"CIK Orked... saya dah bawak pergi klinik. Saya dah ganti seluar jeans Cik Orked yang koyak tu. Siap pakej dengan T-shirt baru lagi. Rasanya saya tak ada hutang apa-apa lagi." Syed Haidar menghentikan kereta di tempat dia terlanggar Cik Mafia tadi.
Hampir tiga jam masanya terbuang akibat melayan Cik Mafia ni. Konon saja ganas tapi nama ala-ala wanita Melayu terakhir. Dia risaukan Suhaila yang masih belum ada khabar berita lagi. Mujur Orked tak berapa cerewet dan hanya mahu pergi ke kedai bundle. Diajak pergi shopping mall ditolak pula. Tapi cari baju sampai keluar masuk tiga kedai. Cerewet jugalah gadis ini.
"Belum lagi! Masih ada hutang lagi!" tegas Orked.
"Apa lagi Cik Orked yang cantik jelita..." Syed Haidar bagaikan sengaja menyimbah minyak tanah ke bara api. Geram dengan Orked dia tak perasan mulutnya mengucapkan sesuatu yang gadis benci. Dia sudah maklumkan kepada Orked yang dia ada urusan penting.
Orked memandang Syed Haidar tajam. Kalaulah matanya boleh keluarkan kilat macam kartun dalam TV, memang dah rentung lelaki yang duduk di tempat pemandu itu. Degil sangat. Dari tadi sudah warning jangan panggil dia dengan nama Orked.
Syed Haidar kendurkan badan. Diangkat kedua belah tangan memohon ampun maaf. Dia bukan tak dengar warning Cik Mafia, tapi dia geram sangat. Sudah berkali-kali dia tegaskan yang dia ada hal penting tadi. Orked tidak faham atau sengaja buat-buat tidak faham?
"Sebut lagi nama Orked, bersepai gigi tu nanti!" Orked ugut Syed Haidar sekali lagi. Spesies manusia kepala batu. Dah cakap banyak kali jangan panggil Orked. Degil sungguh tua bangka ni!
"Sorry Orked... tak sengaja." Syed Haidar menekup mulut dengan kedua belah tangan. Otak kata jangan sebut nama tu tapi bibir suka mengalun nama indah itu. Dia sembunyi sengih di belakang tangan.
Orked memandang lelaki itu tajam. Lebih tajam daripada tadi. Diangkat penumbuk dan diacu ke arah Syed Haidar. Sekali lagi Syed Haidar mengangkat kedua-dua belah tangan. Memohon agar gadis itu tenang. Lebih lama mereka bertekak, lagi lambat dia boleh pulang.
"Apa lagi urusan yang belum sudah tu?" tanya Syed Haidar.
"Tadi sebelum kena langgar sepatutnya aku pergi interviu kat mamak depan sana. Oleh kerana kau langgar aku, kau wajib carikan aku kerja. Atau... kau bagi je aku kerja kat tempat kau." Orked jawab selamba. Semua info mengenai lelaki itu ada dalam poketnya. Mujur dia pasang telinga apabila kawannya, Shida selalu membebel fasal Syed Haidar. Jadi dia tahu serba sedikit siapa lelaki yang melanggarnya tadi.
Syed Haidar nak menjerit. Baru beberapa jam dengan Cik Mafia ini dia dah rasa macam nak gila. Macam mana dia nak izinkan gadis ini kerja di Heaven Kitchen? Silap hari bulan dia masuk wad psikiatri sebab stres dengan gadis ini. Atau habislah dia cedera sana sini sebab asyik kena belasah dengan Cik Mafia. Baru dia hendak buka mulut Orked sudah bersuara terlebih dahulu.
"Berani kau kata tidak... aku pecahkan kereta lawa kau ni!"
Syed Haidar tidak jadi nak menjerit. Sebaliknya dia hendak ketawa. Badan halus tapi ada hati nak pecahkan kereta dia. Pecah kereta tak ada masalah, bukan dia tak ada duit nak beli baru. Beli dua tiga buah kereta sekali gus pun dia mampu.
"Tempat saya tak ada kerja kosong. Bos saya tak ambil pekerja baru." Syed Haidar terpaksa menipu. Dia tak sanggup bekerja dengan perempuan ganas macam Orked ni.
"Heaven Kitchen tu kau punya, kan. Ada atau tak ada kerja kau mesti adakan untuk aku. Kalau tak aku panggil wartawan cakap kau cuba cabul aku." Orked pusingkan kepala ke arah Syed Haidar. Bibir dikemam dan mata dibutangkan. Jari telunjuk lurus ke hidung mancung cef selebriti itu. Berani lelaki itu tipu dia!

YOU ARE READING
Tukang Masak Cik Mafia - Aein Dhiyauddin
RomanceTAJUK: TUKANG MASAK CIK MAFIA PENULIS: AEIN DHIYAUDDIN ISBN NO: 978-967-2185-07-9 HARGA: RM 25.00(SM), RM28.00(SS) BLURB: "Mata tu letak kat lutut ke sampai tak nampak manusia sedang melintas? Aku ni manusia tau bukan ayam sampai kau tak nampak!"...