Lepaskan aku2

161 13 13
                                    

Pov 1 Hana

🌸🌸🌸🌸

Aku yakin Tuah mampu menampung beratku. Malangnya dahan tempat dia berpaut tak cukup kuat untuk menampung berat kami.

Krak!

Jerut tangan Tuah masih kuat walaupun dahan yang terkoyak mulai condong.

Aku menjenguk ke bawah. Tanah landai nampak begitu sayup. Harapan yang mustahil untuk aku gapai.

Itulah hakikat keadaan aku kini. Lantaran kecewa, aku putuskan untuk akur dengan takdir. Aku akan berputus asa. Memberi peluang kepada Tuah untuk meneruskan takdirnya yang gemilang.

"Tuah, lepaskan aku."

Suara lembut aku mengalih perhatian Tuah yang sedang melilau memerhati sekitar. Keningnya bertaut. Wajahnya yang penuh keringat tertera soalan bisu.

Air mata melimpah di pipiku lalu tersangkut di hujung bibir ketika aku ukir senyuman. Aku renung wajah Tuah dengan hati damai sambil melonggarkan pegangan di pergelangan tangan dia.

"Tak apa Tuah. Lepaskan aku."

Tiada perasaan yang berlegar di tampang Tuah. Hanya renungan yang semakin likat. Dalam ketidakpastian akan nasib diri, aku terus memujuk.

"Ini dunia kau, bukan dunia aku. Aku tak akan apa-apa. Jangan risau. Kau percayakan aku, kan? Macam kau percaya cakap aku sebelum ini."

Bibir Tuah masih terkunci. Dia menjelajah seluruh wajahku sebelum berpaling dan memejamkan mata.

"Lepaslah, Tuah. Laksamana Hang Tuah."

---------<----

Pov1 Tuah
🗡🗡🗡

Selain angin dan udara, antara aku dan Hana tiada penghalang. Kedua-dua rintangan yang bersifat halimunan menjadikan ruang pandang aku telus. Tangan Hana terbentang dengan kepala menengadah langit. Dia tidak menjerit. Andai posisi badan kami sama, had laju junam kami hampir separa .

Bagi mengurangkan rintangan udara dan menambah kadar kelajuan, aku rapatkan tangan dan kaki ke tubuh. Kemaraanku kencang bagai peluru penabur yang terlepas dari laras pemuras. Tiba ke sisi Hana, aku raih pinggangnya lalu putar posisi badan agar menegak. Kini badan Hana melekap di badanku. Setelah itu aku regang tangan kiri dan bersedia untuk memaut sasaran kedua. Selain batang tubuh Hana, dari awal lagi beberapa pokok yang tumbuh menjulur di tepi tebing menjadi sasaranku. Aku berjaya berpaut pada dahan tetapi daya hentakan melonggarkan pegangan tangan kanan. Akibatnya Hana melurut ke bawah. Kini seluruh berat Hana terbeban di genggaman tanganku.

Krak!

Dahan pokok melendut serentak bunyi kayu patah. Aku mendongak untuk menganggar keadaan dan mencongak masa yang tinggal sebelum berat kami tak tertampung dek pangkal dahan yang terkoyak. Mata melilau mengenal pasti keadaan sekeliling. Tanah landai tidak jauh di bawah. Namun andai terjatuh dari kedudukan ini, tiada kepastian kami akan selamat. Semasa memutuskan pilihan yang lebih baik, aku mendengar namaku dipanggil.

"Tuah."

Sekian lama berdiam diri, akhirnya Hana bersuara. Tiada cemas mahu pun takut di dalam lantun suara Hana. Malah namaku amat lunak bergetaran dalam corong telinga, berlanjutan melantun mencecah dinding hati. Pada saat cemas, warasku selalu kekal. Oleh itu, selain daripada pendapat bernas untuk mengatasi masalah, perkara lain tidak aku acuh. Tebing di belakang Hana lebih menarik perhatianku daripada suara dia.

