BAB 16 : Gerimis Berdarah

1.1K 109 6
                                    

PANG!

"Apa kau dah buat pada kakak kau hah? Jasmin kata, kau sengaja tolak dia sebab dia nak pinjam duit dari kau, tapi kau tak nak bagi. Hei, kau ingat bini aku kemaruk sangat ke nak duit kau tak berapa ada tu?"

Mawar yang sewaktu itu baru sahaja mahu menghidupkan kereta Saga lama milik bapanya di kawasan garaj diterjah rasa terkejut maha hebat apabila tiba-tiba sahaja abang iparnya menariknya keluar dari perut kereta. Tidak cukup itu, tanpa sebab yang tidak dia ketahui, sebuah penampar sulung sudah selamat dihadiahkan pada pipi mulusnya.

Sudahlah dia mahu segera ke hospital untuk memeriksa kepalanya yang masih tidak berhenti berdarah itu. Sekali lagi, kesakitan yang menjalar segenap kepala semakin kuat mencengkam di situ.

"Mawar tak sengaja, Abang Azhar. Sumpah, Mawar tak ada niat nak tolak along." Bela Mawar sepenuh hati.

"Kau!"

Buk!

"Kau jangan harap aku akan izinkan kau naik kereta ni. Kau pergi cari teksi," arah Azhar lalu dia sudah pun memboloskan diri ke dalam perut kereta. Enjin Saga lama itu dihidupkan.

"Tapi bang, kepala Mawar..."

"Pergi mampuslah dengan sakit kau tu! Aku ada urusan lagi penting dari sakit kau tu. Dah blah!"

Belum sempat tangan Mawar menahan pintu kereta itu, tubuhnya terdorong ke belakang apabila abang iparnya sudah pun menarik kasar pintu kereta lalu menekan pedal minyak dengan kuat. Bunyi enjin kereta menderum laju meninggalkan perkarangan rumah.

"Allah..." Dalam kesakitan, kalimah Allah meniti halus di birai bibir Mawar. Penuh perlahan, dia cuba mendirikan tubuhnya meskipun seluruh sendi tubuhnya meligih halus menahan kesakitan.

"Tok wan... kalau tok wan ada mesti Mawar tak kena layan macam ni kan?" soal Mawar separuh menggumam. Seketika, dia sudah pun membawa tangan mulusnya ke mulut lalu ditekup rapat. Tubuhnya terhinggut-hinggut menahan esakan yang menyentak pangkal jantung.

Bunyi guruh dan gerimisnya hujan membuatkan kepalanya terngadah pada langit kelam. Sedar tak sedar, waktu maghrib sudah lama menjelang meninggalkan dirinya. Apabila memikirkan dia masih belum mengerjakan solat, rasa serba-salah mula mengetuk halus pintu hati. Namun, oleh kerana luka pada kepalanya itu masih belum dirawat, dia terpaksa mengagahkan diri ke hospital pada saat ini.

Mahu mengambil teksi, dia tahu pada ketika ini tiada lagi perkhidmatan teksi di kampungnya pada jam sebegini. Mahu menelefon kawan meminta tolong, Mawar tahu dia tiada kawan selain Syahrin. Apabila memikirkan lelaki itu, automatik kesedihan Mawar menjadi berganda-ganda.

Mahu tak mahu, Mawar membawa langkah ke arah jalan yang sudah disinari cahaya lampu jalan itu. Doanya dia dapat menguatkan diri untuk berjalan kaki ke hospital mahupun klinik berdekatan untuk merawat lukanya.







TITISAN hujan tidak jemu-jemu membasahi bumi. Tidak kurang juga panahan kilat dan petir sabung menyabung. Daunan pohon-pohon besar di tepi jalan gelap itu bergoncang hebat bagaikan mahu terpisah dari cengkaman tanah.

Di dalam kepekatan malam, figura berbaju kurung cotton berbunga halus itu meligih hebat di bawah langit kelam yang memuntahkan laharnya. Langkah kaki diseret membelah jalan kampung yang sunyi itu. Berbekalkan lampu jalan yang berada selang beberapa meter setiapnya, anak mata ligat mencari jalan untuk ke klinik yang terletak di pekan.

Berhenti seketika untuk menjujut nafas, fitur itu mula melabuhkan punggung pada penghadang besi di sisi jalan. Anak mata dicelikkan sehabis baik walaupun titisan hujan yang lebat menerjah tajam pada raut wajah putih kemerahannya.

QAED (OG)Tempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang