Bab 4 : Cinta Nan Lalu

125 0 0
                                    


Sekeping gambar berukuran passport melayang jatuh sebaik saja buku nota kecil yang berada di atas meja Lya Hanna diselak. Berkerut dahinya. Gambar seorang gadis bertudung bulat dan labuh diperhati.... Teringat peristiwa itu.

Pasar malam Ahad. Dia sibuk menyusun sayur kangkung yang sudah siap diikat ke atas tikar mengkuang yang dihamparkan. Orang ramai mula ramai memenuhi jalan yang dijadikan tempat pasar malam setiap hujung minggu. Sayur kangkung nampak gemuk-gemuk dan segar. Hanya seringgit sahaja harga yang diletak untuk setiap ikat namun seperti tiada siapa yang berminat membelinya. Rata-rata pengunjung hanya melintas seolah tidak nampak tikar yang dihamparkannya. Sabarlah. Nak cari rezeki yang halal bukan mudah. Hati memujuk.

"Assalamualaikum, nak dua ikat." Satu suara lembut menyapa.

Dia panggung muka. Sejuk mata melihat yang menyapa. Manis bertudung labuh dengan senyum mekar berukir di bibir. Tak lokek.

"Wa...alaikumussalam. Sekejap ya." Gemuruh. Tidak pernah ada gadis yang manis, murah memberi senyuman kepadanya. Ini yang pertama.

Dua ikat sayur kangkung dibungkus dengan surat khabar kemudian dihulurkan kepada gadis manis yang menjadi pelanggannya yang pertama hari ini.

"Berapa ya?" Soal gadis itu.

"Dua ringgit." Jawabnya. Perlahan suara. Malu... pertama kali berbicara dengan gadis manis buatkan suaranya hampir tidak keluar terucap.

Dua keping not biru berubah tangan.

"Terima kasih. Segar-segar kangkung ni. Mesti arnab saya suka." Tanpa ditanya gadis manis itu ramah memberitahu.

"Sama-sama, kangkung segar sebab saya petik terus bawa jual ke pasar ni." Dia memberitahu tanpa dipinta.

"Oh... kamu tanam sendiri?" Soal gadis itu lagi macam ingin tahu.

"Ya, tanam dekat...."

"Oh plastik bobos, bobos plastik aku!"

Mati bicaranya tak sempat dihabiskan. Dia dan gadis manis itu mengalihkan pandangan ke arah datangnya suara. Seorang perempuan yang agak berusia melatah bila plastik yang berisi ikan mentah terkoyak. Habis terjatuh ikan-ikannya.

Gadis itu berlalu. Tak bersambung perbualan mereka nampaknya. Dia mengeluh hampa. Menghantar langkah gadis itu dengan pandangan mata. Gadis itu dilihat beredar ke gerai sebelah yang menjual ikan-ikan segar. Mungkin untuk membeli bekalan bahan mentah pula. Dia mengagak dan namun jangkaannya salah belaka. Gadis itu hanya meminta satu plastik kosong.

Selepas mendapat plastik yang diminta, gadis itu berlalu ke arah wanita separuh usia yang sedang terbongkok-bongkok mengutip ikannya yang bertaburan. Terus turut membantu, mengutip ikan dengan tangan kosong tanpa rasa jijik ataupun geli. Matanya terus terpaku, terasa itulah kali pertama sepanjang hidupnya hampir 19 tahun ini, hati terdetik mahu jatuh cinta. Jatuh cinta pandang pertama barangkali dengan sikap dan tingkah laku gadis itu.

Punyalah ramai pengunjung yang ada, hanya gadis itu satu-satunya yang sudi menghulurkan tangan membantu.

"Cik Hanna, cepatlah. Kita dah lambat ni. Nanti tuan lama menunggu." Seorang lelaki bersut kemas muncul memanggil gadis itu.

Oh Hanna namanya. Sedap.

"Ya." Gadis itu tergesa-gesa pergi. Gadis itu sempat berpaling melemparkan senyuman kepadanya sebelum berlalu dan menghilang di dalam celah orang ramai selepas selesai membantu wanita separuh usia tadi.

Tidur malamnya tidak pernah lena selepas itu. Setiap kali dia menutup mata, pasti wajah dan senyuman manis gadis itu mesti saja menerpa. Gadis yang manis bernama Hanna. Puas dia mencari gadis itu, berbulan-bulan dia mencari dan akhirnya pencariannya berakhir. Seseorang yang mirip sangat dengan gadis itu ditemui. Di sekolahnya. Mereka satu tingkatan bahkan berkongsi kelas namun... ada sesuatu yang memusykilkannya. Penampilan. Ya, penampilan gadis di sekolahnya sangat berbeza dengan yang ditemui di pasar malam dahulu.

