Bab 3

364 26 0
                                    

Ashriq perhatikan Sumaiyyah yang ralit menjamu selera di pantry. Sumaiyyah langsung tidak sedar dengan kehadirannya.

Leka perhatikan Sumaiyyah, tiba-tiba Sumaiyyah berpaling.

"Uhukk! Uhukk!" Spontan Sumaiyyah terbatuk.

Cepat Ashriq masuk ke pantry dan menekan air coway sejuk ke dalam gelas lalu dihulur kepada Sumaiyyah.

"Terbatuk sebab tengok saya ke?" Soal Ashriq dengan senyuman bergayut di bibir.

"Taklah." Sumaiyyah sambung makan sedangkan ikutkan hati dia mahu tutup tudung tupperware dan terus keluar dari situ.

Tengah sedap-sedap makan, nampak sahaja muka tuan haji terus dia terbantut selera nak makan.

"Bawa bekal dari rumah?" Soal Ashriq lagi walaupun dia sudah ada jawapannya. Dia labuhkan duduk bertentangan dengan Sumaiyyah. Wajah wanita bertudung merah jambu itu ditilik tak lepas. Manis dengan tahi lalat di tepi bibir.

Sumaiyyah angguk.

"Masak sendiri?"

Sumaiyyah angguk lagi.

"Untungnya kalau dapat jadikan wanita seperti awak sebagai isteri. Mesti perut pun terjaga."

"Uhukk!" Buat sekian kalinya Sumaiyyah terbatuk. Merah mukanya. Dahlah dia makan sambal tempoyak, cili api pula pedas. Sekali tersedak memang pedih.

Ashriq sengih lebar. Semakin hari Sumaiyyah nampak semakin menarik di matanya. Sikap kelam-kabut dan gelabah Sumaiyyah satu daya penarik baginya.

Sudah banyak kali dia melihat Sumaiyyah makan di pantry bersama Fatimah. Tetapi hari ini Sumaiyyah sendirian sebab itu dia berani menegur. Fatimah mengambil cuti sakit, demam kus-kus katanya.

"Tuan Haji dah makan?" Segan dengan lirikan sepasang mata Tuan Haji, Sumaiyyah bertanya. Mahu tak segan apabila sepasang mata helang Tuan Haji asyik merayap ke sekitar wajahnya. Ada apa-apa yang tak kena dengan wajahnya ke?

Ashriq angguk. Matanya mengerling ke dalam bekas makanan Sumaiyyah. Lauk kampung. Nampak pun dah menyelerakan.

Lantas Sumaiyyah bangun membasuh tangan.

"Dah kenyang ke?"

"Kenyang. Alhamdullilah." Sumaiyyah berpaling sambil menarik sehelai tisu dari atas meja lalu dilap ke mulut dan tangannya yang basah.

"Bukan sebab saya kacau awak makan?"

"Taklah." Sumaiyyah senyum segarit sedangkan dalam hati mengiakan.

"Petang ni saya hantar awak balik?" Ashriq bangun. Dia masih belum puas berbual dengan Sumaiyyah. Bukan mudah mahu berjumpa dengan Sumaiyyah. Sumaiyyah nampak dia macam nampak pocong. Terus pucat wajah putih bersih itu.

Cepat Sumaiyyah menggeleng. Dah kenapa Tuan Haji nak hantarkan dia balik? Taktik nak mengorat ke ni?

"Tak nak?" Soal Ashriq dengan matanya tak lepas memerhatikan tindak tanduk Sumaiyyah yang sedang mengemas bekal.

"Tak payah Tuan Haji. Rumah kita bukan dekat-dekat pun. Buat habis minyak kereta aje."

Terangkat kening Ashriq dengan jawapan Sumaiyyah.

"Tak apalah. Saya bermurah hati nak hantar awak."

"Saya tak nak susahkan sesiapa Tuan Haji. Masa sekarang iya lah sebab bermurah hati. Nanti bila ada masalah sikit mulalah nak mengungkit."

Berkerut kening lebat Ashriq. Ada masalah? Mengungkit? Dia ke yang Sumaiyyah maksudkan?

Tak sempat dia mahu bertanya lebih lanjut, Sumaiyyah sudah menghilang. Bab melarikan diri dan menghaibkan diri Sumaiyyah memang cekap.

Zass! Hilang!

*****

"Ya nek."

"Assalamualaikum." Hajah Rafeah memberi salam. Cucunya kalau mengangkat panggilan selalu tak beri salam.

Sumaiyyah ketawa di hujung talian.

"Waalaikumussalam. Ada apa nek?"

"Haih, ada hal baru boleh nak telefon ke?"

