BAB 12

224 7 1
                                    


"MAMA, Papa... Tambahlah lagi ye. Zara tolong tambah supnya lagi." Mya Zara bingkas bangun tapi belum sempat dia berlalu ke dapur, dia ditahan Datin Zahrah.

"Zara sayang, biar Mak Yah saja yang tambah sup tu. Zara tolong panggilkan Luqman ye. Dia tertidur agaknya kat atas tu. Maklumkan pada dia yang mama dengan papa Zara dah sampai ya."

Langkah Mya Zara terhenti. Sekilas dia memandang wajah Mak Yah mohon pengertian. Aci tak kalau Mak Yah saja yang kejutkan lelaki itu? Dia risau kalau angin Luqman masih belum baik lagi lepas ditegur ummi tadi.

"Biar Mak Yah ambilkan supnya ye." Mya Zara ketap bibir bila maksud pandangannya tak sampai pada Mak Yah. Aduhai Mak Yah ni pun, tak boleh di buat geng!

"Zara naik sekejap ye. Papa, mama"

Anak tangga di naikinya perlahan-lahan. Kalau nanti dia marah aku macam mana? Bukan ke Luqman memang pantang diganggu tidurnya? Mya Zara menarik nafas panjang. Hatinya berdebar-debar. Terasa macam nak ke medan perang gayanya. Perlahan-lahan dia duduk di sisi katil usai kaki melangkah masuk semula ke bilik itu. Mya Zara merenung kosong ke wajah lelaki yang sedang enak dibuai mimpi sambil di selimuti dengan comforter.

Dia ni, tidur siang macam tidur malam! Berselimut bagai. Dibo ni pula, mesti ada dalam pelukannya. Perangai macam samseng, tapi dalam hati ada taman! Mya Zara tersenyum sendiri.

Lebih lama dia merenung wajah itu, hatinya tiba-tiba dipagut kesedihan. Entah kenapa dia rasa sayu bercampur marah. Wajah lelaki itu benar-benar mengingatkannya pada Nuqman yang lari entah ke mana meninggalkannya. Air matanya mengalir secara tiba-tiba di tambah dengan esakan perlahan.

"Aku tengah cuba nak tidur sahajalah. Aku belum nak mati lagi. Yang kau beria-ia menangis ni apa halnya?" Mya Zara tersentak. Cepat-cepat disapu air matanya yang mengalir dengan hujung lengan jubahnya.

"Errr... Saya... Saya mintak maaf." Luqman bingkas bangun lalu duduk merenung tajam ke arah Mya Zara yang sibuk mengelap air matanya. Sesekali terdengar dia mengeluh berat.

"Aku tahu muka aku ni macam muka dia tapi lepas ni kau boleh tak kalau depan aku jangan menangis macam ni? Cubalah jadi kuat sikit. Kau ingat berbaloi ke kau menangis sebab lelaki macam Nuqman tu? Entah-entah dia dekat sana seronok dengan isteri, kau dekat sini meratap macam perempuan mati suami."

Mya Zara mengerling sedikit ke arah Luqman. Baru kali ini rasanya Luqman bercakap dalam nada tenang dengan dia. Kalau tidak, nadanya asyik macam nak cari gaduh sahaja. Selebihnya, memek muka benci yang ditunjukkannya.

"Kau nak apa naik atas bilik ni sebenarnya?" tanya Luqman perlahan. Kesian pula dia melihat Mya Zara dalam keadaan bersedih seperti tadi walaupun dia sekadar meneka yang asbabnya Nuqman.

"Mama dengan papa saya dah sampai."

Luqman menghela nafas panjang. Jadi memang betul rupanya mertuanya datang hari ni? Mati-mati dia ingatkan itu idea Ummi mahu dia balik dan kemudian belajar duduk sebilik sebagai suami isteri.

