BAB 3

697 15 0
                                    

HARTINI terjaga daripada tidur. Dia lihat jam. Hampir 3.30 pagi. Hidungnya disumbat dengan bau darah yang hamis. Selimut ditolak perlahan. Dia bingkas daripada perbaringan sambil melingas ke sekitar bilik. Bau hanyir darah semakin kuat menusuk lubang hidung.

Perlahan dia melangkah ke segenap ruang bilik itu. Matanya dialih ke segenap ruang bilik. Bau darah semakin sesak di lubang hidung. Sekali lagi dia merapati bilik berkunci itu dengan perasaan gementar. Dia mendengar bunyi lantai papan dipijak-pijak dan daun pintu ditendang-tendang seperti memberontak ingin keluar dari bilik itu.

Suara merengek anak kecil kedengaran di telinga. Bilik yang sering berkunci itu menurut Minah hanyalah bilik stor, tempat menyimpan barang-barang lama kepunyaan orang tua Minah. Walaupun takut, sikap ingin tahunya mengatasi perasaan takut itu.

Perasan seperti ada cahaya datang dari bilik itu, Hartini mengendap dari celah bawah pintu. Nampak bekas tapak kaki kecil yang berdarah merata-rata di atas lantai papan di dalam bilik itu. Saiz tapak itu seperti saiz tapak kaki kanak-kanak dalam lingkungan usia setahun atau dua tahun mungkin.

Bau hamis darah semakin menyesak rongga hidung. Hartini menekup mulut. Hampir muntah dibuatnya dengan bau yang cukup meloyakan Busuknya seperti busuk mayat reput! Ingin saja dia berpatah balik ke biliknya semula, tetapi perasaan ingin tahunya membuak-buak.

Sekali lagi dia melabuhkan mata ke celah pintu, mengintai ke dalam bilik. Hampir terkucil melihat lidah panjang terjelir menjilat-jilat darah di atas lantai. Menggigil seluruh badannya saat melihat lidah panjang sedang menjilat rakus darah di atas lantai.

Kaku.

Bunyi desiran angin menerjah lubang telinga pula. Hartini cuba mengamati deruan angin dari luar rumah. Ternyata desiran angin yang didengar itu datang dari dalam bilik berkunci itu. Kali ini desiran angin itu seperti bercampur dengan suara dengusan seperti dengusan seekor kerbau yang menunggu masa untuk menerkam pihak lawan.

Terasa cuak dengan bunyi aneh itu, Hartini memusingkan badannya dan mahu beredar dari situ. Tetapi saat kakinya ingin melangkah, terasa pergelangan kaki kanannya digenggam sesuatu yang sejuk. Sejuk seperti ais!

Jantungnya berdegup laju. Perlahan anak matanya dialih ke kaki kanannya. Lima jari kanak-kanak melekat pada pergelangan kakinya bersama darah. Tangan kanak-kanak itu dihulur dari celah bawah pintu bilik yang berkunci itu. Dia cuba menendang dengan harapan genggaman jemari kecil yang sejuk itu akan terlerai. Namun cengkaman itu semakin kuat. Darah meleleh ke lantai.

Kih kih kih kih...

Tersentak Hartini mendengar suara kecil yang ketawa tiba-tiba dari dalam bilik itu. Dia terus menarik kakinya sehabis daya. Semakin kuat dia menghentak, semakin kuat cengkaman jemari kecil itu. Sakit!

"Lepaskan aku!" Tanpa sedar, lantunan suara marah keluar dari mulut Hartini.

Secepat itu juga, jemari berdarah tadi sudah tiada. Pantas Hartini melihat kaki kanannya. Tiada sedikit pun kesan darah. Dia segera masuk ke dalam biliknya semula dan berselimut litup. Bau hanyir darah masih ada. Terkumat-kamit mulutnya membaca mana-mana ayat yang dia ingat.


USAI solat subuh, Hartini termenung di atas sejadah. Apa yang dialaminya malam tadi semakin menyeramkan. Sebelum ini dia hanya mendengar suara ketawa dan tapak kaki berlari-lari di dalam bilik itu saja.

Sejadah dilipat dua dan diletakkan di atas katil. Hartini menapak ke jendela. Daun jendela itu dibuka luas. Hari sudah semakin cerah. Dia capai naskhah al-Quran lalu muka surat bertanda disambung baca. Dengan cara itu saja, rasa cuak dan gementar akan hilang.

Teringat pesan Ustazah Jaradah di asrama sekolah dulu. Jangan tinggal solat dan jangan abaikan membaca Quran. Tambah lagi terjemahannya.

Hartini membantu Minah menyiapkan nasi lemak yang akan dihantar ke warung Cik Nah seperti biasa. Sambil melurut daun pisang yang sudah dilayur, Hartini sempat mengerling Minah yang ralit mencedok nasi ke atas daun pisang bersama sambal ikan bilis, sedikit hirisan timun dan telur rebus. Hatinya bagai ditarik-tarik untuk bertanya hal malam tadi.

HARTINIWhere stories live. Discover now