BAB 25 (i)

3K 361 37
                                    

ABSYAR hanya mengikut arah kaki. Sejak tadi, dia berjalan tanpa tujuan dengan kepala yang kosong. Kosong kerana hati sudah cukup berat menampung rasa pedih lantaran kata-kata Busra sebentar tadi. 

Absyar berhenti bila dia sudah melencong jauh daripada kawasan rumah penduduk kampung dan sampai di kawasan ladang satu ekar yang luas. Sekelilingnya hijau. Ada pelbagai tanaman yang ditanam di setiap bahagian. Ada beberapa orang kampung atau pekerja di setiap bahagian tanah masing-masing.

Absyar mendesah nafas berat. Entah di mana kaki berpijak saat ini, dia sendiri tidak pasti. Kaki sambung melangkah. Arahnya tidak lagi ke hadapan sebaliknya Absyar menjuju ke arah batas dan melalui celah-celah tanaman yang tegak berdiri. Kali ini, langkahnya sangat perlahan. Cukup perlahan sehingga setiap angin segar kawasan ini mampu dirasai sehingga ke trakea. Tambah pula, ada parit panjang dengan air yang jernih di sebelah laluan pejalan kaki.

Pertama kali, dia menyaksikan secara langsung bagaimana petani bekerja. Pemandangan yang cukup meralitkan. 

"Absyar..."

Langkah Absyar termati. Kepalanya terus menoleh ke arah satu tempat teduhan. Barangkali, tempat pekerja berehat. Absyar tidak beriak memandang Pak Muda yang sedang tersenyum dari kejauhan.

"Huk! Huk! Meh sini, Absyar. Huk!" Sambil melaung, batuk tajam Pak Muda jelas menyapa pendengaran Absyar. Tangannya dilambai-lambai.

Absyar memejam mata dan mengeluh kecil. Dia mahu bersendirian tetapi kenapa ajakan Pak Muda begitu memukau. Akhirnya, kakinya ringan ke arah Pak Muda yang berpakaian serupa pendekar-pendekar lama. Pak Muda memakai seluar slek di dalam dan dilapisi dengan kain pelikat diikat senteng bersama baju kemeja lusuh berlengan panjang. Kepalanya pula dililit dengan kain pelikat ala-ala tengkolok.

"Absyar dari mana? Sorang je?" Pak Muda membasuh tangannya dengan air bersih yang dicebok dari dalam baldi. Dia baru saja selesai menggaul biji benih jagung dengan racun kulat thiram sebelum ditanam sebentar lagi.

"Dari rumah," jawab Absyar ringkas.

Pak Muda mengangguk-angguk. Kadang, batuknya menggerit anak tekak. Sekali-sekala, Absyar mengerling Pak Muda sekilas. Namun, kebanyakan masanya dia hanya merenung kosong tanah Pak Muda yang masih kosong dan bebas daripada lalang atau pun rumput. 

Lelah melihat Pak Muda.

Tiada apa yang mustahil untuk dilakukan manusia demi mendapatkan wang. Tak kira tua atau muda. Setiap orang itu punya kisah berbeza. Walaupun nampak susah, namun jiwa dan hati Pak Muda mungkin lebih bahagia berbandingnya yang senantiasa merasa tidak cukup dan kering hati.

"Pagi-pagi nak pergi mana? Ambil angin kampung? Biasanya Jijul temankan. Ni mesti budak Jijul tu membuta lagi, kan?" Berdas-das pertanyaan ramah Pak Muda keluar.

Absyar diam berjurus. Hanya ralit merenung udara kosong di depan.

Pak Muda senyum. Tidak ambil hati. Dia melabuhkan duduk di sebelah Absyar. Kedua-duanya diam memandang petani lain bercucuk tanam.

"Macam nilah hidup dekat kampung. Lebih dekat dengan alam semulajadi. Tenang. Kos hidup pun rendah. Bercucuk tanam kecil-kecilan macam Pak Muda ni pun dah boleh tampung hidup. Alhamdulillah... Doakan Pak Muda sentiasa sihat untuk cari rezeki."

Absyar menoleh ke sisi. Matanya bersabung dengan mata teduh Pak Muda. Mata Absyar berkerdip berat. Doa yang dipinta oleh Pak Muda membuatkan lidahnya terpasung kemas pada lelangit.

Doa? Entah bila kali terakhir dia sungguh-sungguh berdoa. Dan, kalaupun dia meminta, adakah Dia mahu mendengar?

"Pak Muda nak balik rumah sekejap. Petang karang baru Pak Muda datang sini balik untuk tanam benih. Semalam Pak Muda ada jemput Absyar datang rumah, kan? Marilah ikutlah Pak Muda balik. Boleh kenal-kenal rumah Pak Muda," ajak Pak Muda sambil berdiri.

ABSYAR BUSRAWhere stories live. Discover now