BAB 6

1.8K 356 23
                                    

BUSRA membalas kerlingan sekumpulan guru senior perempuan yang sudah bersedia untuk turun ke kantin. Sesaat, Busra mendengus sebelum wajahnya ditelangkupkan ke atas meja. Sejak tadi, dirinya tidak mampu fokus kepada kerja di atas meja. Bagaimana mahu fokus jika diri bagaikan dijerut ketat oleh pandangan penuh makna guru-guru sekolah ini?

Ah, ini semua salah Absyar! Semua guru sudah salah sangka dengannya selepas peristiwa di dalam stor sukan tadi.

Busra menghempas nafas berat. Dada bertindih-tindih dengan pelbagai beban.

Busra malas mahu berdiam lagi. Dia bangun dan mencapai beg tangannya menuju ke bahagian pentadbiran yang terletak selang beberapa bilik daripada bilik guru. Dia mahu menyempurnakan apa yang dikata kepada Absyar di dalam stor tadi. Tetapi, dia tak mahu jumpa guru disiplin. Dia mahu bertemu mata dan berbincang dengan pengetua terus.

"Kak, bos ada?" tanya Busra kepada kerani sekolah setelah memberi salam. Bila semua guru dan staf sekolah ini memanggil pengetua Fakrul dengan panggilan 'bos', Busra juga jadi terikut-ikut.

"Bos ada je. Tapi, dia tengah sibuk. Ada apa?" tanya kerani itu dengan kerutan di dahi. Mestilah pelik guru baru sepertinya mahu berjumpa dengan pengetua  Fakrul sedangkan pengetua itu tidak meminta untuk bertemunya.

Busra berdeham kecil.

"Saya nak bincang fasal seorang pelajar. Nama dia Absyar, pelajar 6 Alpha. Dia-"

"Kalau fasal tu, baik cikgu jumpa guru disiplin atau PK HEM. Pengetua banyak kerja nak kena urus. Dia tak kan layan punya. Buat penat cikgu je," balas kerani itu acuh tak acuh sebelum dia kembali menyusun fail.

Bahu Busra jatuh sedikit. Hanya mata yang mampu terkerdip-kerdip memerhati kerani itu.

Sesaat, kedengaran bunyi pintu bilik pengetua dibuka. Busra pantas menoleh ke arah pengetua yang keluar daripada biliknya dan sedang berbicara dengan telefon.

"Haaa... Betul. Ya, ya. Nanti kita bincang thoroughly dalam miting."

Busra melihat ini sebagai satu peluang keemasan. Sebaik saja pengetua Fakrul mematikan talian, Busra pantas mengejar langkah atasannya itu.

"Bos..." Busra matikan kata bila pengetua Fakrul memandangnya tepat. Bohong jika Busra mengatakan yang Busra tidak gentar berdepan dengan lelaki ini.

"Ya, kenapa?"

"Errr... Bos sibuk ke? Saya nak bincang fasal pelajar 6 Alpha. Atau paling tepat, fasal Absyar. Boleh bos luangkan masa sekejap? Kalau bukan sekarang, mungkin bila-bila bos free," pinta Busra. Dia membuat semua ini bukan kerana niat buruk. Tetapi, dia cuma mahu memberi sedikit pengajaran kepada Absyar. Sekurang-kurangnya ada tindakan ke atas Absyar kerana melayannya tidak serupa guru.

"Kenapa dengan dia?"

Nafas dijujut oleh Busra dalam-dalam dan dihela perlahan.

"Hari pertama saya relief kelas 6 Alpha sebelum ni, dia datang lewat dan keluar dari kawasan sekolah sesuka hati. Cara dia bercakap dengan saya pun-"

"Kejap, Cikgu Busra," cantas pengetua Fakrul sambil mengerling tag nama Busra.

"Cikgu baru, kan? Apa kata kalau cikgu buat saja tugas cikgu. Jangan peduli hal lain. Jaga  student cikgu. Cikgu bukan guru kelas atau guru mana-mana subjek 6 Alpha, kan?"

Busra tersentak kecil. Dia memandang pengetua Fakrul lama sebelum menggeleng.

"Good. Fokus kerja sendiri. Tak perlu pertikaikan hal lain. Tambah-tambah lagi fasal Absyar. Ayah dia penyumbang tersebar untuk sekolah kita setiap kali ada penambahbaikan infrastruktur atau apa-apa majlis di sekolah ni. Cikgu faham kan maksud saya?"

ABSYAR BUSRAWhere stories live. Discover now