Split personaliti. Dia mengandaikan. Macam dia pernah baca di dalam sebuah buku di perpustakaan. Masalah psikologi yang mana seseorang tu boleh menjadi beberapa watak yang berbeza di dalam waktu-waktu tertentu. Dia tahu, ada saja rakan perempuan di dalam kelasnya yang hanya bertudung di dalam sekolah tetapi di luar sebaliknya. Mungkin gadis itu juga sama, bertudung di luar sebab kehendak keluarga dan bukan kehendak sendiri. Mungkinlah... dia belajar membuat andaian. Mungkin gadis itu ada alasan tersendiri kenapa berubah seratus peratus. Dia pujuk dirinya supaya cuba menerima keadaan gadis itu seadanya bukan dari sebab penampilan. Mungkin dia boleh mengubah gadis itu andai mereka sudah ada apa-apa selepas ini. Itu yang buatkan dia nekad cuba menghulurkan salam perkenalan dan sayang, salam yang dihulur tidak disambut bahkan dia dicaci dan dihina.

Sebab hari itu hari terakhir bersekolah dan dia yakin itu juga hari terakhir dia berjumpa dengan gadis pujaannya, dia beranikan diri menyuarakan hasrat hatinya.

"Aku tak suka kau. Kau kotor, busuk dan tak handsome! Kulit hitam macam pokok kayu bakau." Lepas saja mulut gadis itu mengutuk.

Tebal mukanya dek penghinaan gadis itu yang dia ingat dengan jelas namanya adalah Hanna. Nama yang sama tapi kenapa karakternya berbeza sangat??

Sudahlah perasaan tak bersambut dan ditolak, kemudian dia dimalukan. Kisah dia dijaja satu kelas pula sehingga sakan dia dibadutkan. Itulah cinta pertama dan juga cinta terakhirnya selepas itu. Hati tertutup rapat selepas itu sehingga kini.

"Hai jauh sangat termenung, sudah ke manakah itu? Pusing habis matahari ke?" Terasa bahu dicuit lembut.

"Eh Kak Ju, dah habis bergayut dah?" Tadi selepas makan malam, Ku Julia terus menghilang ke dalam biliknya. Orang tengah angau bercinta begitulah gayanya.

"Tanya kita pula, kita tanya dia." Ku Julia menempelak bila soalannya tidak dijawab oleh Amal.

"Alah soalan kak Ju tu tak logik langsung. Tak payah jawab pun tak apa." Malas dia menjawab soalan Ku Julia itu. Soalan tak munasabah.

"Eh-eh janji ada soalan, itu tetap dikira logik tau. So what up? Termenung sana termenung sini kenapa?" Sehari dua ni dia perhati Amal banyak diam. Tidak macam di awal kepulangan hari itu. Rancak becok bercerita. Kenapa dengan pemuda itu? Ada masalahkah? Amal memang perahsia dalam soal kehidupan peribadi. Dia anggap pemuda itu seperti adik kandungnya sendiri walaupun mereka berlainan emak dan bapa.

"Mana adalah Amal termenung sana, termenung sini." Amal menyanggah laju. Suka hati dia saja nak cakap macam tu.

"Eleh... ingat Kak Ju tak nampak? Tadi petang termenung dekat sofa di ruang tamu tu, Kak Ju tegur pun awak buat tak tahu saja. Lepas tu malam ni sambung termenung pula di balkoni. Eh Amal tau tak dah berapa lama Kak Ju perhatikan Amal?"

"Berapa lama?" Soalnya acuh tak acuh.

"Dekat 10 minit tau dan Amal langsung tak perasan pun akan Kak Ju ni."

"Ok kalau sebab pasal Amal tak perasan, tu I am sorry okay?" Memang dia tidak perasan, bukan dia sengaja buat tak tahu dengan Ku Julia.

Mungkin ada kisah yang buatkan si dia itu berubah. Bebelan Ku Julia seolah di angin lalu. Amal kembali mengelamun.

Ku Julia terasa penat membebel akhirnya berlalu. Meninggalka Amal sendirian, putus asa untuk membazirkan air liur. Tidur lagi baik.

Dendam Cinta SemalamWhere stories live. Discover now