Prolog

137 33 0
                                    

Aayiz memandang tapak tangan sendiri. Digenggam rapat sebelum dibuka semula perlahan-lahan.

Melekit.

Tapak tangannya hanyir, basah, dan terasa hangat diselaputi dengan cecair merah gelap.

Mungkin itu darah.

Kepalanya mendongak ke arah dada langit. Kelam. Ruang angkasa yang terbentang luas pada malam itu, dihujani dengan ribuan bintang yang terang berkelipan terlihat sangat cantik. Sesungguhnya ciptaan tuhan itu semuanya indah belaka.

Namun semua itu sedikitpun tidak membuat hatinya terasa lega.

Aayiz pejam mata rapat. Seakan mahu semuanya hilang dan lenyap saat ini. Serabut. Kepalanya sakit berdenyut. Tak lama kemudian terdengar bunyi guruh berdentum. Menandakan yang tak lama lagi bumi akan disirami dengan air hujan.

Hujan.

Aayiz masih lagi statik tegak. Masih bersoal jawab dengan diri sendiri. Masih menyoalkan takdir diri.

Dan,

Masih menyesali perbuatan tadi.

Aayiz kalih muka, tubuh yang berlumuran darah di hadapannya itu ditatap dengan wajah yang kosong. Kemudian matanya teralih pula ke arah satu pisau dapur yang tercacak betul-betul pada dada lelaki yang terbaring kaku itu.

Kesalkah dia?

Kesalkah dia kerana membuat tindakan sebegini?

Entah,

Dia sendiri tidak pasti tentang perasaannya. Kalau benar dia menyesal, bukankah sepatutnya dia harus cepat-cepat menelefon ambulance?

Atau,

Kalau benar dia menyesal, setidaknya dia sudah menelefon polis sekarang ini.

Soalan-soalan itu hanya berlegar di ruang minda. Tanpa ada jawapan atau keputusan akhir. Sememangnya daripada dulu lagi Aayiz sukar untuk membuat keputusan sendiri, lebih-lebih lagi kalau berkaitan dengan hati dan perasaan. Dia buntu. Otak dan hati seakan tidak berjalan selari mengikut kehendaknya.

Jadi kenapa dia membunuh lelaki tua itu?

Adakah kerana kesian akan ibunya yang sering kali diherdik dan dipukul oleh suami sendiri?

Ataupun kerana dendam yang bertahun-tahun terpahat dalam hatinya?

Atau,

Ini adalah jalan yang terbaik?

"A-aahhhh! Tolong! Tolong!" Raungan seorang wanita yang lalu di kawasan perumahan itu kuat memekik alam. Wanita itu terduduk atas jalan raya. Mungkin akibat terkejut kerana baru sahaja menjadi saksi pembunuhan yang berlaku di depan mata. Atau mungkin juga dia terkejut melihat seorang budak berusia lingkungan belasan tahun sedang berdiri di hadapan satu mayat dengan badan yang berlumuran darah.

Aayiz angkat muka. Dan di saat mata mereka bertembung, satu garis senyuman sinis terlukis pada bibir pucat lelaki itu.

________________

"Muhammad Aayiz Hadees bin Daniel Hadees, anda ditangkap atas tuduhan membunuh ayah kandung sendiri, Daniel Hadees dengan niat-" tangan Aayiz digari dengan gari besi. Hanya itu sahaja yang dia dapat dengar sebelum seluruh isi dunianya terasa kelam dan suram.

Aayiz masih kekal tenang. Suara panggilan ibunya yang menjerit memanggil namanya juga turut hilang sebaik sahaja pintu kereta ditutup.

Aayiz buang pandangan keluar tingkap.

Sepatutnya dia gementar saat ini.

Ya, sepatutnya budak seusia dia akan rasa takut malah mungkin juga cuba untuk melarikan diri akibat perasaan gerun selepas melakukan jenayah. Tapi apabila memikirkan yang ibunya kini tidak perlu lagi menerima herdikan dan pukulan dari lelaki durjana itu maka dia rasa lega.

Seakan ada satu beban yang terlepas dari kepalanya. Hilang dan ringan walau selepas ini dia terpaksa menghadap hukuman dunia.

"Kecik- kecik macam kau dah pandai membunuh. Apa bendalah yang mak kau ajar dekat rumah ni budak oiii," komen salah seorang anggota polis yang duduk di sebelah Aayiz.

Aayiz kalih muka. Tepat mata memandang anak mata hitam milik anggota polis itu. Datar sahaja pandangannya. Namun siapa tahu apa yang tertulis dalam hati?

Dua pasang anak mata itu saling berpandangan. Pandangan jijik bertembung pandangan kosong.

"Encik, pernah masuk neraka?" Spontan soalan itu meluncur keluar dari mulut kecil Aayiz.

"Apa kau merepek ni budak?" Anggota polis itu berkerut memandang wajah tenang Aayiz. Hanya ada 4 orang sahaja yang berada dalam kereta polis itu. Seorang memandu manakala dua lagi duduk di belakang menemani Aayiz.

"Kiamat pun belum macam mana nak rasa masuk neraka" seorang lagi polis menyampuk.

Aayiz senyum hambar.

"Saya dah 14 tahun duduk dalam neraka. Dan harini buat kali pertama saya melangkah keluar dari neraka dunia tu,"

"Apa yang ka-"

Polis itu terdiam saat Aayiz menyingkap bajunya keatas. Maka terdedahlah kulit badan Aayiz yang kering sehingga jelas kelihatan tulang belulang di bahagian dadanya. Seakan-akan dia sudah beberapa hari tidak menjamah apa-apa makanan langsung.

Namun bukan itu yang menarik perhatian dua anggota polis di sebelah Aayiz. Tetapi parut-parut yang terpalit disetiap inci tubuh kecil itu. Ada parut yang kelihatan sudah lama, ada juga yang kelihatan seakan baru lagi. Malah ada darah yang jelas kelihatan masih 'segar' pada kulit badan budak berusia 14 tahun itu.

"Ini, neraka yang saya maksudkan,"


BOOK 16 | Death's Money [Death Series] EBOOKWhere stories live. Discover now