BUKAN hanya malam itu, sebaliknya hampir setiap malam Affan menelefon aku. Pada awalnya, perbincangan kami banyak berkisar hal kerja. Hal projek yang sedang diselia oleh Affan, yang mana ia memang melibatkan aku sebagai orang yang menguruskan hal latihan berkaitan projek.
"Mira ..."
"Ya?"
"Tak ada orang marah ke saya telefon Mira hampir setiap malam?"
"Eh, tak ada. Mak ayah saya okey, je. Lagipun panggilan awak ni atas urusan kerja, tak ada sebab nak marah."
Aku terdengar dia gelak kecil sebelum menghela nafas.
"Bukan itulah Mira." Dia menyambung gelak.
Aku ... blur.
"Maksud saya, yang bukan ahli keluarga Mira."
"Emm ... tak. Siapa pula yang nak marah saya?"
Dia diam agak lama sebelum kembali bersuara, "Mira, tak ada boyfriend?"
Aku pula terdiam. Itu ke sebenarnya yang dia nak tanya tadi?
"Kawan lelaki ramai, tapi bukan yang terikat komitmen." Aku jawab berpusing-pusing. Itu istilah yang aku selalu guna bila seseorang punya teman istimewa - komitmen.
"Maksudnya, tak adalah?"
"Kenapa awak tanya?"
"Err ... tak adalah. Takut ada orang marah." Dia ketawa kecil.
"Kita berbual atas urusan kerja."
"Kalau bukan atas urusan kerja? Ada orang marah tak?"
Dia tengah ushar aku ke, apa?
"Awak tengah ngorat saya, ke?" Memang bukan jenis aku cakap berselindung. Lebih-lebih lagi hal begini. Kalau aku nak tahu, aku tanya terus. Biar jelas dan nyata. Pengalaman dengan Zain dahulu, cukup mendewasakan seorang Nur Mira Iliani.
Dia ketawa. Kali ini bukan ketawa kecil lagi. Dia benar-benar ketawa. Sehinggakan aku rasa ... eii, sakit pula hati kita!
"Eh, kenapa ketawa? Bukan lawak pun soalan saya!"
Tawanya reda. Tetapi masih ada sisa yang membuatkan aku mendengus rasa. Aku tak kisah pun kalau dia nak fikir aku perasan atau aku mengharapkan 'perasaan' itu ada padanya.
Aku. Tak. Kisah.
Usai tawa itu benar-benar reda, dia bersuara, "Kalau betul, saya sedang mengorat Mira, apa perasaan Mira?"
Serius pula suara dia. Terus aku terdiam. Sakit hati tadi bertukar menjadi debaran kencang. Biar betul dia ni! Aku mengharapkan dia hanya menjawab, "Eh, tak adalah Mira. Saja je, tanya." Lepas tu dia pendam jika benar dia ada perasaan. Tidaklah begini drastik untuk berterus terang mendedahkan sesuatu yang boleh menghadirkan rasa janggal di antara kami.
"Saya tak ada perasaan." Itu yang aku balas padanya. Malas nak memanjangkan pemikiran terhadap perkara remeh - hal hati dan perasaan yang entah di mana hentiannya.
"Ya, betul. Saya nak mengorat Mira. Saya tahu, kita baru sahaja kenal. Kawan pun atas urusan kerja. Mira lebih dulu menjana pendapatan berbanding saya. Gaji pun lebih. Kedudukan di dalam syarikat pun sudah kukuh. Sedangkan saya orang baru yang masih dalam tempoh percubaan. Andai tersilap pembawakan, saya mungkin hilang pekerjaan.
Tetapi, jujur ... saya suka berkawan dengan Mira. Selesa berbual dan berbincang dengan Mira. Sangat selesa walau dalam apa juga topik perbualan. Hatta, topik itu satu topik yang sangat rumit."
"Awak tak benar-benar kenal saya, Affan."
"Cukup kalau saya rasa selesa dan mampu berbual panjang dengan Mira. Malah, hati saya tenang bila berbincang dengan Mira. Itu sudah cukup membuatkan saya percaya untuk berterus-terang apa yang saya rasa, dan mengharap sesuatu daripadanya."
