BAB 1

1.8K 37 0
                                    

RADIN duduk berdepan dengan Qhalish. Sudah hampir setengah jam restoran mamak itu menjadi tempat mereka melepak setelah hampir lapan tahun tidak bertemu. Dalam pertemuan yang tidak disengajakan, mereka terus bertukar nombor telefon dan kini bertemu di sini.

Sedari tadi masing-masing tak lepas daripada memuji antara satu sama lain. Yalah, hampir lapan tahun tidak bertemu, sudah tentu ada perubahan pada diri masing-masing.

Dulu belajar, masing-masing comot pun dah rasa diri paling cool. Kini bila sudah dewasa dan berkerjaya, eloklah sikit dipandang. Cuma ada masanya perangai usik-mengusik itu melekat dalam diri mereka tanpa mengenal usia.

"Kau macam mana sekarang?" soal Radin setelah topik kerjaya menjadi pilihan sebelum ini.

"Macam mana apanya?" soal Qhalish kembali.

"Takkan tak ada siapa-siapa lagi kut," terang Radin akan maksud soalannya sambil tersenyum, membuatkan Qhalish faham makna senyuman itu.

Dia ketawa terlebih dahulu sebelum menjawab, "Dah bertunang dah pun."

Radin sedikit terkejut. "Serius?"

Qhalish senyum dan angguk. Kalau dia perempuan, mungkin lebih senang untuk dia tunjuk cincin sebagai tanda tunang, tapi sayangnya dia lelaki. Jadi dia harus bercerita panjang lebar bagi meyakinkan sahabat itu.

"Bila?"

"Dah nak masuk dua tahun pun. Aku bertunang masa sem akhir degree," terang Qhalish tersenyum malu mengalahkan anak dara.

"Hai, laju betul. Takut orang lain sambar ke?" gurau Radin siap dengan mimik muka sebelum menyedut sedikit air di dalam cawan yang hampir kering itu.

Itu sudah masuk cawan kedua.

Qhalish ketawa lagi.

"Kalau aku cakap, mesti kau tak percaya punya."

Radin kerut dahi tak faham. Adakah kata-kata temannya itu ada kaitan dengan soalannya ataupun perkara lain yang mungkin dia tak akan percaya?

Dia langsung tidak bersuara, memberi ruang untuk Qhalish bercerita.

"Kau ingat lagi takdengan Arisa?"

Kerutan Radin makin menebal.

"Arisa? Arisa mana?" soalnya kerana gagal mengingati pemilik nama itu.

"Alah, Arisa, junior kita yang kawan dengan Fia budak kelas Sains yang Wafi nak try sangat sampai sanggup tiap pagi kutip bunga kat tepi surau tu..."

Tak lama untuk kerutan di dahi Radin hilang. Kalau itu klu yang diberikan, memang mudah untuk dia ingat.

"Yang kantoi dengan ustaz lepas tu kena sebat tu?" soal Radin sambil tersenyum teringat memori itu.

Qhalish sudah kemam tawa sambil mengangguk.

Tapi, seketika kemudian dahi Radin kembali berkerut. Cuma tidaklah setebal tadi sebab keningnya terangkat sebelah.

"Cop! Kau sebenarnya dapat Arisa ke Fia?"

"Gila kau aku nak ngurat Fia. Aku tak sekejam tu kut nak rampas member punya," bidas Qhalish sebelum menyambung dengan nada semacam hendak ketawa.

"Walaupun sebenarnya Fia memang dah tolak Wafi awal-awal lagi."

Kemudian masing-masing ketawa seolah-olah restoran mamak itu asrama sekolah mereka. Bila cerita lalu timbul, pasti ada saja yang boleh dibuat bahan ketawa.

Radin yakin kalau Wafi ada di situ, mukanya sudah tentu merah kerana malu. Walaupun Qhalish dan Wafi junior, tapi Radin tetap rapat dengan mereka.

"Jadi, kau dengan Arisalah ya? Tapi macam mana korang boleh jumpa balik? Dulu takde pun nampak macam kau suka kat dia."

CINTA BELUM TAMAT TEMPOHTempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang