bertanya Minah tentang hal itu, tetapi memandangkan dia hanya menumpang di rumah Minah, tidak elok dia menjadi 'mak cik bawang' tak bertauliah. Minah mengajaknya tinggal bersama itu pun sudah rasa bersyukur. Hidupnya pun sudah sebatang kara, sama nasib seperti Minah yang tidak pernah berkahwin.

Hartini pejam mata. Esok, dia perlu bangun awal menolong Minah membungkus nasi lemak untuk dijual di warung Cik Nah. Terpaksa dia menyesuaikan diri hidup susah. Dia harus terima hakikat yang hidupnya kini tidak lagi seperti dulu. Mewah dalam segala perkara. Menjadi anak tunggal dalam keluarga, sudah menjadi kebiasaan dimanja dan diberi kemewahan.


BASIKAL ditongkat dan diletakkan di bawah pokok rambutan. Hartini mengangkat bakul nasi lemak dan diletakkan di atas meja di warung Cik Nah. Selesai menerima bayaran daripada Cik Nah, Hartini capai bakul kosong dan disangkut pada basikal.

"Kasihan betul. Dulu hidup mewah, sekarang jual nasi lemak."

"Yalah, dah dapat harta pun cara tak betul. Mana nak berkatnya harta tu. Tengok, mati kemalangan, lepas tu rumah pulak terbakar. Anak tinggal sebatang kara. Terpaksa menumpang rumah orang gaji sendiri." Suara lain pula menyampuk.

Hartini masih diam tidak berkutik. Tangannya digenggam kuat. Dia menoleh ke warung itu semula. Ada beberapa orang pelanggan lelaki sedang bersarapan. Semuanya sudah tua.

"Aku dengar, sebelum kemalangan tu, si Hamdan tu pergi ke Siam nun. Entah-entah pergi cari bomoh nak jadi lagi kaya!" Deraman mula mencelah.

Kata-kata Deraman disambut dengan gelak ketawa oleh pelanggan lain yang sedang bersarapan di warung Cik Nah.

"Sudahlah tu. Tak habis-habis mengata. Kau orang pun bukan baik sangat. Macam aku tak tahu," celah Kahar yang duduk di meja hujung.

Deraman menjeling tajam pada Kahar yang sedang menikmati kopi panas. Dia tahu, kata-kata yang keluar dari mulut Kahar tadi memang ditujukan kepadanya. Bibirnya diketap kuat.

Hartini segera tarik basikal dan dikayuh laju meninggalkan warung itu dengan hati membara. Sampai di rumah, dia segera masuk ke dalam bilik lalu tubuhnya direbahkan atas katil.

"Tini, kenapa ni?" Minah perasan Hartini meluru ke bilik dengan mata merah.

"Tak ada apalah mak cik."

"Dah, mari makan. Tini belum makan lagi, kan?" Minah pegang lembut tangan Hartini.

Hartini menyapu matanya yang berair. Dia segera mengikut Minah ke dapur untuk bersarapan. Usai makan, Hartini kembali ke biliknya semula. Hari itu dia tak ada mood untuk bersembang dengan Minah seperti biasa. Minah pun sudah masak dengan perangainya bila ada masalah.

Teringat pada satu bungkusan kecil yang diterima dua minggu lepas, Hartini menapak ke almari pakaian. Beg pakaiannya dicapai dari atas almari. Satu kotak kecil yang masih elok dibalut dengan kertas warna coklat dikeluarkan dari beg itu.

Hartini duduk bersila di atas lantai. Bungkusan yang beralamat apartmen kolej kediamannya di Shah Alam itu belum sempat dibuka. Masa itu, dia sibuk dengan peperiksaan semester yang baru bermula.

"Emm... Tak ada alamat pengirim. Siapa agaknya yang kirim ni?"

Hartini membelek-belek bungkusan itu, mencari nama dan alamat pengirim. Memang tak ada. Kotak itu diletakkan semula di atas katil. Dia keluar menolong Minah menganyam tikar mengkuang pula.

Minah tersenyum melihat Hartini yang khusyuk menganyam daun mengkuang. Semakin hari semakin cekap gadis itu membuat kerja. Gadis berusia 18 tahun itu tidak pernah merungut selama tinggal dengannya di rumah buruk ini. Tidak seperti di rumah besar milik Hamdan dan Kasimah dulu. Rumah itu cantik dengan seni bina lama.

Hamdan rajin mengumpul kekayaan, tapi sayang kekayaan yang dimiliki Hamdan bukan dengan cara yang baik. Sudahlah begitu, mereka meninggal pula dalam kemalangan dan seminggu kemudian rumah pula terbakar. Hartini ibarat sudah jatuh ditimpa tangga.

"Mak cik..."

Tersentak Minah bila lengannya disentuh. Dia berpaling.

"Tini dah siapkan tikar. Nanti, Tini nak hantar ke kedai Pak Cik Kahar. Mak cik berehat ya."

Minah hanya mengangguk. Hartini sudah siap memakai tudung dan mula mengambil tikar yang sudah siap dianyam sejak seminggu yang lalu. Ekor matanya menghantar Hartini yang mula mengayuh basikal meninggalkan halaman rumah sehingga hilang daripada pandangan.

Melihat kesungguhanHartini, dia mula merasa sebak. Hartini terpaksa hidup susah dengannya. Hartinihanya ada sebidang tanah pusaka di hujung kampung dan tapak rumah yang sudahterbakar itu sahaja.

HARTINIWhere stories live. Discover now