Sejak tadi, kebisuan selesa mengisi antara ruang Mawar dan Qaed. Sebaik sahaja selesai upacara akad nikah, mereka berdua terus sahaja bergerak pulang ke rumah Qair.
Disebabkan sesi praktikum Mawar masih berjalan, oleh itu mereka berdua perlu duduk dahulu sementara di kampung. Dan yang paling penting, status mereka berdua sebagai suami isteri perlu dirahsiakan dahulu buat masa ini. Atas nasihat abah Mawar, Qaed dan Mawar akan duduk dalam rumah yang berasingan untuk mengelakkan status mereka dihidu oleh penduduk kampung.
Qaed akan tinggal di rumah Qair seperti biasa, manakala Mawar akan duduk sementara di rumah Omar dan Suraya. Semua perancangan telah pun direncanakan secara rapi oleh kedua belah pihak. Disebabkan status Qaed, amat bahaya jika rahsia perkahwinan mereka tersebar luas. Lagi-lagi sehingga ke pengetahuan pihak media yang dahagakan gosip terkini tanah air.
Sesekali, Qaed mencuri pandang ke arah isterinya. Entah apa yang difikirkan oleh Mawar, isterinya itu setia sungguh merenung pemandangan di luar jendela kereta berbanding wajah kacaknya.
Dengan senyuman halus yang melengkung pada bibir, punat di stereng mula ditekan. Perlahan-lahan, bumbung kereta Qaed mula terbuka luas. Kini, kesegaran bayu pagi terasa dingin membelai wajah.
Mawar diserang rasa terkejut apabila tiba-tiba sahaja veil yang berada di kepalanya terbang dengan hebat sekali. Apabila menyedari kereta yang dia duduki pada kereta ini milik Qaed, cepat-cepat dia mengawal riak terkejut yang menempel pada wajah.
'Alahai... macam mana aku boleh lupa yang kereta aku duduk sekarang ni bukan kereta Saga lama abah. Fokus Mawar, fokus! Sekarang kau bakal berkongsi hidup dengan lelaki tu. Suami kau, Tuan Qaed Ibrahim.' Mawar mengingatkan diri sendiri.
Sehingga kini, entah mengapa dia berasa semua ini bagaikan mimpi sahaja. Sungguh, berkahwin dengan Qaed tidak pernah terlintas di fikirannya. Semuanya adalah ketentuan Yang Esa. Dia cuma akur sahaja kepada takdir yang telah dilukiskan dalam kanvas hidupnya.
"Tak terbang pun tudung Mawar tu. Jangan risau." Qaed bersuara apabila melihat keadaan Mawar yang berkeluh-kesah itu.
Mendengar itu, perlahan-lahan tangan Mawar yang menampan kain veil di kepala mula terlorot jatuh. Menegakkan tubuh, kini fokusnya ditala pada jalan yang berada di hadapan.
Qaed sembunyi senyum. Sungguh, tindakan Mawar kelihatan comel pada matanya pada saat ini. Tambahan lagi, pipi gebu Mawar yang sudah memerah seperti tomato. Malu barangkali apabila ditegur sebegitu oleh dia.
Apabila melihat Mawar yang masih membisu, Qaed mula mencapai tangan mulus Mawar yang terletak kemas di riba itu lalu digenggam erat. Sedikit pun pandangannya tidak ditala kepada Mawar. Seakan tiada perkara yang berlaku di antara mereka.
Jantung Mawar mula berdegup kencang apabila diperlakukan sebegitu oleh Qaed. Seperti Qaed, dia juga tidak berani untuk bersuara apa-apa. Membiarkan sahaja tangannya ditaut kemas oleh tangan kasar Qaed.
"Mawar suka ke jadi isteri abang?"
Tubuh Mawar menjadi pegun apabila soalan itu menyapa hujung pendengaran. Mengigit bibir, otaknya mula ligat berfikir mencari jawapan untuk soalan yang meluncur keluar dari bibir Qaed pada saat ini.
'Nak jawab apa ni, Ya Allah... Sungguh aku segan...' Mawar mula bermonolog sendiri.
"Orang tua kata, kalau diam tandanya setuju. Maknanya Mawar sukalah kan jadi isteri abang?" Provok Qaed.
"T... tak! Bukan macam tu. Ab... abang tak bolehlah gunakan benda tu kepada Mawar." Mawar menyelar laju. Disebabkan terlalu berdebar, bicara yang mahu terdesir di celah kerongkongnya agak sukar mahu dikeluarkan. Seperti dijerut pasir lagaknya.

CZYTASZ
QAED (OG)
RomansTUAN QAED IBRAHIM | MAWAR NARESSA Jika mentari itu menghangatkan, titisan hujan itu pasti mendinginkan. Seperti itulah kehidupan. Bukan bahagia semata-mata yang datang menerpa. Keperitan itu, mengajar diri supaya tenang dan kekal kuat. Sampai bila...