"LAMBAT kau balik. Mana kau pergi tadi?"
Tatkala soalan itu menujah koklea telinga Mawar, dia tidak mampu menjawab soalan itu seperti biasa lagi. Kejadian yang baru sahaja berlaku sebentar tadi sungguh membuatkan semangatnya bagai direnggut pergi.
"Eh kau pekak ke?"
Langkah kaki Mawar terhenti tatkala pergelangan tangannya sudah pun dicengkam kuat oleh Jasmin. Mahu tak mahu, Mawar memanggungkan kepala jua menghadap wajah kakaknya itu.
"Kenapa along? Kau nak aku suruh buat apa-apa ke?" soal Mawar lemah.
"Hah tahu pun nak menyahut. Bak sini duit sikit. Aku nak beli susu dan lampin Zafran. Habis dah," pinta Jasmin tanpa sekelumit pun riak wajah bersalah mahupun segan.
Mawar melepas keluh. Sudahlah pada ketika ini dia mahu cepat masuk ke kamar untuk meredakan kesedihan, tetapi ditahan pula oleh kakaknya di juring pintu rumah. Melihat wajah Jasmin yang masih tidak lepas memanah wajahnya, tahulah dia bahawa kali ini memang kakaknya itu benar-benar mahukan duitnya.
"Tapi along, demi Allah aku tak ada duit dah. Duit simpanan aku pun dah habis kau ambil hari tu. Dalam bank aku pun tinggal beringgit-ringgit je."
"Kau tipu aku kan? Bagi sini beg kau!"
Tangan Jasmin sudah pun naik pada tali beg yang tersangkut pada bahu Mawar. Namun ulahnya tidak berhasil apabila tangan halus Mawar sudah pun menahan kuat di situ.
"Jangan, along. Betul along aku dah tak ada duit."
"Kau tipu aku! Aku tahu kau memang tak suka aku bagi pinjam duit kau. Lepaslah bagi aku tengok beg kau ni!" teriak Jasmin. Dalam masa yang sama, dia sudah pun menarik-menarik kuat tali beg itu.
"Aku kata aku tak ada duit, tak ada duitlah!" jerit Mawar apabila rasa perit mula mencengkam bahunya apabila tali beg tersebut sudah menjerut di situ. Dengan seluruh kudrat yang ada, dia sudah pun merentap kuat tali beg tersebut dari pegangan Jasmin.
"Arghhhhh!!!" Jasmin mengaduh kuat apabila dia sudah pun jatuh terduduk di atas lantai rumah. Disebabkan itu, punggungnya sudah pun terhentak kuat di situ.
Melihat itu, hati Mawar mula dihimpit rasa bersalah. Langkah kaki mula diatur mendekati kakaknya untuk membantu.
"Tak payahlah nak tunjuk baik sangatlah sial! Kau memang adik tak guna! Aku ni kakak kau, kau tahu tak huh? Selama ni, aku jaga kau waktu kecil, kau tak sedar semua tu. Ini aku baru minta sikit duit kau, kau sanggup tolak kakak kau sendiri? Adik jenis apa kau ni? Kalaulah aku tahu yang kau ni bawa sial, aku dah lama dahlah gugurkan kau masa dalam perut mak lagi! Dasar anak tak sedar diri!" hambur Jasmin dengan amarah menggoncang dada.
"A... along... a... ku minta maaf. Aku tak sengaja."
"Pergilah kau sana!" Tatkala Jasmin sudah bangkit dari jatuh, automatik tangannya sudah pun menolak kuat tubuh genit Mawar yang mahu mendekat.
Buk!
Akibat tolakan Jasmin secara tiba-tiba itu, Mawar tidak mampu menstabilkan tubuh dan kini kepalanya sudah pun terhentak pada meja yang terdapat di ruang tamu. Kepalanya mula berpinar dan pandangannya mula menjadi kabur. Dalam masa yang sama, Mawar berasakan cairan hangat sudah pun menuruni dahinya. Dengan tangan terketar-ketar, dia sudah pun membawa tangannya ke pelipis.
Apabila melihat tangan mulusnya itu mula dibasahi darah, jantung Mawar hampir mahu gugur. Rasa pening yang menjalar pada kepala dibiarkan buat seketika. Kaki ditegakkan dengan sekuat kudrat yang tersisa. Hati tak usah dipersoalkan. Hancur lebur apabila mengenangkan tindakan kakaknya sendiri yang memaki hamun serta sanggup mencederakan dirinya disebabkan wang semata-mata.
'Ya Allah Ya Tuhanku, adakah aku ini tidak layak menggapai bahagia? Mengapa kakakku sendiri membuatku begini Ya Allah? Adakah kelahiranku ini satu kesilapan di dunia ini?' soal Mawar sayu di celahan sukma. Wajah Jasmin yang sudah tersenyum sinis tidak jauh daripadanya itu ditenung dengan mata yang berpasir.
