Bab 32 - Tampar

258 41 9
                                    

MALAM tadi sepanjang malam aku berperang dengan fikiran. Siang ini berperang pula dengan perasaan. Semuanya sebab Affan!

Telefon aku berbunyi lagi. Cepat aku matikan. Mesej pula masuk bertalu-talu.

+Mira, jangan macam ni.

+Mira, jawablah telefon saya.

+Kalau Mira tak nak cakap pun, dengar je apa yang saya nak cakap.

+Mira ...

+Mira ...

Aku abaikan. Aku tengah serabut. Pemikiran malam tadi yang begitu jernih, kini keruh mengalahkan air teh!

Malam tadi ...

Aku berfikir panjang. Usia sudah hampir 25 tahun. Tiada sesiapa yang aku nampak sebagai calon suami. Bukan tiada yang menghampiri, tapi semuanya seolah-olah tidak diizin Ilahi. Affan memang tidak sempurna, sama macam aku. Sama macam lelaki-lelaki lain yang pernah aku temu. Tetapi, entah kenapa walau tak suka dengan sikapnya, walau tak ada rasa padanya, aku masih boleh buka ruang untuk dia.

Malah, walau hati tidak dijentik cinta, tetapi cemburu sudah ada. Malah, pernah juga rasa dia ini layak jadi calon ketua keluarga kerana agamanya. Keras pendiriannya dengan isu arak. Malah, dia mampu membuat aku menangis. Hati aku jadi lembut bila dengan dia. Menurut apa yang disuruhnya. Sedangkan, itu amat bertentangan dengan sikap aku yang sebenar.

Mengetahui yang dia rapat dengan ibunya juga membuatkan perasaan kewanitaan aku terpujuk. Dan, jantung ini pernah laju berdegup bukan dengan kadar normal bila dia menarik lengan aku agar tidak menyentuh pasir yang sudah contaminated – tercemar.

Aku cuba cari alasan untuk menolak lamarannya, tapi tak jumpa! Aku tanya pada diri aku, apa yang aku inginkan sebenarnya? Affan lelaki yang menjunjung agama. Menjaga solat dan tegas dengan satu-satu perkara. Dia juga dikira sekufu. Umur kami sebaya, kami sama-sama lulusan universiti. Aku tak perlu fikir perkara lama berulang kembali, yang mana Zain Asri sering menjadikan isu university sebagai penghalang hubungan kami.

Malah, Affan seorang yang bijak berbanding aku. Sering kata-kata aku disanggah dengan pelbagai jawapan. Yang aku kemudiannya memberikan dia menang.

Satu perkara yang jika hendak dianggap kurang, dia kurang keakinan bila berdepan dengan golongan atasan. Sedangkan, itu bukan kelemahan bagi aku. Aku jenis degil. Melawan tak kira apa jawatan jika aku rasa ia benar. Kami sebenarnya saling melengkapi.

Aku solat sunat malam itu dan membaca Yasin, memohon petunjuk Tuhan. Aku tak mahu berfikir panjang lagi. Terima sahajalah. Cinta boleh dipupuk.

Jam tiga pagi, aku mesej Affan.

+Assalammualaikum, Affan.

Cepat dia membalas. Tak tidur agaknya.

+Waalaikumsalam, Mira.

Bismillah. Aku tarik nafas, dalam dan kulepaskan. Jari terus menaip.

+Saya terima.

Terus dia hilang dari radar. Aku tak tahu Affan buat apa. Sujud syukur ke? Tapi, aku memang berdebar. Mungkin ke ini prank? Ah, lantaklah! Kalau betul prank, sekadar nak main-mainkan Nur Mira Iliani, memang satu kesilapan besar!

Aku terus menyambung tidur. Hati aku tak lagi berdegup tak tentu fasal.

SEPANJANG hari aku tak terima mesej daripada Affan. Sehinggalah selepas makan tengah hari, dia mesej aku, kata nak jumpa di hadapan lobi. Aku ikutkan sahaja. Dia ajak aku berdiri agak jauh di tepi lobi. Dan, masa itulah dia hamburkan semuanya! Kemarahan, ketidakpuasan hati ... perasaannya yang tertekan. Merungut-rungut dia. Aku hanya tadah telinga sehinggalah bila dia meninggi suara. Aku tak boleh tahan.

Kenangan (Completed)Where stories live. Discover now