BAB 1: PERTEMUAN

108 8 5
                                    

ZARIF AZHAD

Zarif sudah tidak berupaya untuk berlagak kuat lagi. Hanya badannya berjalan ke sana sini umpama zombie. Sedangkan hatinya, hanya tinggal alat untuk mengepam oksigen yang masih berfungsi, tetapi tiada perasaan lagi. Tiada apa-apa lagi di sana. Sungguh! Dia sendiri tidak menyangka kesannya sampai begitu. 

Sedih. Sebu. Sayu ... Sunyi. 

Pada hari pernikahan Puspa Kamilah dengan lelaki arrogant kekasihnya yang bernama Arman Naim itu, dia sengaja tidak hadir. Dia tahu Puspa tersinggung dengan perbuatannya. Tetapi dia tidak sanggup. Sungguh! Dia tidak sanggup melihat gadis yang dirinduinya itu bernikah dengan lelaki lain. Bukan lelaki itu jahat. Tidak. Malahan sangat baik budi pekerti dan tutur katanya. Bibirnya sebersih wajahnya. Senyum sepanjang masa. 

Dia harus mengakuinya, walaupun dia lelaki yang menyintai gadis yang sama. Mungkin dia sebenarnya yang menjadi pihak ketiga - bukan Arman.

Sepatutnya awal-awal lagi dia sudah dapat menghidu - Puspa memang menaruh hati kepada Arman apabila begitu bersungguh-sungguh mahu membebaskan lelaki itu dari penjara. Salahkan diri sendiri, kerana tak sedar diri. Berkotak-kotak rokok gagal menghilangkan kekosongan di hatinya.

Sekiranya anda mengasihi seseorang, anda bebaskannya. Sekiranya dia kembali, dia menjadi milikmu; jika tidak, dia tidak pernah menjadi milikmu.

Persetan dengan kata-kata itu. Hatinya tetap dirundung pilu.

Kekayaan atau pangkat tidak mampu membeli cinta.

Ya. Zarif atau nama penuhnya Raja Zarif Azhad datang dari keluarga yang kaya. Dia belajar undang-undang di luar negara atas biaya keluarga. Daripada tiga beradik, dua lelaki dan seorang perempuan. Zarif anak kedua. Ayahnya Raja Hadwan Shah, seorang berpangkat dan tokoh korporat, sudah lama meninggalkan dunia fana ini. Urusan perniagaan hartanah keluarganya diambil alih abang sulungnya Raja Izzat.

Namun, setelah berkawan dengan Ezhar dan dibawa berkenalan dengan kaum asal suku Orang Bukit, Zarif merasa wujudnya ketidakadilan dalam pembahagian hasil bumi negara. Mengapa ada yang terlampau kaya, dan ada pula yang dhaif, tinggal di bawah jambatan? Lebih teruk lagi, mengapa orang kaya menjarah hasil hutan, sedangkan masyarakat orang asal dibiarkan kehilangan sumber pendapatan, mendapat air yang tercemar dan tanah mereka dirampas?

Daripada kesedaran itu, dia jual semua pegangan daripada pusaka Raja Hadwan miliknya kepada ahli keluarganya. Zarif tidak mahu ambil tahu lagi. Dia tubuhkan NGO dan dana hasil jualan asetnya semua berada di dalam NGO itu. Nama Raja cuma wujud di kad pengenalannya dan urusan rasmi dengan Kerajaan sahaja.

Bukan itu sahaja yang menjadi kekesalan dalam hidupnya. Dia tahu dari mana asal usul kekayaan keluarganya.

Zarif seorang pejuang rakyat. Dia lawan pihak yang berkuasa atas negara. Tetapi dia tewas dalam perjuangan peribadinya. Dalam perjuangan cintanya itu dia kalah bukan dengan siapa-siapa.

Ya. Siapa Arman Naim? Dia hanya seorang jejaka yang sedang mencuba untuk bangkit setelah kehilangan pekerjaan kerana dipenjara. Tidak cukup tampankah Zarif berbanding Arman?

Ketampanan seseorang lelaki hanya relatif. Dan kerana aspek relatif itu dia tersingkir.

Zarif masukkan beberapa helai baju ke dalam backpack, campak ke dalam Range Rover off-roadnya dan tinggalkan bandaraya Ipoh menuju ke Hulu Perak. Dia belum pernah pergi sendiri. Sering dalam jelajah hutannya dia berkonvoi bersama-sama beberapa rakan peminat aktiviti jejak hutan, termasuk rakan karibnya Ezhar. Tetapi kini dia ke hutan kerana mahu mencari ketenangan dan menjahit luka di hatinya.

Setelah mengambil Raymond, seorang jungle tracker, dari suku Orang Bukit, di Banding, dia meneruskan perjalanan memasuki hutan dengan menelusuri jalan tikus yang sering dilalui oleh penyeludup dadah dan manusia. Akhirnya sampai juga di Pos Bukit Tunggal setelah melalui perjalanan yang sukar.

DUNIA KECILWhere stories live. Discover now