"Bukan macam tu maksud Maiyah. Tapi nek kalau tak ada hal tak adanya nak call malam-malam macam ni."

"Minggu depan dah cuti sekolah. Tak nak balik ke?"

Sumaiyyah senyum. Memang dia berkira-kira nak balik kampung sepanjang dua minggu cuti sekolah ni. Lagipun kampungnya dengan tempat kerja lagi dekat. Nama aje kampung sedangkan satu negeri.

"Maiyah baliklah. Macam biasalah nek, cuti aje Taqif memang nak tinggal dengan Yang Aki dan Yang Peah kesayangannya."

"Yelah tu. Taqif mana?"

"Dah tidurlah. Letih katanya. Hari ini kena buat kira-kira banyak."

"Haishh.. Apa yang kena kira-kira banyak? Budak baru 7 tahun kut." Hajah Rafeah sudah mengeluh. Dengan beg beratnya, langsung tak sesuai.

"Biasalah nek. Sekarang silibus sekolah bukan macam dulu. Makin maju, zaman moden kan."

"Hurmm.. Kesian Taqif." Terbayang raut wajah cicitnya yang tembam.

"Janji ya kamu balik." Sambung Hajah Rafeah mengingatkan Sumaiyyah. Kalau dia tak ingatkan, Sumaiyyah bukan nak balik awal-awal. Kadang dah tiga hari cuti, baru nampak batang hidung Sumaiyyah dengan Taqif. Itu pun puas dia telefon.

"Iya nek."

"Eloklah. Dah lah pergilah rehat. Kamu pun mesti penat."

"Maiyah tengah tengok drama ni. Nek tak tengok ke? Syukri Yahya berlakon ni."

"Kamu samalah dengan atuk tu, melangut depan tv. Nek cakap apa pun buat tak layan. Suka sangat tengok si Syukri tu."

Sumaiyyah ketawa.

"Hensemlah dia nek." Tokoknya dalam sisa tawa.

"Kamu jangan nak macam-macam. Laki orang tu." Nada suara Hajah Rafeah berbaur amaran.

"Maiyah suka tengok dia berlakon aje. Bukan suka sebab nakkan dia lah nek."

"Nek tahu. Tak adanya dia nakkan kamu. Bini dia punya cantik."

"Nek!" Terjerit Sumaiyyah. Sempat lagi Hajah Rafeah bahankan dia.

Hajah Rafeah ketawa. Seronok dia kenakan cucunya. Sebenarnya dia rindukan cucunya. Dah sebulan cucunya tak menjenguk. Hanya sekadar bertanya khabar di telefon. Bercakap di telefon manakan sama dengan bersua muka.

"Malaslah cakap dengan nek." Sumaiyyah tarik muncung.

Makin galak Hajah Rafeah ketawa.

"Penat dah nenek gelak ni. Kering tekak juga melayan kamu. Nenek letak dulu lah. Atuk kamu pun dah jeling semacam." Hajah Rafeah mengerling suaminya yang kerap memandang ke arahnya.

"Yelah. Selamat malam nek. Mimpi indah-indah tau."

"Tak ada maknanya nak mimpi indah. Atuk kamu tu berdengkur kuat. Nek mimpi berperang adalah."

Terhambur tawa Sumaiyyah.

"Kamu tu mimpi indah-indah. Buka hati terima orang lain. Kamu tu muda jelita lagi."

"Okeylah nek. Maiyah ngantuk dah ni. Assalamualaikum." Cepat Sumaiyyah putuskan talian bila neneknya sudah melencong. Dia tahu maksud neneknya itu. Neneknya tak putus-putus mengusulkan jodoh buatnya. Ada sahaja yang Hajah Rafeah itu berkenan untuk dijadikan cucu menantu.

Sumaiyyah kembali menonton tv. Menonton drama kegemaran ramai iaitu, andai itu takdirnya. Menyakitkan hati tetapi dia lah salah seorang penonton yang setia mengikuti setiap episod drama tersebut.

Dia suka bazirkan air mata di setiap episod. Maklumlah air mata kan percuma. Tak perlu keluar duit, tahu-tahu hidung dah tersumbat, mata pula berair sebab sedih sangat.

Kalau esok bekerja, ramailah menegur sebab mata dia kelihatan sembab. Puas dia tempek foundation namun kelopak mata dia tetap bengkak. Penangan Syukri Yahya punya pasal.

"Hishh.. Apa ke bodoh sangat heroin ni." Mulutnya terkumat-kamit mengata heroin.

Sesekali tangannya ligat mencapai keropok pringles di sebelah. Sambil menonton tv, sambil mengunyah barulah asyik. Ala-ala tengok wayang.

sentuhan cinta tuan hajiWhere stories live. Discover now