BAB 1

420 8 0
                                    


"

APA kamu kata Nuqman? Kamu nak kahwin? Bila? Bukan dalam masa yang terdekat ni kan?" soal Datuk Iffan dengan mata yang membulat bila mendengarkan penjelasan anak bujangnya sedang mereka santai menonton televisyen malam itu.

"Bulan depan," jawab Nuqman yakin dan serentak dengan itu Datuk Iffan berdiri tegak menghadap Nuqman sambil mencekak pinggang.

"Bulan depan? Kamu sedar tak apa kamu cakap ni Nuqman? Kamu belum habis belajar lagi sudah sibuk nak kahwin? Kamu ada fikir nak bagi budak Zara tu makan apa nanti dengan kamu sendiri tak bekerja?"

Datin Zahrah yang tadi hanya jadi pemerhati kali ini bangun, menenangkan suaminya. Bimbang pula dia kalau tekanan darah suaminya itu meningkat mendadak mendengar perkhabaran tergempar itu.

"Abah, pengajian Nuqman cuma tinggal setahun saja lagi. Lepas ni, Nuqman akan bekerja dengan abah. Zara pula sekarang dah habis belajar dan sedang menunggu panggilan kerja. Insya-Allah, tak akan timbul masalah tentang hal makan dan pakai ni. Perkara baik macam ini, Insya-Allah akan Allah lorongkan rezeki dari macam-macam cara." Tenang sahaja Nuqman menjawab. Riak wajahnya selamba seakan-akan berita itu tidak ada apa yang hendak dibimbangkan sama sekali.

"Abah bukannya nak menghalang kamu kahwin, tapi sekurang-kurangnya habiskan pengajian kamu dahulu. Kamu tu lelaki, Nuqman. Kamu yang patut tanggung Zara, bukan dia."

"Betul kata abah tu, Nuqman. Nuqman tak perlu nak tergesa-gesa hal kahwin ni. Kami semua sukakan Zara. Kamu janganlah risau ya. Cepat atau lambat, Zara tetap akan jadi menantu rumah ini." Kata-kata Datin Zahrah disambut dengan dengusan kasar sesorang di sebelahnya.

"Tak menyempat nak kahwin. Entah-entah dah terlanjur," gumam Luqman sendirian dalam nada berbisik tapi masih jelas pada pendengaran semua yang ada di situ.

"Luqman! Kau jangan nak buat cerita bukan-bukan. Zara bukan perempuan macam yang kau dok usung ke hulu ke hilir tu!" tingkah Nuqman. Tidak puas hati dengan tuduhan Luqman yang tidak berasas itu.

"Ummi, abah... Luqman bukan sengaja nak buat cerita. Tapi zaman sekarang ni, apa lagi sebab utama nak kahwin awal kalau bukan sebab tu? Perempuan sekarang ni, kebanyakannya pakai tudung bukan sebab nak tutup aurat tapi sebenarnya nak tutup perut yang makin besar tu."

"Luqman!" Nuqman sudah berdiri menghampiri adiknya dengan tangan yang sudah bersedia hendak melayangkan tamparan tapi berjaya dia tahan dirinya dari berbuat begitu. Kesabarannya memang sentiasa tercabar setiap kali dia berhadapan dengan Luqman. Entah apalah malang nasibnya kali ini bertembung cuti semester dengan Luqman.

"Kamu berdua ni, memang pantang berjumpa. Asal berjumpa, nak bergaduh saja. Nuqman, sudah. Duduk dulu. Kita bincang." Nuqman duduk semula bila dipujuk Datuk Iffan. Datin Zahrah pula hanya mampu mengeluh panjang. Tangan Nuqman ditarik ke sisinya.

"Nuqman, Nuqman dah fikir panjang ke pasal ni? Bukan senang sayang, nak pikul tanggungjawab sebagai suami dan juga sebagai pelajar."

"Nuqman angguk laju tanda dia sudah nekad. Datin Zahrah mengeluh lagi untuk ke sekian kalinya. Keyakinan Nuqman ternyata tetap dia bimbangi biarpun Mya Zara sendiri sudah dia kenali beberapa bulan kebelakangan ini. Sekilas dia memandang ke wajah suaminya yang kelihatan sugul.

"Abah, ummi. Zara perempuan yang baik. Nuqman tak mahu kehilangan dia. Nuqman risau, nanti bila dia dah mula kerja dia akan berubah hati pada orang lain."

Luqman hanya mencebik mendengarkan alasan abangnya. Meluat, menyampah berbunga-bunga di hatinya. Macam tak ada perempuan lain dalam dunia ni! Zara... Zara... Zara. Entah apa yang bagus sangat perempuan tu sampai tak menyempat nak menunggu habis belajar.

KAHWIN GANTI EXTENDED VERSIONWhere stories live. Discover now