BAB 6: MIMPI ARMAN

65 7 2
                                    

Oleh kerana cerita ini sequel daripada RINDU KAMILAH, maka watak Arman dan Puspa ada di sini, dalam pasukan protagonis. 

DAVID

Arman terjaga. Badannya berpeluh-peluh dalam suasana dingin malam. Jantungnya mengepam oksigen dengan laju. Mungkin hendak membuang toksik yang cuba menyelinap masuk. Ditoleh ke kanan. Puspa tidur dengan seulas senyuman di bibir. Entah apa mimpi manisnya. Diusap pipi isteriya. Terasa sedikit berisi. Tidak lagi kurus seperti ketika masih koma dan lumpuh. Puspa menepis tangannya. Mata masih pejam dan bibir masih tersenyum. Perlahan-lahan Arman bangun kerana tidak mahu mengganggu tidur isterinya yang sedang bermimpi enak itu. Dia menuju ke bilik air dan terus mandi.

Kenapa aku asyik dapat mimpi yang dahsyat ini? Mengapa ia terus berulang?

Lepas mandi, Arman pasang lampu di ruang riadah peribadi mereka. Pakai baju-T, dan sarung seluar pendek. Lepas itu dia sarung kain pelikat, bentang sejadah. Dia solat tahajud dan witir. Memohon Allah untuk mendapat ketenangan.

Seusai solat, sejadah dan kain pelikat digantung di tempat khasnya. Dia kembali ke ruang riadah peribadi. Speed bag yang tergantung di situ seperti melambainya. Ditumbuknya speed bag itu dengan tangannya tanpa memakai glove beberapa kali. Tetapi bayangan mimpi itu tetap tidak hilang.

Arman berbaring di atas lantai vinyl ruang riadah itu berbantalkan sebuah kusyen kecil empat segi. Kedua lengan memeluk tubuhnya sendiri. Mata ditutup.

"Abang, kenapa tidur di sini?" Tiba-tiba kedengaran suara manja menegurnya.

Arman membuka mata. Wajah isterinya sangat dekat dengan mukanya. Kening lebatnya hampir bertaut kerana berkerut.

Dia duduk dan bersila di hadapan isterinya. "Abang mimpi."

"Mimpi apa?"

"Banyak kali abang mimpi yang sama."

Puspa mengesot dan merapatkan diri.

"Seorang lelaki memegang selaras pistol yang muncungnya ditujukan kepada abang. Kemudian dia menembak. Setiap kali dia menembak, abang terjaga."

"Abang kenal siapa?"

"Seperti abang kenal. Tetapi wajahnya berbeza."

"Siapa?"

"David Leong."

"Abang nampak dia David Leong?"

Geleng.

"Just a feeling ..."

Serta merta bulu roma Puspa berdiri. Seram. Teringat kembali serangan ganas Badar, rakan sekongkol David Leong. Dia rapatkan lagi badannya ke tubuh Arman. Niat tadi dia nak pujuk Arman. Tapi nampaknya dia yang ketakutan.

"Bukan dia dah mati?" soalnya.

Arman dapat menangkap perasan Puspa daripada gerakan kecil itu. Lantas tubuh isteri dipeluk erat. "Nanti abang bincang dengan Abang Hail, macam mana nak call Atok supaya jangan call kita kena pintas."

Badar dan David ahli kartel dadah. Mereka sangat licik dan punya banyak wajah. Sudah tentu mereka juga ada rangkaian teknologi yang membantu sehingga sukar dikesan penguatkuasa. Arman dan Puspa mengganggu sarang mereka secara tidak sengaja.

Setakat ini apa yang mereka diberitahu ...

Kartel dadah di luar negara mahu kenakan David yang mengugut untuk mendedahkan kegiatan mereka jika tidak diberi komisyen lebih tinggi.

*****

Badar diarah menyamar sebagai pemandu syarikat pengangkutan David. Tapi sebenarnya dia dihantar oleh bosnya di luar negara untuk mengutip David dan memusnahkannya. Caranya ialah dengan menyerahkannya kepada Penguatkuasa Anti Dadah Negara (PADAN) dalam keadaan dia sedang mengedar dadah. Tapi David ada pemberi maklumat dalam PADAN. Dia cari kambing hitam.

DUNIA KECILWhere stories live. Discover now