SYED Haidar memarkirkan keretanya di petak khas untuknya. Dia melirik jam di pergelangan tangan. Sudah pukul dua belas tengah hari. Heaven Kitchen akan mula beroperasi pukul 4 petang pada bulan Ramadan. Sengaja dia datang awal kerana banyak kerja yang perlu diselesaikan. Selepas menekan alarm kereta, langkah diayun menuju ke pintu depan restoran miliknya.
Dari jauh dia terlihat satu susuk tubuh sedang bersandar lesu pada salah satu tiang restorannya. Dia mempercepatkan langkah. Hatinya tidak dapat menepis sangkaan buruk yang bertandang. Risau kalau-kalau ada orang pengsan di hadapan restorannya.
"Cik Mafia?" Terpacul nama itu dari bibir Syed Haidar sebaik sahaja terlihat wajah pemilik susuk tubuh tadi. Dia memandang ke langit. Diangkat tangan kanan untuk melindungi wajahnya daripada terkena sinaran matahari. Kagum sebentar dengan Cik Mafia kerana mampu lelap di bawah terik mentari.
"Siapa ni?"
Syed Haidar menoleh ke sebelahnya. Cef Sufi sudah pun sampai.
"Pekerja baru kita," jawab Syed Haidar.
"Lagi beberapa hari je Heaven Kitchen nak beroperasi... kenapa dia tak kerja lepas raya je?" soal Cef Sufi pelik. Tapi dia tak boleh kata apa kalau bos sudah buat keputusan.
"Adalah sejarahnya... kita masuk dalam dulu. Kenapa datang awal?" tanya Syed Haidar. Timbul pertanyaan dalam hatinya melihat Cef Sufi.
"Pagi tadi Tan Sri Kamarul call nak buat jamuan raya kat Heaven Kitchen. Tu yang datang awal nak tengok tarikh mana yang kosong," terang Cef Sufi.
"Berapa pax?"
"Anggaran dalam seribu orang."
"Ramai jugak tu. Eh kita bincang kat dalamlah. Saya nak kejutkan budak katik ni dulu."
Cef Sufi mengangguk. Sempat dia mencuri pandang ke arah gadis yang sedang tidur itu. Comel dengan rambut pendek ala tomboi. Dia ingin bertanya lebih lanjut namun dibatalkan kerana perlu membuka kunci pintu restoran itu.
"Assalamualaikum Cik Orked." Syed Haidar menepuk bahu Orked perlahan. Namun tiada sebarang tindak balas. Dia bertinggung di sebelah gadis itu.
"Cik Orked... Cik Orked oi!" Kali dia menggoyangkan bahu gadis itu sedikit keras. Boleh pula gadis ni tidur mati.
"Orked bangun... kalau awak tak bangun nanti saya viralkan gambar awak." Syed Haidar mendekatkan mukanya ke wajah gadis itu. Dia berbisik di telinga Orked.
Serta-merta Orked celikkan mata. Melihat kelibat
lelaki di depannya, diayunkan penumbuk. Tepat terkena pada perut lelaki di hadapannya. Sepantas kilat dia menolak tubuh itu.
"Ya Allah, sakitnya..." Syed Haidar hampir terlentang akibat tolakan Orked. Tangannya menekan perut yang sakit.
"Awak... maaf. Saya tak sengaja." Orked segera mendapatkan Syed Haidar. Kenapalah tangannya begitu pantas bertindak.
"Saya kejut awak bangun tapi awak tumbuk saya Orked. Awak anggap saya ni apa?" Syed Haidar berusaha untuk bangun. Sakit juga penangan perempuan kecil molek ni. Urat besi tulang dawai ke?
"Saya minta maaf, saya tak sengaja." Orked membantu Syed Haidar untuk bangun. Waktu kerja belum mula tapi dia sudah bikin onar. Habislah dia kalau Syed Haidar tak jadi ambil dia bekerja.
"Awak ni memang kaki pukul agaknya. Sikit-sikit nak tumbuk... nak pukul... nak belasah! Awak ingat saya ni punching bag awak. Macam mana saya nak bagi awak kerja. Silap hari bulan saya patah riuk nanti." Syed Haidar tak dapat mengawal marahnya. Pertama kali dia kena tumbuk dengan perempuan. Salahnya sebab cuba kejutkan Cik Mafia yang sedang tidur. Inilah agaknya yang dimaksudkan jangan kejut harimau yang sedang tidur. Mujur harimau acah-acah sahaja. Kalau harimau betul memang dia dah kena baham agaknya.

YOU ARE READING
Tukang Masak Cik Mafia - Aein Dhiyauddin
RomanceTAJUK: TUKANG MASAK CIK MAFIA PENULIS: AEIN DHIYAUDDIN ISBN NO: 978-967-2185-07-9 HARGA: RM 25.00(SM), RM28.00(SS) BLURB: "Mata tu letak kat lutut ke sampai tak nampak manusia sedang melintas? Aku ni manusia tau bukan ayam sampai kau tak nampak!"...