Bab 4 PERGILAH AWAN.

1.6K 139 25
                                    

Keanehan adalah kejadian luar batas kebiasaan yang dipersoal akal dan diperbahas logik. Hal itulah seharusnya berlaku pada aku sekarang. Entah kenapa, peristiwa semalam dan hari ini elok sahaja hati menerima tanpa prasangka. Jiwa cukup tenang seolah-olah tiada apa-apa yang bakal berlaku esok dapat meragut kedamaian hari ini.

Dengan kata lain, kalau lautan depan mata aku ini tup-tup tertunggang terbalik upside down macam pengalaman Kaptan Jack Sparrow dalam pencarian hujung dunianya, aku rasa aku boleh duduk diam-diam dekat anjung kabin ni. Buat dek je.

Mungkin pembohongan adalah perkara yang jiwa aku perlukan ketika ini untuk mengubat lara hati. Manakala akal perlukan ilusi untuk mengaburi hakikat. Kenyataan bahawa diri rela dipermainkan oleh fantasi sememangnya menyedihkan. Jelas sangat jiwa aku amat lemah sehingga sanggup membiarkan diri diperdaya helah minda.

Ketika ini gugusan gemawan berselerak di langit menghadang terik mentari. Bahang panas menghangatkan kapal, lekas mengeringkan kayu di geladak yang basah terpercik air masin. Berada di bawah teduhan anjung kabin tingkat atas memberi seribu rahmat dan kedamaian buatku. Tempias gelora laut yang menyimbah kapal tidak aku halang. Dengan senang hati aku tadah muka membiarkan titis masin merenik wajah. Kerana aku tahu silir-semilir samudera akan mengeringkan kesan basah.

Mungkinkah jika aku akur menerima hukum alam, hati akan menjadi lebih tenang? Mungkinkah andai aku pasrah, jiwa akan senantiasa damai sebegini? Entah apa perlunya bangkit melawan derita. Untuk aku buktikan keunggulan sebuah cinta? Cinta yang telah pergi tetapi masih aku cuba pertahankan. Meskipun dengan menikam hati sendiri?

Di luar, ombak laut masih garang menghentam kapal. Genta Segara meluncur laju menyaingi kapal lain. Buih berasak-asak timbul di laluan Genta Segara lantas membentuk garis putih panjang di permukaan lautan. Kocakan bak buih sabun itu tidak kekal. Gelembung udara akan pecah menghapuskan jejak pelayaran lalu bersatu dengan lautan semula. Andai sahaja cerita pilu yang pernah hadir di dalam hidup ini bagaikan buih. Cepat mengelembung cepat jua pecah dan lenyap. Pasti luka hati ini lama telah sembuh.

Puas memerhati air laut, aku lepaskan pandangan ke tompokan putih di dada langit. Awan berarak gemalai galak menggamitku agar bermain teka bentuk dengannya. Permainan yang suatu ketika dahulu sering menghanyutkan masa aku dengan Iqbal sehingga lewat petang. Sambil bersembunyi atas pokok menunggu rakan-rakan yang menjadi ibu menjumpai kami, Iqbal akan melekakan aku dengan bermain teka bentuk awan.

"Ikan? Arnab? Kucing?" Aku yang dua tahun lebih muda daripada Iqbal hanya meneka secara rambang. Usia mentah memudahkan Iqbal melabel ketidakmampuan akal aku.

"Ishh, bodoh! Itu bentuk love la." Seawal usia sepuluh tahun Iqbal telah kenal simbol cinta. Aku yang kegelisahan kerana telah terlalu lama bersembunyi menyuarakan kebimbangan. "Iqbal, tinggal kita berdua ni. Mana dia orang?"

"Ala, biarlah dia orang. Iqbal nak kawan dengan Hana aje," ujar Iqbal.

"Kenapa tak nak kawan dengan semua orang? Mereka buat jahat dekat Iqbal ke?"

"Tak, mereka baik juga macam Hana. Tapi Hana istimewa," Iqbal tersengih-sengih sehingga menampakkan dua batang gigi kapak. "Istimewa macamana?"
Aku masih tidak memahami maksud Iqbal.

"Hana tak pernah marah Iqbal. Hana tak kisah pun kalau Iqbal lari lambat masa kita main galah panjang. Hana tak pernah bersungut kalau baju Iqbal berbau busuk. Hana selalu tolong Iqbal dan ayah di pasar. Sebab itulah Iqbal nak kawan dengan Hana seorang sahaja."

Penjelasan panjang lebar Iqbal tak masuk dalam kepala aku sangat tetapi pembuktian kasih Iqbal berpanjangan dari kecil sehinggalah dewasa. Sebaik sahaja dia mempunyai pekerjaan tetap, aku terus dilamar menjadi suri hatinya. Dialah sahabat baik dan tunangan aku.

Awan mungkin dapat menyembunyikan bayangan Iqbal tetapi tidak di dalam dada aku. Lelaki itu masih tersemat erat di dalam hati walaupun dia tak akan dapat aku temui lagi buat selama-lamanya.

Hana akan selamanya mencintai Iqbal. Sampai bila-bila.

Hati berikrar dalam kepedihan. Perlahan-lahan aku tundukkan kelopak mata seiring gerakan kepala sehingga menyendal paha. Kedua tangan aku lingkarkan ke sekeliling lutut, memaut kuat kaki atau memaut kekuatan diri sebenarnya. Air mata aku tumpah lagi buat ke sekian kali.

Entah bila Lekir duduk berdekatan, aku pun tak pasti. Muka lelaki itu agak kelat macam termakan buah ciku mengkal. Ada bungkusan daun pisang di tangan Lekir. Teragak-agak dia menegur aku.

"Er... Ini makanan untuk cik."

Orang memberi, aku menerima. Huluran Lekir aku sambut cepat-cepat. Simpati pula melihatkan raut Lekir yang berkemungkinan bersimpati melihat raut aku.

"Encik..."

"Hana." Mudah memotong cakap Lekir. Patah sebutan kata dia lambat-lambat. Percakapan aku laju.

"Hana tidur sahaja di kamar semalam. Pada hemat saya, daratan sudah tidak beberapa jauh."

"Lelaki garang tu tak marah ke? Itu bilik dia ye?" Aku nak sebut lelaki gangster tapi aku tahu Lekir mesti tak faham. Lebar senyuman Lekir. Sebelah tangan Lekir menghadang bibirnya dari membunyikan ketawa yang kuat. "Tidak usah khuatir, Hana. Saya akan uruskan hal itu." Perlakuan Lekir menggelikan hati. Macamlah ada orang lain dekat situ yang beriya dia nak berbisik bagai. Tak tahulah pula kalau dinding di belakang aku boleh mendengar. Kebaikan Lekir aku balas dengan senyuman lebar juga. Nak bagi duit, aku rasa Ringgit Malaysia di dalam dompet mungkin tak berguna buat Lekir.

"Terima kasih banyak-banyak, Lekir. Baiknya awak ni."

Perut dah kenyang, aku tak sedar masa bila aku terlelap. Aku hanya nampak garis lurus papan siling kabin sebelum memejamkan mata.

CINTA SANG LAKSAMANAWhere stories live. Discover now