Bab 2

27 0 0
                                    

Will You Marry Me:

Bab 2

Titisan-titisan air hujan yang turun membasahi bumi bagaikan mengerti gelora perasaannya. Dia meletakkan dahinya ke tingkap kaca. Mata terus memerhati titisan hujan yang menerpa tingkap kaca.

Tok! Tok! Tok! Kedengaran pintu diketuk orang. Selang sesaat, pintu dikuak dari luar. Terpacul wajah mama. Tiara memandang kosong muka mama sebelum kembali kalih menatap tingkap kaca yang basah ditimpa hujan.

Hati Mama Mia mula rasa tidak sedap. Melihat wajah mendung si anak dara menyebabkan dadanya mula dihimpit sesuatu. Bimbang mula menguasai diri. Dia menapak ke arah Tiara.

"Ti, jom makan. Mama dah masak makanan kegemaran Ti. Kari ketam." Dia bersuara lembut, memujuk si anak gadis yang jelas merajuk. Dari tengah hari sampai ke malam, tak keluar bilik. Diajak makan katanya tak lapar. Sekarang, dah lepas waktu maghrib. Takkan tak lapar lagi?

"Ti tak lapar mama. Mama makanlah dulu dengan papa." Ujar Tiara lemah. Dia memang hilang selera makan. Sejak si dia yang pernah mengucar-kacirkan hidupnya tiba-tiba muncul tanpa dipinta.

Keluhan kecil berlari keluar dari celah gigi Mama Mia. Dipaut lengan Tiara erat-erat. "Mama tak selera nak makan kalau Ti takde." Dia buat ayat sedih. Muka monyok seperti ayam berak kapur.

Kini giliran Tiara pula yang menghembus nafas resah. Dia tahu mama berpura-pura sedih. Dia kenal benar perangai mama. Mana pernah mama tak ada selera. Dari sejak azali, dari dia kecil sehingga dia dewasa, mama itu suka makan apa saja. Tolak kayu dengan batu saja. Tak cerewet langsung bab makanan. Sebab tu badan mama terus membesar dengan sihat dan kuat.

"Jomlah. Temankan mama dengan papa. Lagipun papa ada good news nak beritahu kau Ti." Pujuk mama lagi. Dia tarik-tarik lengan Tiara.

Si Tiara yang kurus melidi rasa sedikit goyah. Kena tarik dengan tangan mama. Dalam terpaksa, dia mengheret kaki menurut langkah mama.

Si Mama Mia berlenggang turun dengan senang hati. Rasanya rancangannya akan berjaya.

Dia mendudukkan Tiara di bangku di sebelah suaminya, Che' Ahmad. Sempat lagi dia angkat kening hantar pandangan rahsia kepada suaminya. Che' Ahmad angguk-angguk tanda faham isyarat yang di hantar Mama Mia.

"Ehem. Ehem. How are you, Silly Bunny?" Tegur Che' Ahmad lembut. Panggilan manja Tiara iaitu Silly Bunny meluncur laju keluar dari mulutnya.

"Ti okay papa. Please don't call me Silly Bunny lagi, boleh?" Usul Tiara sedikit geram. Papa bukannya tak tahu dia memang pantang kalau papa sebut panggilan manja seperti itu. Sudah pasti papa ada sesuatu yang ingin dipinta. Sesuatu yang serius semestinya.

"Haha. Anak papa ni. Berangin moody satu badan. Datang bulan ke?" Usik Che' Ahmad nakal. Terus kena tampar dengan Mama Mia.

"Hish Che' Abe ni. Ore suruh buat lain. Dio gi buat bendo lain!" Geram sungguh Mama Mia dengan perangai Che' Ahmad sehingga keluar loghat Kelantannya.

"Hahaha." Che' Ahmad bantai gelak besar. Kelakar tengok muka isteri kesayangan yang masam mencuka.

"Ti, sebelum mama kamu membebel dalam loghat Kelantan dia tu, baik Ti makan. Kalau tak bernanah telinga kamu Ti." Bisik Che' Ahmad agak kuat ke telinga Tiara sehingga dapat didengari oleh isterinya.

