BAB 3 : Ikan Salmon Untuk Emak

1.1K 140 25
                                    

'Kalau kau mawar, izinkan aku jadi durinya.'

"MAWAR!!!" laung Mak Biha dari dapur. Dia sudah pun bercekak pinggang sambil menantikan anak perempuannya itu muncul.

"Ya mak," sahut Mawar laju. Dengan keadaan bertelekung, emaknya itu dihampiri segera.

"Kau kenapa bertelekung siang hari ni? Ajaran mana kau ikut orang solat Subuh bila matahari dah tegak atas kepala ni?" Dari atas hingga ke bawah Mak Biha menelek figura yang dibaluti dengan kain telekung serba putih itu.

"Mawar solat sunat dhuha, mak. Supaya dimurahkan rezeki kita dan dipermudahkan segala urusan."

"Hurm yelah! Ni aku nak makan tengah hari, aku nak kau masak." Mak Biha sudah pun berura-ura untuk mengangkat kaki ke hadapan rumah.

"Tapi mak, lauk tak ada ni. Mawar nak masak apa?" Penuh berhati-hati Mawar menyoal. Takut soalan itu mengguris hati emaknya.

"Aku nak makan ikan besar hari ni. Salmon yang ada dalam tv tu. Aku tak kira, aku nak juga makan ikan tu!" Bentak Mak Biha.

"Tapi macam mana Mawar nak dapatkan mak. Mawar tak ada duit..."

"Ah tipulah kau! Aku tahu kau banyak duit, kalau tak mana Jasmin dapat duit banyak-banyak macam tu dalam bilik kau." Sembur Mak Biha laju. Matanya mula ditajamkan ke arah anak bongsunya. Sungguh dia tidak menyangka bahawa anak bongsunya itu menyimpan duit dengan banyak secara senyap-senyap selama ini.

'Along ambil duit simpanan Mawar, mak'

'Along pecahkan kotak besi arwah tok wan bagi, mak'

'Along selalu ugut Mawar, mak'

Andailah dia mampu luahkan segala itu kepada emak kandungnya itu, tentulah dia akan menjadi anak yang terbahagia di atas muka bumi ini. Malangnya, Jasmin merupakan anak emas emaknya. Jadi, kudrat apa yang Mawar ada untuk melawan kakak sulungnya itu. Bukan dia tidak pernah melawan kakaknya, namun yang diterima jerkahan dan tamparan padu daripada Mak Biha sendiri.

Kadangkala Mawar terfikir, adakah dia ini anak yang dikutip oleh emaknya di tepi jalan atau mana-mana rumah anak yatim. Ataupun dia ini anak luar nikah?

Astaghfirullah Mawar, ingat Allah. Ingat Allah... Mawar kembali menenangkan hatinya. Cuba menyangkal bisikan-bisikan mazmumah yang berbisik ke celah lipatan sukma.

Apabila melihat Mak Biha tidak mahu berganjak dengan keputusannya untuk makan ikan salmon itu, Mawar sudah terfikir untuk meminta tolong seseorang. Seseorang yang ada di saat dia susah dan senang.











"KENAPA kau datang macam pencuri dekat belakang rumah aku ni, Mawar?" soal Syahrin. Dia sudah pun tersenyum melihat gelagat jirannya itu.

"Syah, aku bukan apa. Aku segan dengan mak ayah kau. Tu aku datang cara macam ni," bisik Mawar perlahan. Dalam masa yang sama, matanya sudah dilinggaskan ke kiri dan ke kanan. Berjaga-jaga. Dikhuatiri jika ada sesiapa yang ternampak kelibatnya di sini.

"Kau bukan orang luar, Mawar. Mak ayah aku dah anggap kau macam anak mereka dah. Kau je segan tak nak mengaku," usik Syahrin. Kedua belah tangannya sudah selamat menyeluk poket. Memerhati wajah rakan sepermainannya itu.

Mawar hanya mampu menayang senyum kelat. Walaupun dia dan Syahril sudah kenal lama, dia tetap perlu menjaga maruahnya sebagai seorang ustazah di kampung ini. Silap hari bulan, habis dicanang namanya seluruh pelosok kampung.

Namun pada kali ini, dia terpaksa. Sebab itulah dia menebalkan wajah untuk meminjamkan duit dengan jirannya itu. Disebabkan Syahrin sekarang bekerja di sebuah syarikat kewangan di pusat bandar, bab untuk meminjamkan duit kepadanya pasti sudah tidak menjadi masalah. Lagi pun jika sebelum ini dia mempunyai masalah kewangan, lelaki itu akan menghulurkan bantuan tanpa dipinta.

QAED (OG)Where stories live. Discover now