Bab 6

10.4K 445 8
                                    

TUALA kecil yang disangkut ditengkuk ditarik dan dibawa mengelap peluh diwajah. Topi di atas kepala diangkat dan tuala kecil itu digosok-gosok perlahan di bahagian rambut depannya yang basah dengan peluh. Lariannya makin lama makin perlahan dan akhirnya dia berjalan santai sambil menghirup udara segar pagi itu. Kawasan hujung tasik yang selalu menjadi tempat persinggahannya selepas jogging dituju. Sambil berjalan, Fahri melakukan regangan kecil sebelum matanya menangkap figura seorang perempuan yang duduk di atas rumput sambil menangis.

Drastik langkah kakinya terhenti dan mengundur beberapa langkah ke belakang, risau kehadirannya di situ disedari. Bergerak sedikit ke tepi dan berselindung jauh di sebalik sebatang pokok besar, wajah wanita itu diamati. Berkerut-kerut dahinya sebelum bibirnya mengukir satu senyuman lebar bila wajah itu dikenal pasti.

Wanita itu?

Mana mungkin dia bisa lupakan wajah itu walaupun baru sekali dia melihat 2 minggu yang lepas. Tanpa menghasilkan sebarang bunyi, Fahri melangkah lagi mendekat mahu melihat dengan lebih jelas dan terang. Wajah wanita itu merah dan sembab. Air mata tak henti-henti mengalir dipipi mulus itu. Wanita itu kelihatan begitu larut dalam perasaan sedihnya.

Bagaimana wanita itu boleh berada di sini? Boleh dikatakan kerap kali dia akan jogging di taman rekreasi ini jika tidak ke gym. Ada muka-muka yang dikenali kerana sering kali bertembung dan berbalas senyuman walaupun tidak bertegur sapa setiap kali datang ke sini. Tapi wanita ini rasanya pertama kali dia jumpa di sini. Sudahlah wanita itu memilih untuk duduk di tempat kegemarannya yang jauh dari orang ramai dan sunyi. Berani betul. Dahlah perempuan, bersendirian pula tu.

Setiap tingkah laku wanita itu diperhati tanpa lepas. Dari duduk bersila, wanita itu membawa kedua kakinya rapat ke dada, menongkat dagu di atas lutut. Tak lama kemudian, wajahnya disembamkan pula ke lutut. Terhinjut-hinjut bahu wanita itu.

Fahri berpeluk tubuh. Sepertinya wanita itu dalam kesedihan yang tak terbendung. Nalurinya mendesak-desak supaya dia pergi kepada wanita itu dan memujuk. Namun akal warasnya lebih memilih untuk melihat saja dari jauh. Sekarang bukan masa yang sesuai untuk dia terjah sesuka hati. Mungkin wanita itu perlukan ruang untuk bersendirian.

Beberapa minit berlalu Fahri masih di situ memerhati wanita itu melayan perasaan. Sepatutnya dia pulang saja tapi hatinya begitu kuat untuk terus berada di situ. Tak sangka dia akan bertemu wanita itu lagi. Jodoh dan ketentuan seiring masuk ke dalam takdir hidupnya?Fahri tergelak didalam hati.

Ini bukan satu kebetulan. Tiada istilah kebetulan dalam hidup ini. Semuanya telah tertulis dalam lipatan hidup setiap orang. Dan sekarang sekali lagi wanita itu muncul mencuit tangkai hatinya. Sewaktu pertama kali dia bertentang mata dengan wanita itu di hospital tempoh hari, jantungnya tiba-tiba berdebar sakan. Lagi menggila bila melihat wanita itu tersenyum manis hingga terbentuk satu lekuk dalam di pipi kanan.

Senyuman itu bukan untuknya. Dia tahu itu. Sejak pertemuan singkat tanpa suara antara dia dan wanita itu, hampir setiap masa wajah itu muncul di ruang matanya, mengganggu fikirannya dan mengocak ketenangan jiwanya. Dan dia sudah cukup dewasa serta matang untuk menilai apa perasaan yang dia rasakan itu.

Tambahan pula, dengan perbualan antaranya dengan umi mengenai wanita itu beberapa hari lepas, membuatkan dia lagi teruja untuk mengenali wanita itu dengan lebih dalam. Nampaknya takdir betul-betul menyebelahinya. Hari ini takdir mempertemukan mereka sekali lagi dan dia akan pastikan sentiasa ada pertemuan antara mereka selepas ini.

Tersenyum kecil Fahri melihat gelagat wanita itu yang mencabut-cabut rumput kecil di tepinya sambil sebelah pipinya elok terlentok di atas lutut. Dah tak menangis tapi mata itu masih terlihat duka. Apa sebenarnya yang membuatkan wanita itu begitu sedih?

Kerana Terluka [BAKAL TERBIT]Where stories live. Discover now