"Tuah, lepaskan aku."

Lepaskan? Adakah aku tersalah dengar. Itu permintaan bodoh. Lalu aku tunduk untuk mengesah pendengaran. Ada air mata sedang meniti pipi lalu tersangkut di hujung bibir yang mengulum senyuman.

Kenapa dengan Hana? Bacaan pada wajah Hana membuat keningku berkerut. Adakah dia takut? Lantaran itu dia menangis. Kemusykilanku, andai takut kenapa senyum?

Dalam kebingungan, aku sedar dahan semakin melendut. Aku juga sedar raut Hana kian manis. Dua ulas bibir keringnya mengorak senyuman lebar. Kebingungan aku berterusan kerana air mata Hana turut lebat jatuh ke ruang kosong.

"Tak apa Tuah. Lepaskan aku."

Sungguh, wajah Hana paling mendamai ketika ini. Sorot matanya terang bak kejora yang menebar pesona kala malam tanpa bulan. Garis mukanya yang tenang mengaburkan warasku buat seketika. Sehinggalah Hana melepaskan genggaman tangannya di pergelangan tanganku, barulah aku sedar bicara lembut dan tunak pandangannya bermaksud membujuk. Dia tahu dahan tempat kami berpaut tidak dapat menampung berat dua badan. Lantaran itu dia rela... berkorban? Demi aku?

Jelas permintaan sebegitu amat bodoh. Namun jelas juga permintaan bodoh itu penyebab nafasku terlepas laju. Mata likat merenung Hana. Melihat bibirnya bergerak menutur pujukan lagi.

"Ini dunia kau, bukan dunia aku. Jangan risau. Aku tak akan apa-apa. Aku tahu kau percayakan aku. Sebelum ini pun, sebenarnya kau percaya apa yang aku cakap."

Di kala itu dada terasa bagai terhimpit. Udara susah disedut masuk mahupun keluar. Ada sesuatu yang menekan dada, memaksa memberinya jalan keluar. Jiwa berkecamuk. Perasaan yang telah lama aku hentak henyak, abaikan, bekukan, sedang merusuh. Aku tahu perasaan apa.

Rasa ingin dibelas, dikasihani. Perasaan sebegitu telah lama aku nafikan haknya untuk bertapak di nurani. Pada hematku sesuatu kurnia ada harganya. Keistimewaan dibalas hak istimewa. Kurnia dibalas korban. Lalu belas terhadap diri sendiri atau menerima belas kasih orang antara perkara yang pada hematku layak dikorbankan. Untuk itu senantiasa ada mereka atau dia yang aku mendahulukan.

Aku berpaling ke sisi dan memejam mata. Badan mengeras cuba memperkasa baris pertahanan terakhir hati. Rantai besi yang aku tebar berjaya melilit perasaan yang baru terkeluar.

"Lepaslah, Tuah. Laksamana Hang Tuah."

Sering diminta berkorban atau merelakan diri terkorban, aku terlupa hati bukan pualam. Pasti Hana tidak tahu harga huluran pengorbanannya pada aku.

Ketika aku buka mata, aku sedar ikatan besi telah hancur melebur. Aku gagal menyekat kemaraan perasaan yang melulu menembusi mata basah Hana.

Aku terharu. Aku gembira. Namun aku juga gusar.

Hei, gadis. Kau siapa mahu berkorban demi aku?
Aku ini Hang Tuah. Laksamana lawanku!

Lalu aku genggam erat pergelangan tangan Hana dan membantah.

"Usah harap! Andai dalam mimpi pun, kau tak akan aku lepaskan, Hana."

Itu permulaan aku memanggil dia dengan nama itu. Barangkali Itu juga permulaan nama itu terpahat dalam hati.

CINTA SANG LAKSAMANAحيث تعيش القصص. اكتشف الآن