Jasmin sudah pun berdiri tegak. Apabila anak matanya sudah pun jatuh pada beg tangan Mawar yang terdampar di atas lantai itu, laju sahaja dia meluru lalu zip beg itu ditarik laju lalu beg tersebut diterbalikkkan. Habis seluruh barangan milik Mawar jatuh berdesup ke lantai.
"Aku dah cakap, jangan lawan aku. Sampai mati pun, kau takkan dapat lawan aku, Mawar. Aku akan selamanya akan berada di atas kau. Mak pun bukan sayangkan kau pun. Dia sayangkan aku je. Sedar sikit diri tu!" ucap Jasmin seraya menggarit senyum jahat. Apabila dompet merah jambu kepunyaan Mawar menyapa anak matanya, laju sahaja tangannya mencapai beg tersebut lalu kesemua not wang ringgit milik Mawar diambilnya tanpa sedikit pun rasa bersalah.
"Huh, aku dah agak dah! Kau memang ada duit. Tapi, kau kedekut! Orang kedekut, takkan ke manalah. Lain kali, ajar sikit diri tu macam mana untuk berkongsi!" Sejurus menghabiskan kata-katanya, beg yang telah kosong isinya itu telah pun dibaling tepat-tepat mengena wajah Mawar yang sudah tertunduk menekur lantai itu. Tanpa sempat tangan Mawar menyambut, beg duit tersebut sudah pun jatuh terkulai layu pada ribanya yang elok terduduk di atas lantai itu.
"Aku sedar aku siapa, along. Disebabkan kau kakak aku, aku tak pernah melawan pada kau. Walaupun mak tak sayangkan aku, aku tetap anak dia. Darah daging dia, kau kena ingat tu." Mawar menjawab dengan nada separuh menggumam. Darah pada kepalanya yang menitis ke lantai dibiarkan mengalir begitu sahaja tanpa ditekap. Anak matanya sudah pun selamat menentang wajah Jasmin.
"Owh, dah pandai menjawab eh sekarang." Ulah Jasmin yang sudah mahu mengangkat kaki meninggalkan Mawar terhenti apabila kata-kata Mawar menampan pendengarannya. Seketika, dia memusing tubuh lalu mendekati Mawar yang masih terduduk di situ.
"Kau..." Kedua belah tangan Jasmin sudah selamat mencengkam kedua belah pipi Mawar. "Sebenarnya aku tak sanggup nak cakap benda ni depan kau, tapi disebabkan kau dah terlalu 'beradab' dengan aku, so dengarlah baik-baik apa aku nak cakap ni ya."
Anak mata Mawar masih setia memanah wajah Jasmin. Darah yang sudah sebahagian kering pada wajah dibiarkan begitu sahaja.
"Kau tu sebenarnya, anak luar nikah! Mak mengandungkan kau waktu abah kerja jauh kau tahu tak? Mak sebenarnya pun tak tahu yang aku tahu benda ni. Aku sendiri nampak dia usung jantan lain tidur dekat rumah ni. Mak ingat aku ni budak kecik tak tahu apa masa tu, tapi dia silap. Tapi untuk kebaikan kau, itu aku jujur ni. Jadi, kau kena sedar yang kau bukan sesiapa dalam rumah ni. Kau cuma anak luar nikah je, Mawar. Kesian kau... Entah jantan manalah jadi bapak kau tu kan?" Jasmin sudah mensebikkan wajah. Berpura-pura bersimpati untuk menjiwai penceritaannya.
Hati Mawar terhentak kuat dengan kenyataan yang terpacul dari mulut Jasmin. Dia sudah pun mengeleng-gelengkan kepala. Tanda tidak bersetuju dengan kata-kata itu.
"Tak, aku yakin aku anak betul mak dan abah. Kalau tak, kenapa surat beranak aku berbin kan abah?" soal Mawar berani.
"Mawar, Mawar. Kau ni, memang bodoh kan? Memang patut pun kau diperbodohkan oleh mak dan abah. Sekarang ni Mawar, semua duit je. Tak ada duit, tak hiduplah kau." Jasmin melepas tawa kuat. Sejurus itu, dia sudah pun menepuk lembut pipi Mawar seraya tersenyum penuh sinis.

VOUS LISEZ
QAED (OG)
Roman d'amourTUAN QAED IBRAHIM | MAWAR NARESSA Jika mentari itu menghangatkan, titisan hujan itu pasti mendinginkan. Seperti itulah kehidupan. Bukan bahagia semata-mata yang datang menerpa. Keperitan itu, mengajar diri supaya tenang dan kekal kuat. Sampai bila...