Segera tangan Mama Mia naik mencubit peha suaminya agak kuat sambil mulutnya herot ke kiri tanda geram. "Sebelum Che' Abe makan ketam ni, nah baik makan ketam Mama Mia dulu."

Che' Ahmad mengaduh-ngaduh kesakitan.

Si anak gadis yang memerhati rasa sedikit terhibur dengan keletah mama dan papa. Papa memang selalu begitu. Menyakat mama yang akan bercakap dalam loghat kelahirannya jika sedang marah. Biarpun papa kurang memahami percakapan mama yang bercakap loghat pekat itu, namun papa tak pernah serik. Selalu sangat mengusik mama.

"Sakit sayang. Sampai hati sayang buat abang macam ni..." suara Che' Ahmad mula mendayu-dayu memohon simpati si isteri yang bertukar garang. Baru Mama Mia lepaskan cubitannya.

"Jomlah makan, papa, mama." Tiara cuba tukar topik. Tangannya mencapai senduk nasi. Disenduk ke dalam pinggan papa dan mama.

"Kau tak makan ke Ti?" Soal Mama Mia dengan suara gundah. Anak tunggal kesayangan dilanda kemurungan lagi ke?

"Ti dietlah mama. Ti makan pisang je la." Dia bangun dari kerusi. Mengambil pisang yang terletak di atas meja. Dengan selamba, dia mengunyah pisang seperti dia sedang kelaparan. Sedangkan sebenarnya, dia rasa cukup loya. Ingin muntah. Tak dapat ditelan. Lama dia mengunyah.

Che' Ahmad dan Mama Mia memandang si gadis dengan rasa kasihan. Mereka tahu anak gadis kesayangan sedang berpura-pura. Akhirnya mereka menjamah selera sambil berbual-bual kosong.

Usai makan malam, Tiara mula mengorak langkah ingin naik ke biliknya.

"Ti, papa nak sembang sikit dengan Ti ni..." ujar papa meleret-leret.

Si gadis mengerutkan dahi. Menarik nafas panjang sebelum berpusing badan. Terpaksa mengikut kehendak papa. Dia duduk di sofa bertentangan dengan papa.

Mama Mia duduk di samping Che' Ahmad di sofa panjang. Hati berdebar-debar. Tak sabar menunggu reaksi Tiara nanti. Dia ingin bertepuk tangan gembira. Apa yang ditunggu diidam-idam akhirnya tiba. Bagaikan bulan jatuh ke riba.

"Ti, tadi kamu ada jumpa tunang kamu?" Sebaris ayat yang keluar dari mulut Che' Ahmad itu hampir membuatkan Mama Mia bertempik kuat. Tak berlapik langsung. Terus ditampar paha si suami. Sekali lagi terjerit kuat Che' Ahmad.

"Abang!!" Mama Mia memberi amaran melalui celah gigi dan cerlungan tajam menyinga. Si suami terkulat-kulat kena tegur.

Sementara itu, Tiara rasa dia salah dengar. Jadi dia tidak memberi sebarang reaksi. Lagipun dia mana ada tunang. Setakat En. Fuad, si duda anak dua yang tergila-gilakan dirinya itu, dia rasa En. Fuad tak akan bertindak gila.

"Ti ada jumpa tak tunang Ti?" Walaupun sudah ditegur Mama Mia, tapi Che' Ahmad sekali lagi mengulang ayat yang sama.

Cuma kali ini, telinga Tiara tak salah dengar. Papa sebut pasal tunang? Tunang mana pulak ni? Tiba-tiba kolam air liur di mulut mula mengering. Takkanlah En. Fuad datang meminang dirinya dan papa telah menerima pinangan itu? Dia memaksa diri menelan air liur yang kering kontang. Biar betul?!

"Tunang? Tunang apa pulak ni pa?" Dalam percaya dengan tidak, si Tiara bersuara pelik.

Che Ahmad tarik senyuman lebar. Dia hembus nafas keluar. Apalah agenda budak dua orang ni. Dia pun pening kepala.