Aku menggeleng. Masa dengan Zain, aku menanti dia berterus-terang, tetapi dia menangguh peluang. Kini dengan Affan, terlalu pantas sehingga tidak mampu untuk aku mengekang keadaan.
Bukan mudah sebenarnya membenarkan seseorang masuk ke ruang hati kita. Hati adalah ruang privasi yang bila telah diizin masuk akan memberi kesan yang bukan kepalang hebat. Hendak menyingkirkannya juga tidak mudah. Dan, bila sudah berjaya disingkirkan juga, ia pasti meninggalkan kesan.
Nama Zain sendiri sebenarnya masih ada. Susah hendak kubersihkan walaupun sudah perlahan-lahan tersingkir dari ruang.
Affan ...
Aku tak pernah tahu tentang dia selain daripada apa yang tercatat di dalam resume kerjanya.
Dia berasal dari selatan tanah air. Di sini, dia menetap di rumah sewa, rumah bujang dengan kawan-kawan. Dia budak sekolah berasrama, pasti seorang budak pandai. Universitinya juga adalah universiti tertua di Malaysia, yang graduan kelahirannya sering berbangga.
Pekerjaannya ini adalah yang pertama semenjak hari graduasi. Melihat kepada perjalanan pembelajaran dan karier, Affan memang anak rantau. Semenjak di tingkatan satu, dia menetap lima tahun di asrama, meninggalkan daerah kelahiran. Menyambung belajar di universiti juga, jauh dari kampung halaman. Kini bekerja di sini. Memang sentiasa merantau.
"Kenapa tak cari kerja di negeri sendiri? Kan boleh dekat dengan mak ayah?"
Pernah di sela cerita kerja, dalam perbualan sebelum ini, aku bertanya. Ketika itu, dia membuka cerita dirinya seorang anak rantau jauh daripada keluarga.
"Rezeki di sini. Asalnya memang ada niat nak balik ke kampung selepas habis belajar, sebab susah dapat kerja. Tapi, bila Ridwan minta tolong datang interview, terus tak jadi balik."
Ridwan, calon pertama jawatan yang Affan pegang sekarang. Dia jugalah yang kena bebel dengan aku sewaktu offer letternya sudah siap, dia menarik diri.
Tidak fasal, Affan jadi ganti.
Takdir.
Rezeki.
Mungkihkah juga ... jodoh?
Cerita Affan, mak dan ayahnya tidak kisah. Kata Affan, selagi anak mereka puya pekerjaan halal, mereka dah cukup bersyukur. Affan buat keputusan balik ke kampung, cari kerja di sana bila rezeki pekerjaannya di sini agak kabur. Dia struggle mencari kerja sehingga timbul tekanan dalam diri. Lebih tertekan bila ramai di antara rakan yang bergraduasi dengannya sudah mendapat kerja. Sudah mula mengatur kewangan untuk membeli rumah, kereta malah melamar anak dara.
Cerita Affan lagi, Ridwan tu rezekinya murah. Mohon sahaja, terus dapat. Sampai dua tiga tawaran. Sedangkan dia, satu pun susah nak lekat. Jawatan sekarang ini pun, sebab Ridwan tolak. Dia hanya menerima sisa yang orang tak hendak.
"Mira ..."
Aku tersentak. Jauh terseret khayalan. Tentang ... Affan dan kehidupan.
"Kita berkawan sahaja, Affan."
"Baiklah. Kita berkawan jika itu membuatkan Mira selesa. Semoga akan ada satu ikatan yang lebih jelas suatu hari nanti, di antara Mira dan saya."
Kami tamatkan perbualan. Aku tak punya apa-apa perasaan. Aku bersyukur bila Affan bukan jenis mendesak. Jika dia begitu, aku reject terus. Malah, bukan hanya reject, mungkin aku akan menghindarinya!
.
.
.934 pp
06 Jun 2021
07. 20 malam.
YOU ARE READING
Kenangan (Completed)
General FictionTak jumpa di mana-mana, hanya di kotak memori. Andai Tuhan tarik ingatan, dia juga akan tenggelam ... ... dalam kenangan. Start: 15 Apr 2021 End: -