BAB 7

346 12 0
                                    

DARI bilik tidur, Qaisara dapat mendengar gelak tawa adiknya dan Radin di ruang tamu. Hatinya kuat mengatakan mereka sedang bercerita tentangnya.

Sambil melipat baju, dia cuba mendengar. Tapi pendengarannya tidak tajam. Walau bagaimanapun, Qaisara yakin dia yang menjadi topik utama Qhalish dan kawan baiknya itu.

Yalah, tadi boleh pula adiknya persoalkan dari mana dia dapat ayam sedangkan pagi tadi di pasar dia hanya beli ikan. Yang Radin pun jujur saja ceritakan semuanya.

Nasib baik bahagian terpeluk itu tidak diceritakan. Kalau tidak, bukan saja otak lelaki itu mahu dimasukkan ke dalam pembakar keknya dan dibiarkan sehingga hangit, orangnya sekali akan dilenyek dengan lori 13 tan.

Setelah selesai mengemas semua bajunya, Qaisara rasa pelik bilamana rumah tiba-tiba saja menjadi sunyi.

"Takkan dah tidur kut?" soalnya sendirian kemudian mengambil jam tangannya yang diletakkan di atas meja menghampiri 9.00 malam.

"Budak tak cukup umur tu dah balik rumah tok ketua la kot..."

Beg yang sudah siap dikemas diletakkan di tepi almari. Perlahan-lahan Qaisara buka pintu dan melangkah keluar. Terkejut dia bila terlihar Radin masih di ruang tamu. Yang peliknya, hanya Radin saja ada di situ. Sedang menonton televisyen.

Saat mata Radin mahu bertentang dengannya, cepat-cepat Qaisara larikan pandangan ke bilik sebelahnya, yang dihuni Arisa. Diketuk pintu bilik itu perlahan, menunggu arahan sebelum masuk.

Tapi, arahan dari luar pula yang didengarnya.

"Arisa keluar dengan Lish."

Terus Qaisara halakan anak matanya kepada Radin. Lagi sekali Qhalish tinggalkan dia dengan lelaki ini?!

"Kat depan rumah tu aje. Bukannya keluar ke mana pun. Tak payahlah awak nak buat muka macam tu. Sepatutnya saya yang takut berdua-duaan dengan awak. Kalau depan orang pun awak boleh peluk saya, ni bila dah berdua, entah apa pulak awak buat nanti," tambah Radin selamba sambil memandang televisyen.

Seolah-olah mahu membalas sikap ego Qaisara yang tidak mahu bertentang mata dengannya.

Terus merah muka Qaisara. Bukan saja kerana malu, juga kerana menahan marah kerana dipermainkan oleh lelaki itu. Dia dipermainkan oleh budak yang lebih muda daripadanya.

Rasanya memang patut pun dia lenyek lelaki itu dengan lori 13 tan.

Dalam hati, Qaisara berharap benar cerita itu tidak sampai ke pendengaran adiknya mahupun Arisa. Kalau tidak, memang itu berita yang paling memalukannya buat tahun ini. Malah, dah berjaya pecah rekod berita malu sepanjang hayatnya.

Oh Tuhan, lelaki jenis apa yang Kau munculkan ni?

Doa Qaisara dalam hati lagi, semoga selepas kembali ke Kuala Lumpur nanti, dia tidak akan berjumpa lagi dengan lelaki itu. Baru kenal, tapi hatinya sakit mengalahkan dah lama kenal. Kalau dah lama kenal, rasanya hatinya pun dah tak ada rupa hati.

Huh! Tak hingin aku kenal lama-lama dengan budak tak cukup umur ni!

"Takkan nak masuk tidur dah kut? Sinilah, tengok TV dulu. Nak malu apa? Tadi awak peluk saya, awak tak malu pun," ajak Radin, memandang Qaisara dengan senyuman penuh makna sambil menepuk bantal sofa di sebelahnya.

Qaisara buat pekak, terus meloloskan diri ke dalam bilik arwah orang tuanya. Saja dia mahu menghabiskan masa di dalam bilik itu seketika. Tapi tanpa disangka, bila berada di dalam bilik itu, lain pula yang berlaku.


QHALISH pandang Arisa. Tadi ketika dia rancak berborak dengan Radin, tiba-tiba tunangnya itu keluar dari bilik. Bila disoal kenapa, katanya mahu bercakap di luar.

Qhalish dapat rasakan itu perkara yang serius.

