Bab 1. DAERAH ASING

3.6K 223 34
                                    

Tubuh yang bergoyang-goyang membuatkan aku tersedar. Aku layankan aje pelupuk mata yang masih mahu melekap. Mulut terbuka luas menguap. Sayup-sayup kedengaran bisikan halus memupuk malas.

Mengantuknya. Cuti kot. Sambung tidur lagi.

Aneh kerana badan berterusan berayun-ayun. Andaian mudah yang menjalar ke akal pantas dipangkas. Bila masa aku tidur di buaian? Eh, mana ada buai dekat rumah.

Apabila goncangan semakin kuat sehingga badan melambung-lambung, terpaksa juga aku buka mata dan lepaskan geram, "Adooi!" Hajat hati nak mengamuk. Bengang betul bab tidur terganggu. Tak sangka hanya bunyi tarikan nafas tajam mampu keluar. Selebihnya suara tertahan dek silau senjata yang menusuk mata.

"Diam. Jikalau engkau tidak mahu mati."

Suara garau itu umpama deru angin musim dingin. Kasar dan tajam menghiris lapisan epidermis yang terdedah udara. Kesan suara sebegitu menggerunkan sesiapa yang mendengar.

Aku pandang hujung pedang yang tepat menghala ke dada. Perlahan-lahan gerak mata menelusuri bilah sehingga ke batang silang. Tangan yang mengenggam gagang nampak besar dan kekar. Genggaman pedang tidak kejap. Garisan urat hijau nampak jelas pada kulit cerah. Setelah itu barulah aku angkat mata melihat si pelaku jenayah. Seorang lelaki sedang bersandar di dinding. Matanya tertutup rapat.

Eh! Eh! Nak membunuh orang? Jangan main-main ekk sebab apa yang kau buat ini adalah perbuatan intimidasi jenayah. Kesalahan jenayah di bawah peruntukan seksyen 503 dan 506 Kanun Keseksaan. Sabit kesalahan boleh meringkuk 7 tahun dalam penjara, tahu! Melantun-lantun marahku di dalam hati. Habis terkeluar kutubkhanah minda.

Ketika ini sistem saraf simpatik telah mula memberikan tindak balas terhadap isyarat ancaman. Menyedari bahaya depan mata, tak akan aku nak buat bodoh dan tunggu pedang merodok badan. Mestilah aku nak selamatkan diri. Aku baru buka mulut untuk menjerit meminta pertolongan semasa hujung pedang naik ke batang tengkuk. Meskipun tertindih dengan kain tudung, aku dapat merasakan mata pedang menghiris kulit.

"Ini amaran terakhir. Jangan bising. Aku nak tidur sebentar."

What-the-heck! Kacau tidur sampai beria gertak nak membunuh bagai! Waras ke tak dia ni? Pekikan bergema dalam diri lagi. Siapa orang gila ini? Kenapa pula tiba-tiba Mamat sewel ni boleh berada dalam bilik aku?

Eh, sekejap...

Perlahan-lahan dua soalan terakhir tersebut membawa aku kepada gambaran lebih besar. Panik menyebabkan perkataan dengan tanda soal bertubi-tubi muncul di minda. Di mana? Macamana? Siapa? Bila? Kenapa? Anak mata berlarian pantas ke sekitar.

Hasilnya buat aku pegun. Lama terjeda.

Akal bagaikan berhenti berfungsi seketika sebelum mula bekerja lebih gigih. Mujur jantung masih tidak lupa pengepam. Ya, dalam kadar denyutan yang amat laju. Aku sedar, ilusi dan fantasi dalam gambaran terlalu nyata inilah yang mencetus takikardia. Dalam deru nafas yang kencang, aku perhati sekeliling sekali lagi. Apa yang dah jadi dekat aku?

Berkali-kali aku kerdipkan mata. Minda awal-awal menolak gambaran pandangan sebagai ilusi optik. Tidak ada cahaya yang direfleksikan oleh objek di antara empat dinding kayu yang memasuki lensa mata menipu akal. Kayu jelas nampak kayu. Manakala lelaki itu kekal lelaki. Perkara yang menipuku adalah keseluruhan rangka penglihatan yang tak munasabah ini.

Agaknya aku masih mamai. Sebab itu ruang asing di hadapanku kekal serupa. Kali ini aku memejam mata lebih lama sebelum membukanya kembali. Hati berkeluh kesah.

Hadoi, mimpi masih bereja. Tiada apa-apapun yang berubah.

Hakikat bahawa aku tidak berada di dalam bilik tidur dan aku tidak bersendirian membuatkan aku terlupa bahawa nyawa sedang bergantung di hujung pedang. Mungkin terlalu lama minda merayap, berpusing-pusing lalu berpatah balik, aku tak sedar bila masa pedang telah menjauhi rengkung.

Takut adalah perkataan pertama yang aku jumpa setelah habis berfikir. Perasaan itu memaksa aku menoleh dalam gerak yang amat berhati-hati. Dalam ketakutan, aku beranikan diri memerhati lelaki itu. Dia masih berada di sebelahku. Posisinya tidak berubah melainkan tangan yang masih kejap memegang pedang telah bersandar di paha. Nampak macam dia telah terlena. Kelopak nipis matanya tertutup rapat.

Apa lagi yang aku tunggu? Reaksi fisiologi telah tercetus. Respons pertahanan diri lari atau lawan telah diaktifkan. Plot untuk melepaskan diri mula rancak berlegar dalam kepala. Semua kemungkinan aku teliti. Jarak di antara pedang dengan aku. Jarak antara pintu keluar dengan tempat aku berbaring. Sejauh mana ketakutan masih mengerumuni diri. Semuanya aku timbang dengan teliti. Namun segala-galanya sia-sia belaka tatkala tengkuk lelaki itu terlentuk ke sisi.

Muka dia menghadap aku. Cis! Tak guna betul! Macam tahu-tahu je aku nak cabut lari. Berselang-seli aku lemparkan pandangan ke arah mata lelaki itu dan tangannya yang kemas memegang pedang. Keputusan yang ada menghampakan. Aku lebih percayakan kata-kata lelaki itu tadi dan tangannya daripada keyakinan aku sendiri. Dengan kata lain, aku masih takut! Lalu apa yang boleh dilakukan oleh si pengecut? Pejam mata rapat-rapat dan berdoa agar cepat tersedar. Aku yakin sangat ini hanyalah mimpi. Mimpi yang seakan benar.

Dengan tubuh yang masih bergoyangan, walau tidak mengantuk, kepala terasa pening. Aku senandungkan kata-kata memujuk diri.

"Hendak gugur, gugurlah nangka,
Jangan ditimpa si dahan mangga.
Hendak tidur, tidurlah mata.
Jangan bermimpi si teruna gila."

CINTA SANG LAKSAMANAOù les histoires vivent. Découvrez maintenant