"Hmmmm... Iyalah. Kau turunlah dulu. Aku nak basuh muka jap." Dia bingkas bangun lalu mengatur langkah ke bilik air. Mya Zara hanya menghantar dengan ekor mata sambil mengurut dada lega. Mujurlah Luqman menegurnya tadi. Kalau dibuatnya dia terus terbuai dengan merasakan yang di hadapannya tadi tu Nuqman, tak naya ke jadinya?


~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~


MALAM itu, mereka sekeluarga solat berjemaah bersama-sama. Encik Harith, papa Mya Zara menjadi imam mereka. Luqman pula entah ke mana hilangnya. Selesai berbual dengan Encik Harith dan Puan Rania, mama Mya Zara petang tadi dia mencapai kunci kereta dan keluar tanpa kata.

Selesai berjemaah, mereka makan malam bersama. Masak Lemak Cili Padi masakan Mak Yah memang menyelerakan. Sesudah itu, mereka menonton televisyen bersama-sama sambil berborak-borak. Kemesraan antara dua keluarga begitu kelihatan sekali.

Tiba-tiba kedengaran enjin kereta di matikan dari luar. Luqman meluru masuk tanpa salam lantas terus menaiki tangga ke atas. Datin Zahrah dan Mya Zara saling berpandangan. Setelah mendapat isyarat dari umminya, Mya Zara meminta diri untuk naik ke atas.

Perlahan-lahan pintu bilik di bukanya. Kelihatan Luqman sedang berdiri di balkoni sambil menghembuskan asap rokok dengan kasar. Menyedari kehadiran Mya Zara, rokok di tangannya dilempar ke bawah. Sebelah tangannya lagi memegang telefon bimbitnya. Takut-takut Mya Zara datang menghampirinya.

"Awak pergi mana tadi Luqman? Awak dah makan?" tanya Mya Zara sambil perlahan mendekati Luqman dari sisi.

"Awak dah makan dekat luar ye?" Senyap. Tiada jawapan juga untuk soalan ke dua Mya Zara. Dia memberanikan diri memandang wajah Luqman yang keras tak beriak memandang ke arah kegelapan malam itu.

"Kalau awak belum makan, saya boleh siapkan. Saya bawa naik ke atas ye. Awak tunggu tau."

Baru selangkah diatur, tiba-tiba tangan Mya Zara ditarik kuat lantas badannya terpusing ke belakang lalu terpeluk tubuh Luqman. Badan Mya Zara menggeletar jadinya. Jantungnya berdegup kencang biarpun itu bukan kali pertama Luqman memeluknya seerat itu. Terkelip-kelip matanya menanti penjelasan Luqman atas tindakannya yang secara tiba-tiba seperti itu. Takkanlah sebab keprihatinan dia tentang hal makan pakainya sampai Luqman jadi terharu dan bereaksi sebegini? Mustahil.

"Awak jangan tinggalkan saya. Please... Jangan tinggalkan saya." Suara Luqman kedengaran begitu sayu sekali. Tidak lama kemudian dia menangis teresak-esak. Niat Mya Zara untuk meloloskan diri dari pelukan lelaki itu, terhenti. Jatuh kasihan pula dia pada lelaki itu. Apa agaknya masalah yang dihadapinya sehingga dia sesedih ini?

"Errr... Baiklah. Saya tak tinggalkan awak," balas Mya Zara sambil menepuk perlahan belakang tubuh Luqman. Itu sahaja yang mampu dikatakan. Cakap lebih-lebih, takut pula dimarahi nanti dan dituduh tak prihatin. Luqman mengeratkan lagi pelukannya dan Mya Zara hanya mampu berdiri tegak, tanpa sebarang kata.

Datin Zahrah yang kebetulan naik untuk memanggil Zara turun semula untuk minum malam sama hanya memerhati dengan senyum menggebu hati berbunga. Doanya, moga Allah kekalkan sahaja kasih sayang antara mereka berdua biarpun masing-masing masih belum kenal rapat sebelumnya.

KAHWIN GANTI EXTENDED VERSIONWhere stories live. Discover now