Bab 27 - Ros

198 39 9
                                    

KAK HAIZA memohon bersara awal. Kondisi ibunya memaksa dia membuat keputusan drastik. Katanya, biar putih tulang, jangan putih mata. Ibu hanya seorang, rezeki kerjaya itu ada di mana-mana. Encik Mus minta kami prepare majlis perpisahan Kak Haiza.

Selain hadiah yang kami beli melalui duit yang dikumpul bersama, kami juga ada menyediakan hadiah peribadi. Aku memang tak pandai sangat nak pilih hadiah untuk orang. Jadi, aku hanya belikan Kak Haiza telekung. Nad pula belikan minyak wangi berjenama. Lin belikan kain pasang. Ada dua tiga orang lain wakil security, maintenance dan beberapa orang manager department lain turut beri nama untuk hadir ke majlis Kak Haiza.

Aku jadi coordinator majlis. Buat tempahan hotel dan memilih buffet untuk makan malam. Kami bergerak Jumaat malam ke hotel. Bersiap di kilang, pakai lawa-lawa. Habis waktu kerja, kami bergerak terus.

Nad dan Lin memang akan naik kereta aku. Yang lain, sama ada bawa kereta sendiri atau naik kereta syarikat. Tak ramai. Kurang daripada 20 orang. Sampai di tempat parking, aku nampak Hilmi. Dia bawa motor. Matanya memandang ke arah kami.

Nad dan Lin walaupun tidak suka aku dengan Hilmi, tetapi mereka tetap berkawan dengannya sebab kami dikira satu jabatan. Hilmi berjalan ke arah kami. Dia santai dengan t-shirt putih berkolar dan berseluar jean hitam. Di tangannya ada beg kertas. Pasti hadiah untuk Kak Haiza. Ada sejambak mawar merah juga.

"Untuk Kak Haiza?" Aku bertanya.

Dia tersenyum dengan mata tepat memandang ke muka aku. Jadi serba salah pula aku bila dia buat begitu di hadapan Nad dan Lin.

Sedar dengan ketidakselesaan aku, dia berdehem lalu menjawab, "Ya. Tapi, bunga ini Encik Mus yang kirim. Dia suruh saya cari dan beli. Guna duit baki yang kita kumpul tempoh hari."

"Oh, okey ..." Aku, Nad dan Lin serentak menjawab. Bunga segar itu memang menarik perhatian kami. Nad ambil posisi berjalan di sebelah Hilmi sambil berbual dan menyibuk nak tahu apa hadiah peribadi yang Hilmi beli untuk Kak Haiza.

Aku dan Lin berjalan di hadapan mereka. Nampak sangat mereka tidak mahu buka ruang pada Hilmi. Aku rasa bersyukur sebab sejujurnya, aku sendiri rasa janggal jika berjalan berdua bila tahu dia bercita-cita untuk punya hubungan yang lebih daripada itu.

Sewaktu masing-masing sibuk ambil makanan di meja buffet, selepas Encik Mus selesai memberi sepatah dua kata, Hilmi mendekatiku. Dia duduk di sebelah aku. Berjarak seorang manusia. Dia tahu agaknya betapa aku menjaga batas sentuh dengan bukan mahram.

"Nak tahu saya belikan Kak Haiza apa?"

Aku angkat bahu. Dia beritahu atau tidak, aku tak kisah. Nad sahaja yang nak tahu sangat tadi.

Perlahan dia menarik sebuah kotak dari dalam beg kertas yang tadi dibawanya. Dia hulurkan padaku.

"Eh, tak apa ke saya buka?" Kotak itu berikat reben tanpa pembalut. Dia gesa aku menarik reben itu dan membuka kotak, melihat isi di dalamnya.

"Tak apa. Nanti boleh ikat balik."

Aku akur. Aku leraikan ikatan reben dan kukeluarkan isinya.

"Cantik!" Memang aku terkejut. Ada empat blok lilin berwarna dalam bekas kotak jernih yang elegan designnya. "Pandai awak pilih hadiah. Tentu wangi, kan?"

Dia tersenyum. Matanya memang kalau sedang tersenyum itu akan mencari mata aku. Hmmm ... aku jadi risau. Takut jika dia akan terluka dengan kesungguhan sendiri.

"Awak punya pun ada." Dia menarik sebuah lagi kotak dari dalam beg kertas.

"Eh, kenapa?" Terkejut aku.

"Saya tak izinkan diri saya bagi hadiah pada perempuan lain tanpa saya beri pada perempuan yang saya suka juga." Dia serahkan kotak yang sedikit besar saiznya berbanding yang Kak Haiza punya.

Kenangan (Completed)Where stories live. Discover now