"Tadi tunang Ti datang rumah. Nak bercakap dengan Ti." Sambung Che Ahmad dengan nada ceria. Mama Mia turut melarik senyuman gembira. Anak dara yang dicanang orang luar sebagai anak dara tak laku akhirnya akan berumah tangga.

"Papa... jangan main-main boleh tak? Tunang apa pulak ni?" Sumpah, Tiara tak faham maksud kata-kata papa.

"Ni, cincin tunang Ti. Dia kasi. Dia terima pinangan kita..." Che Ahmad menarik keluar sebentuk cincin belah rotan yang disimpan dalam poket baju melayunya. Diletak di atas meja bulat di depan Tiara.

Terkebil-kebil si gadis memandang sebentuk cincin emas yang berkilauan dipanah cahaya lampu chandelier. Siapakah dia yang dimaksudkan papa? Dia kalih pandang dari cincin belah rotan ke arah muka papa dan berganti dengan muka mama.

"Dia dah terima pinangan kita Ti!" Sorak Mama Mia benar-benar teruja. Dia menepuk-nepuk tangan tanda gembira. Che Ahmad hanya tersengih menampakkan gigi.

"Tak sia-sia Ti tunggu dia." Tambah Mama Mia lagi.

Tapi, pandangan Tiara kosong tiada riak. Krik. Krik. Krik.

Mama Mia berhenti bertepuk. Che Ahmad berkisar tempat duduk. Dua pasang mata merenung tepat muka Tiara. Menanti jawapan.

Jawapan yang tidak dimiliki oleh Tiara. Sesungguhnya, dia tidak rasa teruja. Berita yang baru didengarinya itu bukanlah berita gembira buatnya. Jawapan si dia itu sudah terlewat 2,705 hari 10 jam 23 saat.

"Papa pulangkan balik cincin ni kat dia." Tiara nekad. Dia tidak akan menyesal. Segala-galanya telah musnah. Angan-angannya untuk menjadi isteri si dia telahpun hancur lebur dimamah waktu yang memisahkan mereka berdua.

Halkum Che Ahmad bergerak-gerak. Mulut Mama Mia melopong. Tidak percaya dengan jawapan si anak dara.

"Kenapa pulak, Ti? Ni kan apa yang Ti nak?" Soal Che Ahmad sedikit resah. Direnung penuh bimbang dengan sikap Tiara sekarang. Sukar untuk diduga.

"Dah terlambat pa." Kendur saja jawapan Tiara. Tanda kecewa. Tanda dia tidak gembira dengan keputusan si dia.

"Dah terlambat apanya Ti? Ni yang Ti nak kan?" Tekan Mama Mia, dengan kerutan di dahi.

Tiara menggeleng lemah. Wajahnya muram. Sinar matanya berkaca-kaca. "Dah terlambat, mama...semuanya dah terlambat..."

"Apa yang dah terlambatnya Ti? Patutnya kau kena bersyukur, dia akhirnya nak nikah dengan kau. Puas mama dengan papa merayu supaya dia balik sini. Jumpa kau Ti!" Dada Mama Mia turun naik geram. Usaha yang dibuat selama ini dipandang enteng oleh anak kesayangannya. Dia rasa amat marah. Dia bingkas bangun. Rasa seperti mahu terkam si Tiara. Sejak bila anaknya ini jadi pengecut?

Che Ahmad menghela nafas berat. Dia mengacip rahang rapat.

"Ti. Papa dah buat keputusan. Majlis nikah Ti bulan depan. Semua papa dengan mama dah atur. Kad pun dah edar." Sebagai ketua keluarga, dia perlu bertegas. Sia-sia saja dia jadi Pengarah Syarikat kalau gagal memimpin keluarganya. Jadi Che Ahmad guna kuasa vetonya.

Ternganga mulut Tiara. Langsung tidak menjangka keputusan drastik papa. Apa yang telah merasuk mama dan papa?

 Apa yang telah merasuk mama dan papa?

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

Berminat? Komen NAK😍

Will You Marry Me?Where stories live. Discover now