"Pasal ayah lagi ke?" duga Qhalish, memecah kebisuan antara mereka.

Arisa lepaskan keluhan dan angguk. "Ayah ingat kita balik kampung ni nak uruskan hal kahwin kita."

Qhalish tarik nafas terlebih dahulu sebelum menyoal, "Habis tu, awak cakap apa?"

Masuk kali ini sudah beberapa kali bakal ayah mentuanya itu bertanyakan soalan yang sama. Dan bila soalan ini menjadi perbualan mereka berdua, pasti kesudahannya masing-masing sakit hati dan makan hati.

"Saya jawab belum lagi," balas Arisa, masih memeluk tubuh sendiri.

"Kalau ayah tanya lagi, awak cakap dalam perancangan. Tadi kan kita dah jumpa tok ketua, mintak pendapat dia dan bincang apa yang patut," balas Qhalish.

Memang petang tadi mereka ada berjumpa dengan tok ketua pun. Qhalish mahukan nasihat daripada lelaki yang ada kaitan dengan arwah ayahnya itu.

"Memanglah. Tapi, awak baru jumpa tok ketua. Awak belum cakap kat Kak Sara lagi, kan? Tok ketua sendiri cakap suruh awak bincang dengan Kak Sara dulu, kan? Lagipun, kalau saya cakap kat ayah dalam perancangan, ayah tanya bila nak langsung, macam mana? Apa pulak saya nak jawab?

"Sebab tulah saya suruh awak cakap dekat Kak Sara terus, bincang dengan Kak Sara. Ini tak, balik-balik awak cakap benda yang sama. Awak takut Kak Sara terasa hati. Habis tu, hati saya ni macam mana?" luah Arisa panjang lebar.

Kadang-kadang dia jadi sakit hati dengan sikap tunangnya yang lebih menjaga hati kakaknya berbanding hatinya.

Qhalish mula gelabah. Takut pula kalau-kalau suara Arisa yang sedikit meninggi itu masuk ke dalam rumah dan didengar kakaknya. Dilihatnya bilik arwah orang tua mereka bercahaya. Dia pasti Qaisara berada di dalam bilik itu.

"Kenapa? Awak takut Kak Sara dengar? Kalau awak takut nak cakap, biar saya yang cakap dekat dia."

Arisa terus menapak, membuatkan Qhalish makin gelabah. Qhalish mengejar dari belakang. Dipegang lengan tunangnya itu kuat.

"Awak, biar saya cakap sendiri dengan Kak Sara."

Cengkaman tangan Qhalish pada lengannya membuatkan Arisa menghentikan langkah. Perlahan-lahan lengannya dilepaskan Qhalish. Pasti lelaki itu tidak mahu menyakitinya.

Arisa pandang tunangnya itu dengan ekor mata sebelum menyoal, "Bila?"

"Balik KL nanti."

Arisa terus mendengus dan berjalan masuk ke dalam rumah. Sangkanya bila dia mengugut seperti itu, tunangnya akan terkesan. Tapi tidak. Dari KL bawak ke kampung dan sekarang mahu dibawa semula isu itu ke KL.

Qhalish mengekori langkah memberontak Arisa dari belakang. Sebaik masuk ke dalam rumah, Arisa terus masuk ke dalam biliknya. Qhalish sedikit lega kerana tunangnya itu tidak menyerbu bilik kakaknya.

Radin diam sekejap, cuba buat dia tak nampak apa yang berlaku. Kemudian dia bangun.

Qhalish memandang. "Kau nak balik dah ke?"

"Ha'a..."

"Kau boleh balik sendiri?" soal Qhalish. Takut juga dia kalau dia keluar hantar Radin nanti Arisa serang Qaisara pula.

Bukan Qhalish nak kata Arisa itu jahat, tapi dia cuma bimbang.

"Boleh aje, aku ingat jalan. Aku balik dulu ya," ujar Radin kemudian tepuk bahu Qhalish yang masih berdiri di depan pintu sebelum turun dari rumah itu.

Radin tidak mahu sahabatnya itu berasa malu bila dia menjadi saksi pergaduhan antaranya dan Arisa. Dalam diam, tumpah kasihan Radin dengan nasib kawannya itu.

Sudah berkali juga dia mencadangkan supayaQhalish berterus terang dengan Qaisara. Tapi jawapan yang diterima lebih kurangsama juga dengan jawapan yang selalu dihidangkan untuk Arisa.

CINTA BELUM TAMAT TEMPOHOpowieści tętniące życiem. Odkryj je teraz