Bab 1

7.2K 611 529
                                    

RYZEN melepaskan keluhan berat. Berat seberatnya masalah yang diletakkan di atas pundaknya. Aduh, kenapa mesti dia yang perlu hadap semua ini? Dia tak rela, tolonglah tuan!

"Cikgu, kenapa cikgu bergayut di atas pokok tu? Cikgu nak kawan dengan monyet ke?" Kedengaran suara bertanya daripada seorang kanak-kanak.

Ryzen mencelikkan matanya lalu memandang ke bawah. Posisinya yang tergantung di pokok seperti kelawar tidur memang mengundang tawa daripada beberapa orang kanak-kanak yang lalu-lalang di situ.

"Ya, cikgu nak kawan dengan mereka. Itu, cimpanzi pun ada," jawab Ryzen, sarkastik.

"Hahahaha!" Beberapa orang kanak-kanak tersebut berjemaah mentertawakannya.

Melihat itu, Ryzen menarik nafas panjang. Suka hati merekalah, dia sudah tak kisah. Apa yang dia kisahkan sekarang ialah, apa yang dia perlu buat untuk halang ibu bapa anak-anak muridnya daripada terus terjerumus ke dalam kancah dadah durjana.

Stres dia memikirkannya. Semakin dinasihati semakin bebal fikiran mereka. Nasib baik saja mereka semua masih menghormatinya sebagai guru. Jika tidak, dengan dia sekali mereka balun.

"Cikgu tak sakit ke bergayut lama-lama atas pokok? Alah cikgu tolonglah turun..." Seorang kanak-kanak perempuan bergigi rongak pula menyuruhnya turun.

"Siti, mak kau dah panggil tu. Pergilah balik." Ryzen mengelak. Apa kesnya budak-budak ini cari dia sampai ke atas pokok?

"Siti!" Dari kejauhan, suara soprano diva kampung singgah ke gegendang telinga mereka semua.

Itu dia, kan dia dah cakap? Sudahnya, terkedek-kedek Siti berlari balik ke rumah. Comel saja lagak budak kecil berbaju kurung berkain senteng tersebut berlari pulang.

'Mesti takut kena piat telinga dengan Mak Leha kan? Balik sajalah Siti, cikgu tak nak tengok kau hilang sebelah cuping telinga nanti,' desis hati Ryzen.

"Cikgu, kami pun nak balik dulu." Beramai-ramai, budak-budak tersebut melambai kepada Ryzen sambil tersengih-sengih.

Bye, selamat malam budak. Aman sikit dunianya apabila mereka semua balik ke rumah. Biarkan sajalah dia bermuram durja di atas pokok ini, jangan kisahkan dia. Dia sudah berasa macam mahu mati. Penat sangat nak hadap semua masalah ini. Dia...

"Masya-Allah ya Rabbi ya Kareem ya Razzaq ya Fattah ya 'Alim. Lailahaillallah Muhammadur Rasulullah. Cikgu Harraz Zayne, cikgu buat apa atas pokok tu?" Mengucap panjang Pak Lebai Leman melihat "kelawar" besar tergantung di dahan pokok.

"Mengenang nasib diri, pak lebai," jawab Ryzen lemah.

"Kamu ni kan, ya Rabbi, cubalah bawa bertendang. Eh, bertenang. Apa yang kamu takutkan sangat terpaksa berpindah mengajar di sekolah menengah sebelah tu aje?" soal Pak Lebai Leman sambil menggeleng.

Mendengar bebelan tersebut, Ryzen membongkokkan badannya lalu mencapai dahan pokok. Lantas, kakinya diturunkan dan dalam posisi tangan di dahan, Ryzen melepaskan pegangannya. Dia mendarat dengan selamat di atas tanah. Habuk dahan pokok yang terlekat di telapak tangan ditepuk-tepuk kasar lalu dengan sopan, dia menyalami tangan Pak Lebai Leman.

"Maaf, pak lebai. Saya terlalu ikut perasaan," ujarnya sambil tersengih-sengih.

Ya, betullah. Bukannya dia terpaksa berpindah mengajar ke sekolah luar kampung itu pun, cuma kena berpindah ke sekolah menengah yang terletak bersebelahan dengan sekolah rendah di tempatnya mengajar sekarang. Itu pun nak kecoh ke, Ryzen?

"Aish kamu ni cikgu, ada-ada ajelah. Dah, jom kita ke surau. Kejap lagi masuk waktu maghrib." Pak Lebai Leman menepuk-nepuk perlahan belakang badan Ryzen.

CODE NAME: RYZEN [TERBIT NOVEL FIZIKAL]Where stories live. Discover now