Bab 2 DIA YANG COMEL

2.3K 153 34
                                    

Tak sangka dalam takut, aku boleh terlena. Langsung tak sangka, mimpi ini belum berakhir. Saat mata terbuka, tubuh masih berbuai-buai. Aku tetap terperangkap dalam mimpi yang sama. Terkurung dalam kamar sempit bersama seorang lelaki.

Bezanya pada perasaan aku. Ketakutan telah hilang berganti asyik?
Entahlah. Tetapi mungkin betul sebab semakin lama aku pandang wajah lelaki itu, makin aku nak pandang lama-lama. Kucing comel, teddy bear comel, itu biasa. Lelaki comel? Dalam Astro Korean Pack memang banyak. Kalau depan mata? Jawapan yang aku ada bak kata P. Ramlee dalam filem Nujum Pak Belalang, jarang-jarang.

Daripada berbaring aku bingkas duduk menghadap lelaki itu. Reaksi terlajak berani aku kerana lelaki itu bukan lelaki semalam. Aku pamerkan senyuman. Leretkan simpulan bibir. Mulut tidak sabar menyapa tetapi tak tahu nak kata apa. Kalau di alam nyata, sudah lama aku tegur, "Awak ada aura K-Pop la."

"Cik baik-baik kah? Boleh berjalan? Biar saya mengiringi cik keluar."

Lembutnya nada pujukan dia. Kalau bukan bertujuan menghalau, akan aku turutkan. Ironi, aku tengok muka dia lagi pucat daripada muka aku. Siap picit-picit kepala lagi. Silap gaya aku pula yang kena papah dia berjalan.

"Keluar, nak ke mana?" Walau tidak ke mana-mana, aku kena tahu keberadaanku. Empat dinding kayu ini tidak mungkin akan bersuara jika aku bertanya soalan yang sama.

"Dari mana cik datang."

Hampeh! Jawapan serupa macam soalan, daa. Engkau tanya aku balik? Kau tahu ke dari mana aku datang? Aku pun tak pasti, encik oii! Kata-kata itu aku lepaskan dalam hati sahaja. Mulut masih menutur sopan. "Hurm, dari mana ya?" Aku gelak-gelak cuba selindung apa yang aku rasa. Aku rasa ini hanyalah mimpi. Mimpi yang bertali. Panjang pula talinya, huh!

"Bukan dari kamar bahtera ini," jelas pemuda itu lagi.

Aaa! Bahtera? Patutlah badan asyik membuai-buai. Siap pening lagi. Aku berada atas kapal laut rupanya. Maklumat itu buat aku rasa nak hantuk kepala sekuatnya ke dinding. Biar tak sedar diri pula. Mana tahu boleh terjaga dari lena, boleh keluar dari mimpi. Mengenang pelayaran mempunyai destinasi, kecut perut juga meneka penghujung pelayaran.

"Kenapa saya kena keluar dari sini?"

Lelaki itu lepaskan ketawa. Dinamik deraian tawanya merdu dari crescendo ke decrescendo. "Tidak molek cik berlama-lama di sini. Kamar ini dihuni lelaki."

Tangan mengosok dahi. Aku rasa aku tahu kenapa lelaki itu menggantikan lelaki kelat, beku dan bengis yang mula-mula aku jumpa. Dia mungkin perunding atau pengantara lelaki semalam, tuan kabin ini.

"Awak nak halau saya dari sini?" Sengaja kulirihkan suara meraih simpati.

"Cik tidak berhak berada di kamar ini. Kamar ini ada tuannya."

Lembut sahaja lelaki itu menutur jawapan. Dah la muka comel, mulut pandai memujuk. Di mana kelemahan lelaki ini?

"Jadi, awak mahu saya melepak dekat luar sana?"

Wajah pucat lesi itu tidak bereaksi. Aku tak tahu apa yang dia fikir. Namun gerak hati mengatakan dia boleh kugantung nasib di sini. Sekurang-kurangnya air muka lelaki ini sedikit bersih daripada lelaki pertama yang aku jumpa.

"Tuan hamba boleh berpindah ke kamar lain yang selayaknya dan selamat."

Ooo begitu ke. Ada banyak kabin lain rupanya. Namun lelaki itu masih bertegas nak halau aku? Masalahnya...

Aku tak ingin nak berlama-lama dekat sini.

Aku tak nak cari masalah lagi.

Aku dah penat dengan masalah aku sendiri.

Aku malas dah nak fikir hal orang lain.

Kau faham tak?

Mestilah kau tak faham sebab kau tak dengar jeritan hati aku ini. Lama juga otak bekerja keras sebelum idea menyinggah. Aku keluarkan sesuatu dari beg galas. Empat biji gula-gula mentos terdampar atas tapak tangan.

Hehehe Umpan! "Ambillah. Boleh kurangkan pening."

Kening lelaki itu berkerut seribu semasa memandang aku. Sorot mata kuyunya penuh syak wasangka. "Takde maknanya aku nak racun kau." Lantas aku ambil sebiji gula-gula dan hisap. Nyaman yang datang segera mendamaikan kepala. Agaknya, setelah nampak aku masih hidup dan mampu tersengih-sengih, barulah lelaki kurus itu percayakan aku. Dia mencapai baki gula-gula.

Seketika kemudian, aku boleh lihat mata tak bermaya lelaki itu kian segar. Begitu juga dengan wajahnya, telah berwarna. Umpan dah kena, baru aku berani mencuba nasib. Aku gunakan kemahiran utama yang aku miliki, berunding.

"Saya setuju untuk keluar dari sini. Tapi boleh tak awak jangan hantar saya ke tempat lain lagi? Bagi saya sedikit masa untuk berfikir." Aku hulur tiga biji gula-gula lagi sebagai balasan rundingan. Siapa sangka lelaki itu terus mengambilnya.

"Baiklah. Mari kita keluar dari kamar ini dahulu."

Sebaik sahaja lelaki itu menolak daun pintu, tiupan angin buas terus menerpa tubuh. Spontan aku jadikan tangan sebagai perisai untuk menghadang kekasaran alam ke atas kulit muka. Namun aku gagal mengelak hawa dingin menyentuh tubuh. Dalam masa yang sama telinga menangkap kehadiran debur kuat ombak.

Hajat nak mengintai keadaan tidak kesampaian apabila kedudukan kapal tiba-tiba sahaja tidak stabil. Aku pegang rangka pintu kuat-kuat apabila tubuh tertunduk mencerun sehingga 30 darjah. Elok kaki berubah pasak, badan pula melambung ke belakang. Kaki kiri terangkat ketika aku cuba mengimbang badan. Keadaan terolang-aling berterusan selama beberapa ketika.

Sejurus, muncul ngauman yang menakutkan dari sebelah kanan kapal. Dalam posisi hampir tertirap kemudian terlentang, aku berusaha mengangkat muka mencari penjelasan keadaan yang sedang menghuru-harakan aku. Apa yang terbentang depan mata membuatkan aku terlupa di alam mana aku berada.

CINTA SANG LAKSAMANAWhere stories live. Discover now