BAB 4: EKSOTIKA

73 9 1
                                    

KETURUNAN ATAULLAH

Kata-kata Adila sebelum masuk ke hutan semalam mengganggunya. Hampir membuatnya berjaga sepanjang malam. Selama ini dia hanya berkonflik dengan dirinya. Seorang environmentalist sepatutnya tidak merokok. Tidak mencari alasan untuk terus merokok. Kerana seorang environmentalist wajar tahu keburukan merokok. Tetapi dia dan Ezhar telah terjebak dalam perangkap rokok itu sejak di zaman persekolahan lagi.

"Kita marah kepada barat kerana diri kita dijajah. Tetapi setelah merdeka, kita biarkan jiwa kita terus dijajah," kata Adila.

Argh! Kenapa?! Kenapa?! Hatinya menjerit.

Pagi itu wajahnya mirip panda di tanah besar China. Matanya yang menang sepet itu kelihatan semakin sembab kerana tak cukup tidur. Dia pakai cermin mata hitam. Baru nampak segak. Dia ajak Raymond keluar menemaninya ke Kuala Kangsar. Raymond suka saja kalau diajak keluar. Lebih-lebih lagi ke Kuala Kangsar. Bolehlah dia main snooker. Dia sangat suka dan sangat bagus dalam permainan itu. Baginya main snooker itu macam menyumpit juga. Malah lebih mudah lagi.

"Kamu nak main snooker?" soal Zarif setibanya di Kuala Kangsar.

"Nak Tuan." Orang mengantuk disurungkan bantal.

Zarif beri Raymond sedikit wang. "Kamu pergi dulu. Nanti aku join."

Siapa sebenarnya Adila?

Sebenarnya dia ke Kuala Kangsar hanya kerana mahu mendapatkan Wifi yang tiada sambungannya di Pos Bukit Tunggal yang terpencil itu. Sebaik sahaja Raymond pergi, dia terus melayari internet melalui telefon bimbitnya.

Mula-mula dia cari nama Adila Fairuz.

Dia dapat beberapa hits dan imej.

Dia baca dari daftar kepakaran Biomedical Institute:

Dr Adila Fairuz Binti Mustafa Kamal Ataullah. PhD Biomedical Science. Age: 26

Kemudian dia baca dari sebuah portal online:

Dr Adila Fairuz ialah wanita Malaysia yang mendapat PhD pada usia 21 tahun. Beliau telah pergi ke Amerika Syarikat dalam usaha untuk mengembangkan pencapaian akademiknya yang cemerlang. Beliau dibawa pulang oleh Kerajaan untuk menjalankan penyelidikan dalam program perubatan holistik yang menggabungkan rawatan konvensional dan alternatif khusus untuk penagih dadah dan rokok.

Dalam kumpulan penyelidikan itu, semuanya profesor dari university terkenal negara, termasuk Adila. Rupanya Adila Fairuz anak Mustafa Kamal Ataullah, Pengarah International Ecology Defenders Association (Asia Pacific Region) atau lebih dikenali sebagai 'IEDA'.

Zarif tahu Mustafa amat dikenali dalam kalangan pejuang alam sekitar di seluruh dunia. Dia sendiri pernah bertemu Mustafa dalam satu forum alam sekitar dunia yang dihadirinya.

Terdapat beberapa gambar Adila dan Mustafa yang dikongsi di media sosial, Facebook milik Adila. Rakan-rakan Facebook Adila hampir semuanya profesor dalam bidang berkaitan perubatan. Hakikat itu sedikit menggugat keyakinannya.

Keyakinan tentang apa?

Keyakinan untuk mendekati Adila.

Kenapa harus menyusahkan diri mendekati Adila? Berpuluh lagi gadis di luar sana yang boleh didekati. Malah, di pejabat Exco pun ada. Mungkin tiada di pejabat Exco yang dia Pegawai Khas, tetapi ada di pejabat lain. Sebabnya, ada Exco yang sengaja cari perempuan cantik sahaja. Tapi bukan di pejabatnya.

Tahulah masa usianya dua puluhan, memang wajahnya 'jambu'. Kini sudah masuk tiga siri, takkan nak dikata jambu lagi. Itu sudah satu penghinaan. Sengaja dia buat mukanya ketat dan jarang senyum, sehingga akhirnya digelar 'Encik Beku' oleh gadis-gadis di pejabatnya. Gelaran itu selama ini menyelamatkannya daripada diburu mereka. Memang dia rimas apabila peminat-peminat drama Korea atau drama Taiwan di pejabatnya sering membanding-bandingkannya dengan Artis pujaan mereka. Dia tahu perkara ini kerana pembantu peribadinya yang pecahkan rahsia kenapa mereka sering berbisik-bisik apabila dia masuk ke pejabat.

DUNIA KECILWhere stories live. Discover now