Bab 8 AKU PANDANG DIA, MEREKA PANDANG AKU

1.3K 134 30
                                    

Perarakan Diraja, di ceruk dunia dan zaman manapun tak terlepas dari tiga perkara iaitu istiadat, azmat dan gah. Atau dalam bahasa mata aku, kuasa super, gempak dan extravaganza. Tiga sudut penonjolan yang sengaja diwujudkan oleh manusia lalu diperakui dan dijunjung oleh spesies yang sama. Perkara yang membawa manusia kepada jurang diskriminasi yang menenggelamkan hakikat bahawa warna darah manusia tetap sama merahnya walau warna kuning dikhaskan menyaluti tubuh mereka.

Beberapa kelompok manusia tenang berdiri tidak jauh dari tempat aku. Biduanda yang lengkap dengan keris panjang dan pendua. Sebahagian mereka memegang panji-panji, payung iram kuning dan cogan alam. Perdaraan dan perawangan yang menatang dulang hantaran dan hadiah serta kumpulan nobat, hulubalang dan golongan bangsawan dan Raja-Raja Melayu.

Aku menyelitkan diri di celah geng hulubalang Sultan yang melepak di bawah teduhan Ketapang rendang. Seorang perempuan dikelilingi lima hulubalang yang gagah perkasa; Hang Ali, Hang Husin, Hang Hasan, Hang Iskandar dan Hang Lekir. Mahunya aku tak perasan diri bagaikan puteri. Hati ketawa girang.
Hahaha. Hana, Hana.

"Kita tunggu apa, Iskandar?" tanyaku setelah berdiri di tempat yang sama hampir setengah jam. Marah dan geram telah luntur dalam hati. Sebaik sahaja menjejakkan kaki di daratan, Iskandar dan rakan-rakannya bertukar personaliti. Hilang terus seri manis di muka mereka berganti raut serius dan bersiaga. Tak seorangpun bergurau-senda apatah lagi mengungkit peristiwa yang memalukan tadi.

"Wakil dari istana Majapahit akan datang ke sini menyambut Paduka Sultan."

"Itu ke?" Aku muncungkan mulut ke hujung jalan. Sekumpulan penunggang kuda sayup kelihatan dari jauh. Debu berterbangan mengiringi mereka. Derap kaki kuda menggegar tanah. Iskandar tidak menyahut sebaliknya dia dan rakan-rakannya bergegas menyertai Tuah, Jebat dan Lekiu yang sedang berdiri di sisi Sultan Mansur Syah.

Seorang lelaki turun dari kudanya dan memberi sembah hormat kepada Sultan Melaka. Kumpulan berkuda itu kemudiannya bergerak ke belakang rombongan Melaka, memberi laluan kepada kumpulan kedua yang hadir di belakang mereka. Turut menyertai mereka beberapa bilangan kuda dan gajah.

Para hulubalang Melaka, bangsawan dan Raja-Raja Melayu pantas naik ke belakang kuda yang diberikan, mengambil posisi di hadapan Biduanda, meninggalkan Sultan Mansur Syah dan Tuah lapan sekawan yang masih berdiri di tempat yang sama.

Manusia, walau berbeza mana penampilan diri, aku tak hairan sangat. Tapi gajah? Binatang darat paling besar di dunia, walau berdiri bodoh sudah cukup untuk menarik semua perhatian aku apatah lagi lengkap berhias. Jinak betul! Dia buat tak kisah dengan kebanjiran manusia di sekelilingnya. Satu hal yang menarik perhatian aku adalah kehadiran seorang lelaki kurus di sisi gajah. Lelaki itu mewakili kenyataan bahawa saiz fizikal bukan penentu kekuatan sebenar makhluk.

Cayalah! Pak Cik itu lagi power daripada gajah. Hanya satu isyarat tangan dari serati sudah cukup untuk menderumkan binatang gergasi itu. Kepala Sang Gajah tunduk menyembah di hadapan Sultan Melaka sebelum duduk melipat kaki di tanah. Dipanah terik mentari, kain sulaman benang emas yang menutupi kulit berkedut Gajah galak memancarkan kilau. Pendaran itu bagai menggamit-gamit aku agar merapatinya. Di luar kesedaran, kaki menapak keluar dari teduhan pohon Ketapang. Aku mencari sudut yang dapat mempertontonkan imej gajah dan seratinya dengan lebih jelas. Mata tak lepas memandang gajah yang rupanya dah macam binatang sarkas.

Amboi! Siap berdandan bagai, ye. Kelas kau Jumbo. Asyik memerhati Si empunya mata kuyu nan akur, aku tak sedarpun semua mata di sekitar aku sedang memusatkan pandangan ke arah aku. Itu adalah impak daripada sepasang mata yang mendahului mereka memerhati aku.

Intuisi aku sering benar. Deria keenam atau extra-sensory perception memperdengarkan bisikan halus di telinga, "Ada sesuatu yang tak kena." Di sebalik kepercayaan psikik itu, aku tahu bukan gerak hati yang memberikan amaran. Gabungan gelombang beta dan alpha minda telah meningkatkan kepekaan inderaku lantas memberitahu tubuh akan wujudnya keadaan yang janggal ketika itu.

CINTA SANG LAKSAMANAWhere stories live. Discover now